Facebook Twitter Google RSS

Saturday, November 5, 2011

Percaturan Completed



Sabtu
15 Jun 2010



                Suasana di Kampung Semambu sunyi sepi. Senyap, tiada tanda kehadiran manusia seperti kebiasaan. Hanya kedengaran bunyi cengkerik mengalunkan melodi tersendiri. Desiran halus angin berbisik hairan.  Pohonan menari lembut. Sungguh misteri. Persoalan mula timbul, dimanakah penghuni Kg. Semambu yang saban hari  riuh-rendah dengan gelak ketawa?

                Dalam Dewan Polisas, ratusan penduduk Kg. Semambu sedang menyaksikan pertarungan yang mustahil berlaku. Mereka semua tidak percaya dengan realiti yang berlaku. Ingin diluahkan rasa hati, namun mulut seakan-akan terkunci dan mata mereka tersihir untuk melihat perlawanan ini. Suasana sepi. . Bunyi buah catur yang jatuh mengisi ruang kesunyian itu.



Tap.Tap.Tap

Pertarungan yang menuntut ketajaman minda. Memerlukan keazaman cekal dan perancangan yang rapi. Dan permainan ini menguji ketabahan jiwa seorang manusia biasa.

                Seorang remaja, tangannya pantas menari di atas papan itu. Matanya memicing. Kakinya bergetar. Peluh menitik,  segera dilap dengan tisu. Fizikalnya bergerak dengan laju. Namun, otaknya lebih laju menganalisis pergerakan dilakukan lawannya. Setiap gerakan yang dilakukan tepat dan memberi kesan.Penduduk Semambu berasa teruja dengan kecekapan remaja yang baru menginjak belasan tahun ini.

                Pada hari ini, dia berseorangan. Dia sedar dan faham, perlawanan ini sangat sukar untuk ditangani dengan kudratnya bersendirian. Tetapi, dia mempunyai Allah sebagai peneman. Berlawan catur kilat dengan 5 orang International Master secara serentak adalah mustahil, kata manusia. Seolah-olah kita yang mengatur kehidupan ini. Menganggap perkara yang akan dan telah terjadi dalam kawalan kita. Adakah kita pemilik mutlak segala perancangan?

                Serangan demi serangan dilancarkan, lontaran-lontaran perangkap diwujudkan, dan pertahanan tetap kukuh dengan kehadiran Castle yang melindungi King Hitam milik pemuda ini. Matanya mengerlip melihat 5 orang lawannya yang hebat berhempas pulas berfikir.Dia juga kepenatan. Namun, masa sudah semakin suntuk. Rehat hanya  selepas mencapai kemenangan!

                  Tangannya semakin laju. Buah catur yang berlaga merancakkan lagi bunyi yang kedengaran. 3 minit sudah berlalu. Hanya beberapa saat memisahkannya dari keputusan permainan. Dia merancakkan perancangan. Otaknya seperti mempunyai kelajuan roket. Empat puluh langkah kehadapan sudah difikirkan. Peduduk yang menyaksikan semakin dimamah rasa teruja. Siapakah yang akan di “checkmate” kan?

                Dari luar dewan, seorang remaja yang berpakaian serba hitam dan bercermin mata gelap, melihat perlawanan itu dengan rasa benci. Uratnya menegang, penumbuk dikepalkan, dan darah hangat menyimbahi wajahnya.Dengusan kedengaran.  Kemudian, dia berlalu pergi dengan mulut terkumat-kamit meluahkan kegersangan jiwa dan mengeluarkan kedengkian yang membusuk di hati. Entah apa yang difikirkan, hanya Allah Maha Mengetahui.





***********************************************





Ahad,
16 Jun 2010
5.00 pagi




              “Helmi, bangun nak. Jom sembahyang subuh”, lembut kejutan bapanya, Ishak pada pagi itu. 

                 Helmi bangun seraya mengucapkan Alhamdulillah kerana  masih diberi peluang untuk beribadah pada hari ini. Otaknya masih penat dan lelah, kesan perlawanan semalam. Namun, dia gagahkan diri melawan kehendak nafsu yang cuba berbicara. Alhamdulillah, imannya masih kukuh dan mampu menguasai jiwa. Bergegas dia mandi dan bersiap untuk solat sejurus bapanya beredar.

                Seusai menunaikan solat di Masjid As-Syafie, dia memulakan paginya dengan bacaan al-Mathurat. Sungguh, amalan kebiasaan ini membuatkan dia berasa tenang dan bersemangat seakan-akan mendapat bekalan tenaga yang luar biasa. Peringatan Ustaz Soleh untuk mengamalkannya setiap pagi terpahat kukuh.

