Facebook Twitter Google RSS

Tuesday, November 29, 2011

Kehidupan~


   Kita dari asal yang berbeza. Kamu dari Pulau Pinang, dia dari Johor, dan aku anak jati Pahang. Jika mahu dihitung, perbezaan kenegerian sudah menimbulkan cukup banyak polemik. Sekejap loghatmu keluar, aku mula tercengang tidak faham. Dia dengan bahasanya, agak baku dan berbau Jawa. Dan aku campuran, sekejap Kedah, sekejap Kelantan, dan kadang-kala Terengganu.

   Perangai juga berbeza. Masing-masing ditarbiah dengan cara keluarga masing-masing. Dan budaya diwarisi dari keluarga dibawa ke rumah Syabab Perkasa ini. 

   Misalnya, dia kurang senang makan jika ada bunyi. Pernah dia menegurku dengan halus, agar tidak mengguris hati kecilku. Aku faham kehendakmu. Dan aku sentiasa berusaha untuk lebih beradab, lebih-lebih lagi apabila bersamamu. 

   Kau lebih sempoi. Tenang, bersahaja, dan ikut sahaja cara yang mudah untuk semua. Senang untuk aku serasi dengan tatasusilamu.

   Memasak juga pastinya berbeza. Dia agak gila-gila. Di dapur, dia ibarat seorang saintis yang memasukkan segala bahan demi ujiannya. Macam-macam idea dan karenah. Dan hasilnya tetap kami jamah bersama. Soal rasa, kami letak ke tepi dahulu. Yang penting, dia sanggup mencuba. Kentang yang dikisar dimasak bersama ayam dan menjadi ayam masak kurma versi dia. Aku tertipu hari itu. Dan banyak lagi resipi gila-gila yang dicubanya. Yang pasti, kuah makanan yang pekat menjadi keutamaannya.

  Kau pula masak sambal ikan bilis yang kekeringan tanpa kuah. Sebetulnya, aku tidak pernah makan sambal sebegini. Ibuku di rumah amat memahami kehendakku. Dan aku tidak bernafsu untuk menjamah lauk yang kering. Tetapi, aku menyuap juga makanan itu dan memperkenalkannya kepada perutku yang terkejut dengan sambal sebegitu. Kenapa makan juga? 

   Kerana ada perkara yang menjadi pegangan hasil asuhan ibu dan bapa. Bukan kerana sekadar lapar, bukan menyedapkan hatimu,bukan jua untuk menggembirakanmu atas masakan itu. Tetapi, keluargaku mendidikku untuk menghormati dirimu, meraikan kelainanmu,dan memahami kesukaanmu. Kelainanmu kegembiraanku.

  Aku tahu, kita diasuh dengan cara berbeza. Aku mengerti, caramu juga tidak sama denganku. Dan aku juga faham, kelainan itu merupakan sesuatu yang lazim. Bukankah pelangi yang indah juga terdiri daripada pelbagai warna?

   Dia anak bongsu. Jelas, mataku melihat menembusi kelakuannya. Manja, keanak-anakan, dan sifat itu wajar wujud pada adik yang bongsu. Dibelai dari kecil, dicintai, disayangi, dan dirai selanyaknya sebagai anak terakhir dalam keluarganya. Itu terzahir dari sikap sehariannya. Aku mengerti jika dia menjadi raja yang suka memerintah, dan suka bersenang lenang. Lazim, dan sifat biasa anak bongsu. Bukan malas, tetapi mencintai kebebasan dan kurang senang dengan arahan.

   Aku mengerti, kerana sudah ku melihat adikku yang paling kecil. Sama sahaja. Maka, atas dasar itu, aku kurang mengarah walaupun untuk kerja seharian. Dengan harapan, dia menyedari dan ambil cakna sekelilingnya tanpa pengawasan. Supaya dia ada inisiatif untuk berdikari, dan lebih mudah membantu di rumah.

   Kau pula jejaka yang matang. Walaupun bukan anak sulung, tetapi kau tetap ada ciri-ciri anak sulung. Hampir sama, tetapi tidak akan serupa. Dirimu pandai menyesuaikan diri. Cukup dengan apa yang ada. Cuma kau agak kemut soal berbelanja barang rumah. Aku dan dia mahu itu, kau kata tidak perlu. Aku dan dia mahu beli ini, kau masih berkata yang sama. Kau hanya beli makanan yang biasa dan lazim. Sayur yang biasa. Buah yang biasa. Barang yang biasa. Sehingga aku dan dia lebih mudah jika untuk keluar berdua membeli barang keperluan rumah.Lebih mudah untuk kami pilih dan beli. 

