Facebook Twitter Google RSS

Thursday, November 24, 2011

Anonymous

Air Mataku


Kau tak ada Pintar hari ni?”’


“Emm, Naqib aku sibuk la.”


“Ohh…Tak pe lah. Aku pergi ber-Pintar dulu ya.”

   Asyraf melangkah pantas lalu menutup daun pintu yang sedia terkuak. Akmal menyorot kelibat sahabatnya keluar dari rumah. Termasuk hari ini, sudah berkali-kali Asyraf menyertai usrah yang digelar Pintar itu. Berlainan dengan dirinya, tidak pula pernah datang walaupun sekali.

   Dia sungguh selesa berehat di rumah. Dapat menonton televisyen, membaca notis laman sosial, dan memuat turun cerita-cerita pawagam terbaru.

  Daripada terperap dalam satu bulatan membincangkan soal-soal yang dia sendiri tidak arif tujuannya. Atau terpaksa pergi ke kelas-kelas tambahan yang diadakan persatuan. Bosan!

   Asyraf pula sentiasa menyibukkan diri. Sekejap pergi ke kelas nahu dan sorof, sekejap pergi perjumpaan Pintar,sekejap pergi kelas tafaquh, dan sentiasa tiada di rumah kecuali selepas matahari melabuhkan tirainya. Dan kebiasaannya, Asyraf akan pulang ke rumah lewat malam. Meninggalkan Akmal berseorangan setiap masa . 

   Akmal pelik melihatnya sebegitu. Baginya, tahun 1 adalah tahun yang penuh kesenangan dan ketenangan. Hidup yang bebas, ibarat burung berterbangan riang ria di pentas udara. Tidak perlu tergopoh-gapah mencari ilmu di sini. Ada 4 tahun lagi masih berbaki. Tidakkah begitu?


_____________________________________________


   Wajah Asyraf tetap berbingkai senyuman walaupun keletihan memagari kekuatannya pada malam-malam sebegini. Dari petangtadi, dia berusaha menyampaikan keseronokan berPINTAR kepada Akmal, dalam lenggok bahasa yang mudah dihadam dan dicerna.

“Betul. Seronok sangat dalam bulatan pintar ni. Macam-macam yang kita boleh dapat.” Dia masih tersenyum dan terus rancak bercerita.

“Ye lah tu. Aku ada kerja nak buat ni. Tak ada masa nak dengar ceramah.” Mukanya mencebik. Menarik muncung dan berpaling dari Asyraf. Dia tidak suka topik PINTAR.

   Asyraf faham dan masih senyum. Mungkin sistem penghadaman maklumat dalam fikirannya mempunyai masalah yang akan dirawat dengan peredaran masa. Dia mengangguk pergi dan dengan sopan mengundur diri.

“Emm…Okay.Aku balik bilik dulu ya.” Dia faham ketidaksenangannya.

   Dia keluar dari bilik Akmal dan terus terdampar di atas katilnya. Tatkala merasai sentuhan lembut tilam itu, dia merembeskan titisan kelelahan seharian dan kepenatan yang menggayang keperkasaannya. Dia lega.

   Dia mengeluarkan sebuah buku dari kabinet kecil di sisi katilnya dan menukilkan sesuatu dalamnya. Kebiasaan yang dia mesti buat sebelum dimatikan sementara sebentar lagi.

“Haa…” Dia hanya mampu mengeluh panjang.

   Hari ini, Asyraf cuba menerangkan lagi kebaikan Pintar sebaik mungkin kepada Akmal. Tapi, dia masih tidak mahu menerimanya. Mencebik, mengejek, malahan dirinya dianggap anasir yang parasit cuba meracuni pemikiran. Peringatan dari Asyraf bagaikan titisan air yang menimpa butiran pasir kasar di tepian pantai. Pasir itu tetap kering hatta dilambung ombak tsunami sekalipun. Tidak akan mampu menyerap air di sekitarnya. Mustahil.

“Mengapa hatinya begitu keras sekali untuk mengikutiku? “  Timbul rasa kecewa. 

    Sudah 6 bulan di Irbid, dan sikap Akmal terus sebegini tanpa ada sebarang perubahan. Asyraf selama ini cuba untuk menunjukkan contoh ikutan yang terbaik. 

    Dia selalu mengajaknya pergi ke kelas-kelas tambahan yang disediakan, tapi ajakan yang dilontarkannya ditolak tanpa perlu difikirkan.Namun, dia tetap berusaha pergi ke setiap kelas tambahan yang disediakan dan mengekalkan keputusan yang terbaik dalam setiap peperiksaan. Dia selalu datang program yang dianjurkan PERMAI dan tidak pernah tertinggal walaupun kesakitan. 