                Helmi masih ingat, ustaz-ustaz di Maahad Tahiz Negeri Pahang ( MTNP ) yang tidak lekang dari nasihat dan peringatan. Mereka sentiasa berusaha untuk memantapkan setiap ibadah dan amalan keagamaan. Al-mathurat setiap pagi menjadi kewajipan, surah al-Mulk sebelum tidur menjadi santapan, dan bacaan al-Quran di mana-mana sahaja adalah kebiasaan. Tanpa mengira umur, semua pelajar mentadabbur ayat-ayatNya. Abang-abang pada peringkat Diploma sentiasa membantu melicinkan pentarbiyahan biah itu. Perkongsian hadis setiap petang, perjumpaan usrah, liqa, berkuda, memanah, dan pelbagai aktiviti dirancang demi mengisi rohani serta memantapkan jasmani. Sungguh, dia rindukan suasana di MTNP.

 “Assalamualaikum.”, suara dari belakang.

                Sapaan lembut Umar mematikan lamunannya. Tanpa perlu menoleh, dia amat mengenali suara itu.Serentak terkoyak senyuman dari wajah Helmi dan tangan mereka berjabat mesra.Umar.  Sahabat sejati dunia dan ukhrawi. Seorang yang sentiasa membantunya di kala kebuntuan. Seorang sahabat, seorang da’ie, dan dia mengasihinya kerana Allah. Umar senyum dan mendakap mesra bahu Helmi. Jelas, hubungan mereka amat mesra.

“Helmi, tahniah. Kau memang hebat. Percaturan yang tepat,ya” , Umar senyum semanis gula.

“Pujian hanya untuk Allah. Aku hambaNya.”, Helmi merendah diri.

“Pastinya. Kemenangan  adalah ujian. Jangan terbuai dengan kejayaan semalam.”

                Hati kecilku senyum bahagia. Sememangnya Umar bijak menasihati. Aku gembira. Aku tahu, sentiasa ada sahabat yang membantu aku untuk istiqamah dalam perjuangan ini. Umar akan membantuku untuk mencapai matlamat yang telah kucitakan.


*************************************


                Perlawanan menentang 5 orang serentak pada hari semalam sememangnya mengujiku. Sebenarnya, aku berasa terpanggil untuk menyahut cabaran yang dilontarkan oleh Pak Simawan, Ketua Kampung Semambu. Dia menganggap pelajar aliran agama sepertiku tidak mampu bermain catur dengan baik. Bukanlah merendahkan kebolehanku menimbulkan kemarahan, tetapi menganggap agama yang cuba kubawa melemahkan diriku . Aku berasa terpukul.

Dan, mindaku pantas memainkan kata-kata Ustaz Zul, pengetua MTNP , “Kita perlu berusaha menjadi yang terbaik. Jangan menjadikan agama yang dibawa menjadi fitnah atas kelemahan diri kita.”

Ya, umat Islam akan maju dengan agama. Umat Islam akan kuat apabila memahami Islam sebagai cara hidup yang mencakupi semua aspek. Tidak diambil separuh-separuh, tetapi diaplikasikan secara keseluruhan sebagaimana yang dibuktikan oleh daulah Khalifah Islamiah. Umat Islam tidak akan sesekali menjadi lemah dengan ketetapan Allah!

                Akhirnya, kemenangan dalam lima perlawanan semalam  membuka semula mata hamba-hambaMu yang selama ini buta dengan penipuan dunia. Mereka seakan-akan baru bangun dari sebuah tempat yang asing. Mereka terkejut dan terpinga-pinga. Masih terkejut dengan apa yang berlaku. Pada fikiranku, itu adalah biasa dengan bantuanNya. Sememangnya seorang Mukmin adalah ajaib, seandainya mereka tahu. Dan aku mahu mereka mengetahui, Kau adalah tempat bergantung harapan dan tempat meluahkan segala perasaan. Dengan catur sebagai wasilah, aku merangka strategi untuk menawan hati manusia.

“Ingat, setiap perbuatan kita adalah ibadah selagi mana berada dalam kerangka syara’.” Tepat sekali penerangan Umar.

Aku mengangguk setuju. Inilah tujuan dan impian aku. Seringkali ku lihat dahulu, permainan catur menyebabkan manusia alpa dan leka dari beribadah. Ibadat 5 minit menjadi sangat lama berbanding dengan permainan selama 2 jam di atas meja. Aku musykil dan sangsi dengan cara perkiraan masa golongan ini.

Malahan, teman sepersekolahanku juga pernah terjebak dengan masalah ini. Masih kuingat, kata-kata Murad yang mengejek nasihat yang aku berikan semasa dia sedang asyik bermain di MTNP. Dia terus dengan sikap pentingkan caturnya dan tinggalkan ibadah. Akhirnya, pihak sekolah ambil tindakan drastik dan bertindak membuangnya dari MTNP. Sehingga sekarang aku menanti khabar berita darinya. Kedengaran dia menyertai sebuah pusat latihan catur yang mahsyur di Semambu. Aku cuma harap dia menemui jalan bertemu Rabbnya.

Dan perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Perlu ada penambahbaikan. Perlu diperjelaskan. Matlamatku lahir di sini. Aku tidak mahu lagi rakan-rakan sebayaku tengelam dalam keasyikan bermain catur sebagaimana Murad. Harapanku, moga jalan ini adalah yang terbaik untukku berbakti kepadaMu. Mudah-mudahan.



