Facebook Twitter Google RSS

Sunday, November 6, 2011

Kata Dia


            Jiwa yang kecil  ini menangis dan bersedih. Tangisan tidak kedengaran, tetapi kesannya tetap kurasa. Terasa syahdu, dan empangan mataku hampir mengalir. Aku tak tahu, kenapa dan mengapa. Tetapi, hatiku terpukul dengan kata-kata ikhlasmu.



 ***************************


Hari ini...
Buat pertama kali, ada insan sudi bertanya tujuanku menulis. Jawapanku mudah, berdakwah. 

"Eh, betul ke ni?", aku tanya kembali kepada diri.

              Aku agak sangsi dengan jawapan itu. Jujur, aku sendiri belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan oleh Allah sebaiknya. Nak tulis mudah, nak cakap mudah, dan praktikalnya hanya sebilangan yang mampu melaksanakan peranan itu.

"Kenapa nak menulis?", aku soal diriku.

            Sebelum ini, medan penulisan aku anggap sebagai tempat menukil pengalaman dan merakam detik-detik yang ingin aku khazanahkan. Detik-detik manis, masam, atau pahit perlu ditulis agar aku dapat mengambil pelajaran dari peristiwa lalu. Itulah punca motivasi aku ketika itu untuk menulis.Tidak pernah terfikir tulisan ku dapat dijadikan tinta pembantu agama, atau menjadi medan untuk aku mendekatiNya. Ruang pemahaman tentang penulisan masih kecil, tidak mampu melihat manfaat yang tersedia untuk diguna. 

             Kerana itu, aku mengguna akal untuk menulis. Ingatan diperah untuk melukis kenangan dalam bentuk bicara dan huruf-huruf. Huruf-huruf digabung menjadi ayat yang lengkap. Dan proses itu melahirkan satu perenggan bicara akal. Penuh dengan ayat-ayat teknikal dan frasa-frasa tanpa perasaan. Unsur penghayatan dan kesan kepada jiwa bukan tujuanku. Dalam pengetahuanku, ayat-ayat akal hanya mampu berbicara dengan akal yang lain. Aku tidak akan mampu menyentuh hati manusia dengan bicara akal. Umpamanya, hatiku berbicara dengan hati yang lain. Akalku juga berbicara dengan akal yang lain. Akal dan hati dalam badan yang sama, tetapi berbeza pendekatannya. Persoalan itu tidak pernah ku fikirkan, kerana matlamatku hanya merakam kenangan. Bukan menyentuh hati manusia.

Kata dia, kita perlu menulis menggunakan hati. Kenapa ya?

               Kita mengenal hati manusia untuk melihat dirinya. Zahir diluar lahir dari kandungan hatinya, bukan akalnya. Akal pusat merasionalkan bukti dan fakta. Hati penentu kepercayaan dan mencipta kelainan kepada diri manusia. Ada orang boleh bercakap tentang teori kebenaran, tetapi hatinya tetap percaya kepada yang batil. Pelik, kerana akal sudah mengatakan perbuatan itu salah. Tetapi hati tidak berubah dengan sekadar hujah akal sahaja. Kerana hati sangat kompleks. Mungkin kita boleh membuktikan sesuatu perkara kepada orang lain dengan bukti, dan mengubah kepercayaan orang itu. Ya, itu mungkin akan berlaku kerana hati mudah berbolak balik.

             Hati yang baik menyerlahkan peribadi yang mulia. Hati yang busuk penyebab kerendahan jiwa. Tetapi, untuk hatinya turut berubah, kita perlu berbicara hati dengannya. Itu sudah pasti.

Adakah semua hati boleh berbicara dengan manusia? 

             Katanya, apabila hati kotor cuba berbicara, penulisan dari hati itu tidak akan ke mana. Tidak mampu memberi kesan kepada jiwa yang lain. Tidak akan berjaya mengubah manusia ke arah kebaikan. Sebab itu, dia menjaga hatinya. Dia ingin menulis dalam keadaan hatinya bersih agar tulisannya boleh dihadam hati-hati yang lain. Lagi, dia tidak punya kemahiran menulis. Dia hanya membiarkan hatinya mencorak penulisan. Dan, dia tidak akan menulis perkara yang sia-sia, seperti orang lain. Kerana penulisannya demi dakwah! Untuk membawa membentuk manusia yang mengenal Rabnya. Sewajarnya setiap penulisan ada sasaran, ada matlamat. Bukan kosong dengan penghayatan, tidak mampu mengetuk jiwa pembaca.Aku pun bandingkan dengan diriku. Jauh sangat. 

              Tak pernah tahu pun ada cara untuk berbicara dengan hati. Jelas masih jahil. Kerana itu jiwaku menangis. Aku tidak dapat menahan dari kebenaran kata-katanya. Aku menatap kembali tulisannya.Aku menatap pula tulisanku.Wujud perbezaan, dan aku tahu itu persoalan hati.  

            Aku terkesan. Aku merenung kata-kata itu berulang kali. Jiwa aku rasa sebak sekali. Aku fikir dalam, selama ini, apakah niat aku menulis? Kenapa aku menulis? Untuk apa aku menulis? Kepada siapa aku menulis? Apa sebenarnya ingin aku capai melalui penulisan?Untuk apa?

              Aku berasa malu untuk mengaku menulis kerana Dia sedangkan jiwaku masih kelam, diriku masih tengelam. Mengaku mencari Ilahi, tetapi ilmu dangkal malah boleh dikira dengan jari. Banyak yang perlu dibaiki, baik diriku mahupun penulisanku. 

             Kata-kata dia memberi satu impak yang besar. Betul, teguran untuk diriku dan dirinya. Semua boleh menulis, tetapi adakah semua penulisan memberi kesan ruhi kepada jiwa? Adakah penulisanku membawa manusia kembali kepada Rabnya? Mampukah dengan hatiku ini? 

             Semoga aku bertambah baik dari hari ke hari. Dan, esok akan bermula pengembaraanku bersama 10 sahabat ke serata Jordan. Doakan keselamatan kami. InsyaAllah cebisan pengalaman dari pengembaraan akan cuba ditulis dengan rasa hati.:)

Assalamualaikum.



About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!