Harapannya cuma satu, supaya dirinya dijadikan contoh dan model ikutan Akmal. 

   Dia pernah mendengar, orang mengatakan Akmal dan dirinya sebagai kembar tetapi tidak serupa. Entah bahagian mana yang kembar dia pun tidak pasti. Mungkin sebagaimana kehidupan kembarnya ujian. Laksana air bidadara temannya api membara.  Sifat yang bertentangan, ciri-ciri yang berlawanan. Jika diteliti dari sudut logikalnya, mustahillah untuk dilihat api yang kepanasan menjadi air yang kesejukan dalam satu adunan. Sama ada air menjadi wap, atau api menjadi abu!

   Malah, sehingga kini, Akmal tidak pernah ambil peduli dan tidak pernah kisah akan hidupnya. Setiap malam, dia balik ke rumah dalam keadaan kelaparan selepas tamat kelas. Jangankan nasi, sebutir beras pun tidak disimpan untuknya. Asyraf terpaksa menggoreng sebiji telur semata-mata untuk mengalas perutnya yang kelaparan. Itupun jika dia teringat untuk membeli telur. Rumahnya yang bagaikan tongkang pecah pula tetaplah sebegitu hendaknya. Kotor, tunggang-langgang, dan begitulah kitarannya sepanjang hayat kehidupan.

    Dan dia tetap bersabar dengan sikap Akmal yang saban hari tiada tanda untuk berubah atau bersedia untuk diubah. Persoalannya, sampai bila dirinya boleh bersabar dan terus tabah?

    Dalam diari using itu, dia mencurahkan isi hatinya.  Kekecewaannya, kesedihannya, dan kepedihan hatinya selama ini dicurahkan dalam ruang kecil itu. Entah mengapa, dia berasa putus asa. Semua cara sudah diteliti. Setiap langkah pernah diuji. Tapi tiada apa-apa perubahan. Jika terlalu susah, baik aku biarkan dia dalam haluan kapalnya sendiri. Jangan bawa diri aku hanyut bersama kompas yang sesat itu. Biarlah aku membawa arah tersendiri. Itu tekadnya yang baru.

   Jarinya penat melirik pena. Matanya sudah bersedia berdua-duaan dengan malam yang panjang. Dia melabuhkan dirinya untuk tidur. Rehatnya malam ini diulit kedukaan yang tidak terubat.

___________________________________


“Mal, aku pergi kelas dulu.”

Bam!

 Pintu rumah ditutup kasar. Akmal terkejut dan akhirnya bangun dari tidur.
 
“Ahh…”

  Akmal masih mengantuk dan menguap seluasnya. Digaru-garu kepalanya yang tidak gatal dan bangun malas dari katil. Tatkala dilihatnya jam,serta merta dia berlari menuju ke bilik air. Tidak pernah bangun selewat begini.
 
  Pelik. Kebiasaannya setiap hari Asyraf akan mengejutkannya pada awal pagi untuk solat subuh berjemaah. Tetapi, dia buat-buat tidak dengar sahaja. Hari ini, suara yang sama tidak lagi kedengaran. Membiarkan tubuhnya diulit mimpi kelenaan sehinggakan dia terlajak untuk menemui Tuhan. Asyraf terlupa, mungkin?

  Pagi itu sangat damai dan sejuk. Redup, dan tenang. Cahaya matahari halus-halus memancar dihalang awanan berkabus. Angin pula berhembus perlahan, dan membawa bersamanya hawa kesejukan.

  Akmal menggeletar kesejukan. Dilihat pemandangan redup sekelilingnya perlahan-lahan, dan hatinya tenang, setenang lautan Aqabah yang membiru jernih.

   Usai mengqada’ solat subuhnya tadi, dia terus duduk berteleku di atas sejadah. Rasa bersalah kepadaNya menebal dalam diri. Mengenang perbuatan lalu, serta merta lidahnya kelu. Dia tertunduk malu kepada Tuhan Yang Satu. 

Dia merenung kembali perjalanan kehidupannya sebagai pelajar tahun satu di universiti Yarmouk selama 6 bulan. 

   Disorotinya perlahan dalam ruangan memori. Cuba mencari peningkatan diri yang telah dilakukan. Atau peningkatan dalam amalan harian. Atau ilmu yang berjaya dipraktikkan. Seperti yang diharapkan oleh ibu bapa, sanak saudara, dan rakan taulan. Dia mengimbau semula memorinya.

Kosong. Tiada peningkatan. 

  Eh.Tidak mungkin. Dia cuba ingat tujuan dan matlamat kecil yang dia telah tetapkan. Mesti ada yang digapai setidak-tidaknya. Dia fikir lebih kuat.

Zero. Tiada yang tercapai.