******************************************************

                Berita kemenanganku tersebar luas. Dan ramai ibu bapa yang mahu aku melatih anak mereka. Aku mula dilihat sebagai model remaja. Mereka mahu mengikuti dan mempelajari teknik atau kemahiran rahsiaku. Keliru,aku sungguh keliru. Sebenarnya, aku tidak punya rahsia atau gerakan yang mengancam. Sekadar latihan yang perlu dan fokus dalam permainan.

 Yang pasti, dengan pertolongan Allah. Inilah rahsia sebenar. Bukan dengan pembukaan Gambit, bukan King’s Opening, jauh sekali Sicillan. Aku bersyukur, Kau memberikan aku peluang dan ruang untuk berdakwah dengan permainan ini. Sekarang, peluang terletak di bahu aku untuk melatih anak-anak ini bermain catur dengan tarbawi akhlak Islami sebagai asas. Penerapan rasa Rabbaniyah, digabungkan dengan sedikit ilmu pencaturan, dan diperam dengan ketaqwaan, aku yakin formula ini akan menjadi!


*********************************************



Dewan Zulam


“Kita perlu lenyapkan dia!”, bergegar dewan itu dengan pekikan yang penuh amarah itu.

Semua menumpukan perhatian kepada orang tua ini. Dia adalah Presiden Catur di Kampung Semambu. Walaupun tua, tetapi kemahirannya tersohor ke serata Malaysia. Dia antara yang dikagumi di Malaysia.

 Sebentar tadi, dia baru menerima berita kemenangan seorang pemuda menentang 5 orang anak buahnya  yang paling hebat. Kemenangan itu menyebabkan penduduk kampung mula berasa ragu terhadap keupayaannya sebagai  seorang jurulatih, dan penyandang gelaran terhebat di kampung. Khabar berita yang dibawa oleh anak buahnya  amat menyakitkan hati dan kepalanya yang memutih dengan uban.

Kini, dia berasa sangat marah dan sakit hati. Marahnya bukan kepalang. Mukanya yang bulat itu kemerahan. Urat di muka jelas kelihatan. Tangannya mengepal penumbuk padu. Bengis, dan aura kebencian terserlah. Walaupun tua, badannya masih gagah. Suasana menjadi tegang. Dia mundar mandir. Pelbagai fikiran muncul dan timbul. Maruah dan reputasi yang dibina sekian lama tercalar dan remuk dalam satu hari. Sungguh, ini di luar jangkaannya!

Selama ini, manusia lain memujinya dan menyanjungnya. Semua penduduk Kampung Semambu tahu, dia hebat bermain catur. Pelbagai gelaran diberi dan dia dianggap sebagai orang terbijak dalam kampung kerana mampu bermain catur, permainan yang hanya dikuasai oleh golongan intelektual suatu masa dahulu. Dalam keangkuhan dan kesombongan itu, mindanya pantas memutarkan kembali memori silamnya.

Penduduk kampung memanggilnya Sifu Agus. Hatta ketua kampung, Pak Simawan menghormatinya. Atas kehebatannya itu, dia diamanahkan untuk mengajar teknik-teknik bermain catur kepada anak-anak muda. Dengan harapan, kampungnya akan disanjung tinggi kerana melahirkan pemuda-pemuda yang berbakat dalam permainan catur.

 Selepas beberapa ketika, produk Sifu Agus berjaya. Mereka merangkul Johan dalam setiap pertandingan yang disertai. Hasilnya, nama kampung semakin gah, reputasi melambung tinggi, dan tersohor ke seluruh pelosok negara.Pemain-pemain Kg. Semambu diangkat sebagai model dan contoh remaja yang berjaya. Mereka dikagumi, dan bakat mereka digeruni. Ketika itu, Sifu Agus dianggap ikon kampung. Percaturannya membawa kebaikan kepada semua, itu pendapat dirinya.

Matlamat dan perjuangannya hanya satu, menghidupkan catur dalam kehidupan anak didiknya. Makan catur, tidur catur, main catur. Persis robot yang hanya patuh pada arahannya.

Namun, dia terlupa untuk mengisi hati pemainnya. Dalam akademi yang diasaskan olehnya, latihan akan bermula seawal 5.00 pagi dan berakhir pada pukul 10.00 malam. Setiap masa menghafal strategi, setiap saat praktis dan berlatih sehingga pemain itu mampu bermain dengan hanya memejamkan mata dan mendengar pergerakan lawan.  Mereka hanya keluar dari bilik untuk makan dan buang air. Solat entah ke mana, ibadah sudah tidak terjaga. Penyerahan diri kepada Tuhan tengelam dalam keegoan yang melanda. Dia hanya pentingkan latihan dan menafikan kuasa lain yang Maha Menentukan.