   Oh, kau pandai urus wang rumah. Alhamdulillah, perjalanan duit lancar dan tersusun.

Bagaimana pula dengan diriku?

   Ringkasnya, aku bukan golongan berada. Hidupku biasa-biasa. Aku banyak belajar kehidupan melihat kedua ibu dan bapaku serta ahli keluarga. Aku membesar dalam ketegasan ayahku dan kelembutan ibuku. Aku diasuh dengan adunan mesra sifat mereka. Mereka mahu aku berdikari. Meraka mahu aku berani mencuba. Dan ayahku sentiasa menerapkan untuk menjadi seorang yang serba boleh, walaupun aku tidak mampu memenuhi hasratmu itu. Kenapa ya? Agar dapat menyumbang kepada manusia setiap masa. Hiduplah untuk menyumbang kepada orang lain, bukan sekadar menerima sumbangan bak rumput di jalanan.

  Aku belajar memasak dari ibuku di dapur walaupun ibuku tidak suka aku di dapur. Pengacau sahaja katanya. Namun, aku tetap akan memasak apabila ibu dan bapaku bekerja. Aku mencuba resipi ibuku walaupun rasanya mustahil sama. Dari situ, aku belajar adab dan tatacara memasak. Potong bawang dengan tertib, mengemas kawasan memasak, basuh periuk yang digunakan, dan membersihkan dapur. Semuanya hasil didikan dan gaya ibuku. Dia amat menjaga dapurnya dan barang-barang yang digunakan.

   Sebab itu aku kurang senang melihat dapur yang ditinggalkan tidak dibersihkan. Lebih-lebih lagi berlaku dirumahku. Aku akan gelisah yang teramat.  Hah. 

    Kebiasaannya, aku memasak untuk adik-adikku yang pulang ke rumah. Adik-adikku tidak akan sesekali ku biarkan kelaparan. Kerana mereka sentiasa kesayanganku.

   Bapaku pula suka kekemasan dan kebersihan. Dia seorang yang menjaga imej peribadi. Dan aku berusaha mencontohinya. Dia tidak suka sampah yang dibiarkan. Pasti akan memanggil aku untuk mengutip sampah yang bertaburan atau menyuruhku buang sampah rumah ke tempat pembuangan. 

    Kebunnya juga tersusun. Walaupun pulau itu luas, tetapi dia membahagikannya dengan sangat kemas. Ada tempat untuk lada, bayam, roselle,jagung,terung, dan macam-macam sayuran. Teratur, kemas, dan tersusun seperti yang di kehendakinya. Dia pantang melihat anaknya tidak mengamalkan sifatnya. Maka, aku menjadi sangat tegas dalam hal ini.

  Aku tidak boleh bersabar melihat sampah dalam rumah. Pantang ada, aku ingin buang. Tetapi, kau dan dia macam tidak cakna perkara ini. Biarkan sahaja berhari-hari. Aku sudah buang pertama kali kita masuk rumah. Kedua juga aku buang. Dan ketiga juga. Sampai bila kau dan dia nak terus membisu begini? Atau perlukah untuk aku memberi arahan untuk tolong buang sampah? Sedangkan itu adalah tanggungjawab kita bersama. Mungkin minggu ini aku, minggu depan kau, dan seterusnya dia. Tiada masalah, bukan?

  Paling penting, keluargaku mendidik aku untuk menghormati orang lain. Di mana aku berada, dengan siapa aku berjumpa, dan dalam setiap perkara, aku perlu menghormati orang lain. Hormati budaya dan adat mereka. Hormati kelakuan mereka. Hormati diri mereka. Maka, aku amat menghormati perbezaan kita. Dan aku cuba menyesuaikan diri dengan kebiasaanmu agar hidup kita mesra dan aman sejahtera. Dalam perbezaan kita dalam serba serbi dan tidak mampu untuk dinukilkan lagi, aku cuma mengharapkan satu sahaja dari mu, wahai temanku.

Aku berharap, bukan aku sahaja yang berusaha. Kenallah diriku, dan aku ingin sekali mengenali dirimu lebih lagi. Semga kita menjadi teman sehati sejiwa.:)

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!