Astaghafirullah.6 bulan.Apa yang aku telah buat dengan 6 bulan ku? Apa yang aku dapat?

   Air mata Akmal menitik. Masanya dibazirkan. Selama 6 bulan, dia tetap jahil seperti dulu. Tiada yang berbeza, melainkan semuanya sama. Dia bersalah. Dia telah membunuh dirinya dengan kemalasan. Merosakkan imannya dengan keseronokan. Menghancurkan harapan umat yang dikendongnya. 

6 bulan yang penuh kejahilan.

   Tangisan penyesalan bercucuran. Hatinya dibanjiri keinsafan. Mungkin ini saatnya untuk dia berubah. Bermulanya saat ini, dia mahu menyongsong arus perubahan dan meniti kembali lautan keilmuan. 

   Permulaan untuk berubah, adalah mencari sahabat yang boleh membimbingnya. Dia percaya, Asyraf,teman serumahnya, merupakan pilihan terbaik.

 Dia pejamkan mata menadah tangan, dan berdoa agar dirinya dibimbing insan seperti Asyraf.


****

 
“Rumah kau masih ada kosong ,kan?”


“Muat la untuk seorang lagi. Kenapa,nak masuk?”
 

“Rancangnya macam tu lah.”


“Fikir elok-elok. Macam mana dengan Akmal?” 

Soalan yang mematikan perbualan.

  Asyraf terdiam membisu seribu bahasa. Mulutnya terkatup,tidak berbicara. Matanya tunduk layu, dan perasaan putus asa kembali menyerbu. Soalan Fakri menusuk tepat ke dalam dadanya. Menghiris hatinya bak tirisan sembilu berduri.

Dia tidak menjawab soalan itu, atau tidak mampu memberi jawapan. Dan dia membiarkan soalan itu terbang dibawa desiran angin Irbid. Fakri turut sama terdiam. Masih menunggu jawapan meluncur.

   Dia berharap ini keputusan yang tepat. Meninggalkan rumah yang didiami bersama Akmal, dan melangkah ke sebuah rumah lain.

  Sebenarnya,dia tidak yakin untuk terus berada di situ. Takut dia akan turut sama menjadi seperti Akmal, hidup sekadar untuk berseronok dan melayan nafsu keduniaan.

  Biah sebegitu akan merosakkan dirinya. Biarlah dia yang berundur keluar dan hidup bersama-sama sahabat yang telah ditarbiah. Lingkungan persahabatan itu yang diharapkannya apabila sampai ke Jordan, agar mampu membuatkannya tabah merintangi ujian yang bakal mendatang.

  Dia melangkah pulang ke rumah dalam perasaan yang bertingkah. Masih memikirkan penerimaan dan reaksi Akmal sebentar lagi.Mungkin dia dimarahi,atau dikeji,namun dia sudah pun bersedia untuk menerima realiti.

  Asyraf perlahan-perlahan membuka pintu rumah. Hidungnya terkejut. Tergamam, dia terhidu bau yang luar biasa. Sungguh, selepas 6 bulan, inilah kali pertama bauan masakan menerjah rongga pernafasannya. Oh, pasti kawan Akmal datang memasak. Tidak mungkin Akmal rajin untuk turun ke dapur.

   Dia memasakkan kaki ke dapur. Terlihat susuk badan yang dia kini yakini itu adalah Akmal. Tekaan awalnya salah.

Akmal?”


“Ah,Asyraf!”

Akmal berpaling lalu bangun dan memeluk tubuhnya secara tiba-tiba. Senduk di tangan tercampak entah ke mana.

Ehh…Kenapa ni?” 

Asyraf mempersoalkan tindakan Akmal yang pelik. Dia tidak mahu membayangkan sebuah ceritera fantasi bahawa Akmal telah berubah.

Tidak semena-mena, air mata Akmal pula telah mengalir semula. Air mata pengharapan dari doa pagi tadi. Dalam suara-suara yang tersekat, dia melepaskan ego diri yang tersimpan rapi dalam peti jiwanya.

Asyraf,maafkan kesilapan aku selama ni... Bimbinglah aku. Aku perlukan kau dalam hidupku...”

    Asyraf terpegun. Lautan rasa membantai hatinya. Tidak tergambar lakaran jiwanya. Dia kini daie yang tertewas oleh perasaan sendiri. Realiti yang tidak terduga menghempap logikal palsunya. Sungguh, dia tidak menyangka secepat ini hati manusia itu berbolak-bali. Dia kalah. 

    Tangannya mendakap lembut bahu sahabatnya. Dia merangkul penuh kasih dan belas. Dalam pelukan Akmal, dia juga menitiskan air mata. Air mata penyesalan atas keputusannya untuk melarikan diri dari Akmal.








About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!