Kemudian, penyakit dunia mula melanda. Pemain yang dilatih olehnya menjadi tamak dan riak. Kekosongan hati diisi dengan kejahilan.  Mereka berpindah ke kampung lain yang menawarkan bayaran tertinggi. Kekayaan dunia menghiasi  peribadi dan ibadah akhirat ditolak tepi. Akhirnya, malapetaka kehilangan pemain pemuda yang berwibawa, dan beragama menghantui penduduk kampung. Mereka akhirnya sedar, mereka perlukan pemuda yang setia, yang tidak dikelabui wang permata, dan mempunyai agama dalam kehidupan. Tidak goyah dengan nikmat dunia dan gagah melawan arus perdana demi mencari keredhaanNya.

Kemudian, Helmi muncul di sebalik kekalutan itu.  Dengan bersahaja dia menyahut cabaran yang dilontarkan oleh Pak Simawan. Dan kemenangannya mengubah kepercayaan penduduk kampung, lalu merosakkan matlamat perjuangan Sifu Agus selama ini. Kiblat catur mula beralih. Di sinilah bermulanya dendam Sifu Agus terhadap Helmi.  Memori silamnya terluka.

“Aku akan hancurkan dia.Aku akan hancurkan dia!”. Dia menjerit keperitan.
Dia ingin melepaskan kegeraman ini. Dia berfikir sejenak. Lalu idea menjengah tiba.

 “Aku akan lawan dia.”, perlahan suara hatinya berbisik. Ya, aku hebat. Pasti aku boleh memalukannya.

Dia pasti, kemenangan sudah dalam tangan dengan sedikit helah dan perancangan .Lalu,dia menjerit nama Darum. Sebagai anak murid yang setia, Darum sedia menerima apa jua arahan.

 “Darum, kau aturkan perlawananku dengan dia. Hari esok, di sini. Sebarkan kepada semua. Aku akan tewaskan dia. Dan hancurkan kepercayaannya bersama!”,katanya tegas.

                Darum mengangguk faham. Dia berlalu pergi. Tok gurunya akan beraksi. Pertarungan antara mereka pasti akan dinantikan. Rancangan Darum selama ini berjalan lancar. Pertembungan yang dia sudah jangka dan aturkan, akan menatijahkan jawapan yang selama ini dia dambakan. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Dan, segaris senyuman licik terukir di wajahnya. Dia bergegas menyebarkan cabaran yang dilontarkan Sifu Agus.



***************************************************


                Helmi merenung jauh bulan terang pada lewat malam itu. Wajahnya berseri-seri menangkap cahaya lembut yang dipantulkan. Kecerahan yang  mendamaikan di kelat malam, hasil kerajinan sang rembulan membawa sinaran. Namun, suhu persekitaran membuatkannya memeluk badan. Nafasnya ringan, dan dadanya berombak perlahan. Malam ini, suasana rumahnya sunyi. Semua sudah tidur, kecuali dia dan bulannya.  Matanya redup, dan dia sangat tenang. Sesekali desiran angin yang bertiup mengundang halwa telinga buatnya. Dia sedang ligat memikirkan sesuatu.

                “Apa tujuan Sifu Agus?”, terngiang-ngiang dalam telinganya persoalan diajukan Umar petang tadi, merisik kepastian di sebalik jemputan untuk pertarungan yang hebat diperkatakan.

                “Aku tidak tahu, Umar. Mungkin ingin menguji, mungkin ingin melihat sejauh mana keupayaanku.”  Helmi menggeleng, tidak pasti arah pertarungan itu.

                “Aku harap kau hadapi Sifu Agus dengan keyakinan. Walaupun dia lebih hebat berbanding 5 orang semalam, bukanlah bermakna kau tidak boleh menang.Yakin bantuanNya.”

                Helmi terdiam. Dia tunduk dan mencari kekuatan untuk menghadapi hari esok.

 Dia tidak tahu bahawa dia telah mencalarkan maruah orang tua itu. Dia tidak tahu bahawa masyarakat mula tidak percaya kepada Sifu Agus. Tanpa disedari, dia melemahkan perjuangan yang cuba dibawa Sifu Agus. Dan, puncanya adalah dirinya tanpa dia ketahui.

Dia cuma pasti, setiap perlawanan akan diberikan sepenuh perhatian dan kekuatan. Andai menang, maka masyarakat akan lebih percaya terhadap kebenaran yang dia cuba bawa. Dia belum terfikir untuk kalah demi dakwah yang baru sahaja bermula ini. Dan dia tidak pernah terfikir akan ada perangkap yang disediakan untuknya esok.

Dia baring di atas tilam. Matanya menunggu masa untuk lelap. Dia berdoa, semoga Allah mempermudahkan segalanya.


****************************************************


Isnin
17 Jun 2010
10.00 pagi
Dewan Zulam

“Semoga berjaya, nak”. Ibu Helmi memberi kata-kata semangat.

Helmi mengalih pandangan terhadap bapanya. Ayahnya tersenyum, dan mengangkat ibu jari. Bahasa badan itu sudah cukup memberi keyakinan kepada Helmi. Lalu dia bergerak merapati Umar. Dan Umar menggenggam kemas tangannya seraya memberi anggukan bersahaja.

 Helmi dapat rasakan semangat yang mengalir ke tubuhnya. Aura-aura positif dari insan-insan yang penting dalam hidupnya memberikan Helmi tenaga untuk beraksi lagi. Dia bersedia, dan yakin untuk perlawanan ini. Penduduk kampung semakin membanjiri Dewan Zulam.

Di hujung sana, Helmi dapat melihat Sifu Agus dan anak buahnya. Semuanya sedang merenung tajam ke arahnya. Dia tidak gentar, dan tidak sesekali tergugat keyakinan. Namun, matanya tidak dapat lari dari memerhatikan seorang pemuda berjubah hitam, yang duduk rapat dengan Sifu Agus. Dia kenal susuk badan itu. Namun wajahnya terselindung di sebalik penutup kepala dan kaca mata hitam. Dia tidak berani untuk meneka lebih lalu biarkan tanggapan itu berlalu pergi.

Helmi dan Sifu Agus duduk bertentang mata di atas kerusi. Helmi menghulurkan senyuman persahabatan, kebengisan dibalasnya. Mata Sifu membulat, dan memandang Helmi seakan-akan mahu membahamnya. Wajahnya merah, menahan kesumat kemarahan. Taktik psikologi, fikir Helmi. Suasana menjadi tegang.

Meja catur yang telah siap disusun dengan buahnya sudah tersedia di hadapan mereka. Putih dan hitam mewakili pasukan yang akan berperang. Begitulah sinonimnya warna permainan ini. Kini, askar-askar ini hanya menunggu giliran untuk digerakkan. Hari ini, Helmi akan bermain buah berwarna hitam, dan Sifu buah putih. Mereka akan berentap dan mengeluarkan kehebatan masing-masing. Penduduk mahukan jawapan dan kepastian. Siapakah yang akan menang? Itu soalan utama. Atau adakah ada pihak ketiga yang akan menang?

Darum keluar sebentar dari dewan. Dia mengeluarkan sebungkus serbuk putih dari koceknya. Selepas memastikan tiada yang melihatnya, dia mencampurkan serbuk itu ke dalam sebotol air minuman dan menggoncangkannya. Dia senyum sendirian, lalu masuk semula ke dalam dewan. Air minuman dibuat khas untuk Sifu.




*************************************************


Helmi menekan punat jam. Permainan telah bermula. 2 jam dari sekarang, pemenang akan ditentukan. Remaja yang setahun jagung menentang jaguh terkenal di Malaysia. Sejarah baru untuk Kampung Semambu. Rekod mungkin akan tercipta. Pencabar tertua menentang lawan termuda. Penduduk kampung mengerumuni perlawananan itu.

Sifu pantas menggerakkan askar putihnya di petak 4 sebanyak 2 langkah. King’s Pawn Game. Gerakan ini membuka ruang untuk pergerakan Bishop dan Queen. Askar pula berfungsi untuk mengukuhkan kekuatan di petak tengah, sekaligus memberi tekanan kepada hitam. Pemain catur lagenda, Bobby Fischer, pernah mengatakan bahawa pembukaan ini antara yang terbaik kerana kepelbagaian variasinya. Helmi serius dan mencongak strategi yang bakal digunakan Sifu.

Helmi pula mengatur langkah. Semua mata tertumpu ke arahnya.
“c5”, dia membalas tegas. Sicilian Defence. Sifu mendengus.

Pertahanan yang mantap untuk buah hitam. Memulakan penguasaan petak tengah dari bahagian yang berlainan. Pertahanan ini akan memberi peluang untuk buah hitam mengatur serangan dari dalam kubu.Perbezaan penguasaan simetri akan menentukan corak permainan selepas ini. Anak buah Sifu dan penduduk kampung menanti langkah balas yang akan dilancarkan. Sifu mula mengatur langkah seterusnya dengan berhati-hati.

Permainan berterusan dengan serangan bertali arus dari Sifu. Dia banyak menyediakan perangkap dan umpan untuk memancing buah catur hitam.” Fork”,”discovered attack”, dan “pinning” semuanya digunakan. Tetapi, tiada satu pun berhasil. Helmi bijak melihat muslihat dan dapat menghancurkan taktiknya dengan mudah. Ketika dia hampir pasti Helmi masuk ke dalam lubang tipu dayanya, tiba-tiba dia pula yang masuk ke dalam perangkap . Nampaknya, budak ini memang sukar untuk ditewaskan. Dia bijak, dan Helmi genius.

Dalam kesibukan berfikir, Sifu Agus terbatuk. Dia meminta air untuk melegakan tekaknya yang kekeringan lalu memanggil Darum yang dari tadi memerhati. Darum mendekati, dan menghulurkan sebotol air mineral. Ketika itu, mata Helmi menangkap kelibat mata kecil Darum yang tersembunyi di sebalik sepasang kaca mata hitam. Helmi yakin, sepasang mata kecil itu adalah milik Murad,sahabatnya  yang dibuang dari MTNP sebelum ini. Hanya dia mempunyai mata kecil itu jika mahu dibandingkan dengan badannya yang besar. Tetapi, mengapa namanya berlainan?

Permainan diteruskan. Giliran Helmi menyerang. Semua panglimanya dengan garang menembusi tembok pertahanan Sifu. Dia dengan berani telah mengorbankan sebutir pahlawannya untuk mendapatkan rentak menyerang. Dalam bahasa catur, rentak ini digelar “Tempo”. Pemain yang mempunyai “tempo” akan menguasai permainan. Kini, Helmi semakin ligat merencana perjuangan dan peperangan. Dia laksana seorang jeneral, yang mengatur strategi dan melakukan serangan luar jangkaan. Setiap fungsi buah catur dimanipulasi sebaik mungkin. Kedudukaan dipastikan strategik dan menepati kehendak permainan. Percaturannya menjadi. Helmi mula berasa selesa dan gembira. Dan keadaan ini berlawanan dengan Sifu Agus.

Sifu gugup, batuknya makin kuat. Matanya pula menjadi merah. Tiba-tiba, tangannya menggeletar. Darah mengalir perlahan dari hidungnya. Helmi tersentak. Batuknya semakin dahsyat. Tersembur darah merah memekat dari mulutnya. Habis meja catur itu disimbahi darahnya. Dadanya berombak kencang. Dia cuba bangun,namun tidak berjaya. Badannya terjatuh ke atas lantai. Tangannya sempat memegang kaki Helmi. Dia menggelupur kesakitan seperti ayam disembelih. Selepas beberapa saat, semua pergerakannya terhenti. Hanya buih-buih hijau keluar dari mulutnya. Pegangan di kaki Helmi terlepas. Semua orang tergamam. Selepas itu, kaum Hawa mula hilang kawalan dan menjerit. Kaum Adam mencuba menenangkan dan cuba membantu Sifu. Suasana gamat.

Helmi terpana. Mata Helmi yang terbuntang luas masih lagi di jasad Sifu yang terkujur baring di kakinya. Nafasnya tercungap-cungap. Mulut Helmi terlopong dan wajahnya pucat.

Dia memerlukan kekuatan untuk menghadam kejadian ini. Perkara yang berlaku di hadapannya terlalu pantas dan sekelip mata. Baru sebentar tadi dia sedang berlawan dengan Sifu, tiba-tiba ajal maut memanggil dengan pantas. Dan pengakhiran kehidupan Sifu sangat mendukacitakan. Helmi tidak mampu bergerak. Kejutan ini terlalu besar.

Dalam kekecohan,semua  anak buah Sifu bergegas mendapatkan jasad guru mereka yang kaku. Hanya Darum tidak berganjak. Helmi mengalih matanya perlahan-lahan ke arah Darum. Dengan jelas, Helmi melihat dia sedang senyum ke arahnya. Namun, itu bukan senyuman persahabatan. Bukan juga senyuman kemesraan. Tetapi, itu adalah senyuman penuh keji. Mata sepet Darum seakan-akan mengatakan bahawa Helmi telah kalah dan dia yang menang.

Nadi Sifu diperiksa, dan ternyata dia sudah meninggalkan dunia. Pelajar Sifu terpinga-pinga dan juga terkejut. Sebelum ini, guru mereka segar bertenaga dan tiada masalah kesihatan langsung walaupun sudah berusia. Mampu bermain catur sepanjang hari tanpa keletihan.

 Mereka memandang Helmi. Syak wasangka mula berbunga. Rasa sangsi bersarang dan tuduhan-tuduhan yang sangat berat mula bermain di minda pelajar Sifu.

“Helmi meracuni Sifu!”, tiba-tiba sahaja Darum menjerit penuh emosi.

Suasana yang kecoh serta merta senyap. Kenyataan membakar emosi dan fitnah yang dilemparkan pada ketika semua masih mencari punca. Jeritan itu menyentap jiwa.

“Dia terdesak untuk menang. Sebab itu dia bunuh Sifu yang kita sayangi!”, dia meyemarakkan lagi api kemarahan. Mata sepet Darum yang tersembunyi di sebalik cermin mata hitam senyum keji. Taktik menjadi.

 Ketika manusia mencari penyelesaian, syaitan akan sentiasa mencari peluang dan ruang untuk mempengaruhi jiwa yang lemah. Jiwa-jiwa yang lemah akan dihasut dengan segala macam anggapan buruk. Orang ramai sudah termakan hasutan itu. Suara-suara yang mengiakan kata-kata Darum berkumandang. Helmi dilihat sebagai pembunuh. Helmi gila kejayaan. Helmi mengejar kemasyhuran. Helmi itu dan Helmi ini.Mereka mula memandang Helmi dengan tenungan yang tajam. Cemuhan dan ejekan kedengaran.

“Patutla nak lawan dengan Sifu.  Nak menang jahat rupanya.”,keras suara itu.

“Dasar nak menipu orang.Konon nak berdakwah.Ceh.”  , sindiran yang sangat terkesan di jiwa.


“Kenapa kau meracuni dia?”, bertalu-talu soalan menjengah.

Helmi tidak mampu berbuat apa-apa. Ayah dan ibunya juga tidak mampu menahan gelombang kebencian itu. Dia melihat sekeliling. Dia dapat lihat ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk belajar dengan dia memandang dengan kebencian. Wajah-wajah yang dulu senyum menyapanya kini masam mencuka. Setiap wajah yang dia kenal bertukar asing sekelip mata. Dia memejamkan mata, tidak sanggup melihat realiti yang dia sedang berhadapan.  Masyarakat membencinya.

Saat ini, hatinya bagai dirobek dengan pisau tajam berbisa. Kemudian seolah-olah cuka yang masam dicurah ke atas luka itu. Perasaan ini sangat pedih. Tidak menyangka, perjuangannya yang baru hendak bermula akan berakhir di sini. Benih yang cuba disemai, disembur racun. Pokok yang baru bertunas, dicantas dan dipijak sehingga hancur. Hatinya remuk sekali. Inilah puncak kesakitan. Linangan air mata kekalahan mula bergenang. Helmi berasa terasing, dan keseorangan.

Tetapi, dia tidak bersalah! Dia tahu, tetapi tidak mengerti kepada siapa yang harus dipersalahkan. Dalam kesedihan itu, dia mula mencari rasional yang bersembunyi. Dia memikirkan punca dan sebab dia berada dalam situasi genting ini. Dia mahukan jawapan untuk satu persoalan.  Siapakah insan yang sanggup meracuni Sifu?

Matanya mencari Darum. Dengan penuh teliti, dia lihat Darum sedang melangkah keluar dari dewan. Insan yang memfitnah dirinya meninggalkan dewan itu.

“Tunggu!”. Helmi pasti Darum mempunyai jawapan. Suara itu tengelam, dan Darum terus berjalan.

Helmi memaksa kakinya untuk berlari dalam mata yang masih berlinang, dan hati yang luka. Langkahan kaki dipercepatkan, orang ramai terpaksa ditolak ke tepi, dan dia lihat kelibat Darum melepasi pintu dewan.

“Berhenti, Murad!”, Helmi separa menjerit. Nafasnya termengah-mengah. Telahannya tepat.

Darum, atau nama sebenarnya, Murad, berhenti dari melangkah. Murad berpaling ke arahnya. Dia menanggalkan cermin mata hitamnya dan identitinya kini jelas. Senyuman kemenangan terlakar. Murad mula ketawa kecil. Dan tawanya, seperti hilaian orang gila semakin kuat. Helmi tidak mengerti.

“Aku menang, Helmi.”, Murad ketawa bedekah-dekah, seperti tawa itu tidak akan berhenti.

“Selama ini, aku menanti khabar beritamu. Ke mana kau pergi?”, Helmi tidak syak apa-apa. Dia mengesat air matanya.

“Kau jangan berpura-pura baik dengan aku. Hari ni, aku dah balas dendam terhadap perbuatan kau menganiayai aku dulu. Nama kau tercalar, kau sudah tidak dipercayai, dan kau dibenci! Jangan kau bermimpi untuk mengubah orang lain lagi.”, ketawanya masih lagi berterusan. Helmi tersentak mendengar kenyataan itu. Dia mula ingin tahu lebih lagi. Mungkin Murad perancang segala malapetaka ini. Ya, ada kemungkinan. Air mata Helmi sudah kering.

“Apa sebenarnya yang telah kau buat, Murad?”, persoalan pertama yang menjengah di kota pemikiran Helmi.

Murad masih tersenyum. Dia merapatkan diri dengan Helmi. Dia seakan-akan berbisik.

“Hebat kan percaturan aku. Kau pasti terkejut. Aku berjaya menggunakan Sifu, ketua kampung, penduduk, dan Kelab Catur Semambu mengikut kehendak aku. Semuanya tertipu. Semuanya bodoh. Semuanya alat untuk aku. Hanya aku yang bijak”, ketawanya pecah semula.

“Aku tidak percaya. Kau perancang perlawanan aku hari ini?”, Helmi menyoal dalam nada tidak percaya.

“Mestilah! Kau ingat lagi semasa kau menegur aku di MTNP dulu? Aku sedikitpun tidak kesah. Kemudian, kau memberitahu guru bahawa aku meninggalkan solat, bukan? Hasilnya, aku dibuang sekolah.  Terima kasih kepada kau, aku dibenci ibu bapa sendiri. Mereka mengatakan bahawa mereka malu mendapat anak seperti aku. Mereka  malah menghalau aku dari rumah. Pertama kali dalam kehidupanku, aku merasa sangat sedih. Dan semua air mata telah aku tumpahkan pada hari itu. Yang tinggal, hanyalah dendam kesumat keramat terhadap kau! “.

“Maafkan aku. Sungguh, aku tidak tahu.”, kelu lidahnya apabila dituduh bersalah sedemikian rupa.

“Hahaha…Tengok, pandai pun minta maaf. Penat aku aturkan rancangan selama ini untuk menghancurkan hidup kau tau.”, Murad mula gah menceritakan perancangannya yang bernas itu.

”Kau tahu, aku penyamar yang sangat baik. Mula-mula, aku menyamar jadi Damur yang setia dengan Sifu Agus. Sebab aku tahu haluan perjuangan kau yang bercanggah dengan pembawaan ideologi dia. Pasti akan berlaku pertembungan antara fikrah kamu berdua. Kemudian, aku membayar Pak Simawan untuk mengatur perlawanan kau menentang 5 orang anak buah Sifu Agus serentak.”, Murad menelan air liur dan terus bercerita.

“ Namun, aku akui, aku terkejut kerana kau mampu menang. Tetapi, aku sudah menyiapkan rancangan kedua, rancangan yang lebih kejam dan pasti mendatangkan kejayaan. Sifu Agus berjaya aku manipulasi, dan dia mengikut perancangan yang ditetapkan untuk menentang kau. Aku akan racuni dia semasa sedang berlawan dengan kau. Kemudian, penduduk kampung akan menuduh kau membunuhnya demi sebuah kemenangan. Semuanya telah terjadi, mengikut kehendak aku. Idea Islam yang kau cuba bawakan akan terkubur di sini. Lupakan je la perjuangan kau. Lihat, kesannya telah kau rasakan.”, dia tersenyum bangga. Percaturan yang hebat. Pembalasan dendam yang sempurna. Semua mengikut telunjuk arahannya. Helmi tertunduk, dan menggeleng.

“Aku tidak percaya kau akan bertindak sejauh ini hanya kerana sebuah dendam. Adakah kau lupa bahawa membunuh manusia lain itu adalah dosa yang sangat besar, selepas mensyirikkan Allah. Hanya kerana aku, kau mengambil nyawa seorang Mukmin yang lain. Aku tidak percaya.”, matanya basah untuk kali kedua. Air mata yang tumpah kerana takutkan balasan Allah di hari kiamat kelak. Dia sangat gerun.

“Sudahlah dengan tangisan kau. Hati aku sudah lama kering. Hahaha,” Helmi seronok melihat dia menangis. Dia pasti Helmi tidak sangka setiap perancangannya yang genius.

“Moga kau terus menangis, dan  jika ada masalah panggillah aku.Hahaa.”, Murad gelak ketawa, dan menikmati saat itu. Hatinya puas dapat meluahkan segala yang terbuku di hati. Dia sangat licik, tiada bukti yang dapat mengaitkannya dengan pembunuhan itu. Dia pasti sekali.

Tet,tet,tet.

Telefon Murad mendapat mesej. Nombor tidak tertera, menunjukkan mesej dengan kod-kod rahsia. Nampaknya ada tugasan lain perlu dibereskan. Tugasan di sini dianggap sudah selesai dan sempurna.Dia melangkah pergi ke arah keretanya, meninggalkan Helmi yang dia pasti sudah hilang semangat dan tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

 Tiba-tiba, Umar keluar dari belakang pintu dengan memainkan pita rakaman percakapannya. Suara Murad yang bercakap jelas kedengaran.

“Kau telah terperangkap dalam perangkap kau sendiri, Murad.”, Umar bersuara tegas. Wajah Murad yang dari tadi ceria bergelak ketawa, bertukar merah padam dan jiwanya terbakar. Rahsia sudah bocor! Dia pantas melarikan diri.

Di belakang Umar, sepasukan polis yang sudah lama bersembunyi keluar lalu mengejar Murad. Murad bergelut cuba melarikan diri. Walaupun fiziklanya besar, namun dia terpaksa akur dengan ketangkasan skuad itu. Cubaan melarikan diri gagal.Dia ditahan dan dibawa ke balai polis atas tuduhan rasuah dan membunuh.Pita rakaman dijadikan bukti utama.

Umar mendekati Helmi yang masih rawan. Mata Helmi tidak melihat dirinya. Badannya longlai. Dia usdah penat dengan kejutan. Dan akhirnya dia terjatuh dalam pelukan Umar.Terlalu besar dugaan dia pada hari ini.

“Helmi, ingatlah ayat 54 Surah Ali-Imran.  Allah telah berfirman dalam al-Quran: Dan Mereka merancang. Allah juga merancang. Dan Allah Sebaik-baik Perancang.” Umar berbisik di telinga Helmi, yang pasti sudah tidak mendengar. Dia pengsan.

Perancangan Yang Esa tersembunyi dan tidak diketahui. Kita mungkin berusaha, dan natijahnya Dia yang tentukan. PercaturanNya di luar dugaan kita. 


About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!