Facebook Twitter Google RSS

Tuesday, December 20, 2011

Di mana fokus kita?

      Kita remaja berdarah muda. Penuh kekuatan, pesat dengan pemikiran, sehingga layak memegang panji ejen perubahan dalam masyarakat. Darah muda ini bisa meruntuhkan sebuah gunung yang cuba menghalang matlamat dicita dan memecahkan segala sekatan yang melanda. Darah ini membawa hati berapi semangat untuk berjuang melawan segala halangan dan menolak setiap ancaman demi menegakkan apa yang kita percaya. Hatta jika lautan berapi dibentangkan, nescaya dengan keyakinan dipegang kukuh kita tidak akan teragak-agak untuk terjun dan berenang jika itu yang mampu merealisasikan impian. Umur yang menyaksikan kekuatan di antara 2 kelemahan sebagaimana firman Allah yang membawa maksud ; 



Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban." Surah Ar-Rum ayat 54




       Benar, inilah kekuatan kita sebagai pemuda yang perkasa malahan dimantapkan lagi dengan semangat yang membara. Dicekalkan dengan pohonan keazaman dan ditautkan dengan akar kefahaman. Padat dengan lautan impian untuk menikmati kebaikan pada masa depan. Kerana, sememangnya kita sebagai pemuda layak dan berkemampuan untuk membawa perubahan!


       Tetapi, tunggu sebentar ya. Tahan dahulu semangat membara itu, kita duduk sejenak dan berfikir dengan adil. Tarik nafas, dan lepaskan perlahan. Ulang lagi. Rehatkan suara yang penat berdemonstrasi tadi, dan kita bincang dalam nada bicara mesra. Oh, bendera itu pun letak di tempat asalnya.


        Seperti kamu, saya juga mahasiswa, dan mahu membawa perubahan dalam negara. Saya berdarah muda, dan sanggup berkorban andai diperlukan jika itu yang mampu merealisasikan impian. Kongsilah buah fikiran perubahan kalian. Percayalah, saya dengan senang hati mengikut jika itu mengikut landasan yang disuluh al-Quran dan Sunnah yang kita akui sebagai rujukan dalam setiap lapangan.


         Oh, saranan dan cadangan yang bernas. Saya setuju dengan buah fikiran dikeluarkan Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik ( BEBAS). Usul yang menarik dan saya sebagai mahasiswa menyokong beberapa cadangan yang diutarakan. Menuntut agar mahasiswa bebas untuk menyertai politik dan bebas mengeluarkan pendapat walaupun bercanggah dengan arus semasa. Dengan harapan, mahasiswa tidak lagi menjadi "bodoh" dan semakin berani dalam mendayung perahu reformasi.


           Tetapi, atas neraca sikap adil dan saksama juga, saya tetap tidak bersetuju perbuatan menurunkan gambar pemimpin itu. Pada hemat mahasiswa yang kerdil ini, mudaratnya tampak lebih besar dari kebaikan yang mungkin ada. Beranikah neraca timabangannya? Akalkah yang merasionalkannya? Atau sekadar hasil bakaran emosi jiwa muda? 


             Bagi saya, ini tidak menunjukkan kematangan seorang mahasiswa yang berusaha memperjuangkan kemaslahatan masyarakat pada masa yang panjang. Cuba membawa perubahan, tetapi merosakkan sebelum sempat mengubah. Di mana fokus yang cuba digambarkan ketika itu? Adakah sekadar satu bentuk melepaskan tekanan tanpa memikirkan kesan kepada diri dan orang sekeliling?




             Sungguh, masyarakat yang pelbagai menafsirkan perbuatan itu kepada banyak pecahan. Tidak dinafikan, ada yang akan bersetuju dan mengiyakan untuk menunjukkan bahawa suara mahasiswa bukan main-main, dan wajib diberi perhatian. Ya, kita sebagai mahasiswa golongan terpelajar malahan dijadikan sandaran untuk pentadbiran negara.




              Tetapi, apakah pernah terlintas walau sejenak kesan yang bakal berlaku kepada masyarakat yang lain? Pemimpin yang masyarakat percaya untuk menjadi ketua dan memimpin, diperkecilkan. Harapan, dan impian diperlekehkan. Keyakinan mereka diinjak kasar, dan tersebar luas pula dalam arus perdana. (Almaklum arus perdana tidak seberapa jujur) Ini menyemarakkan api peperangan antara mahasiswa dan masyarakat setempat. Mereka akan cenderung untuk melawan dan menegakkan kembali kepercayaan mereka atas dasar yang mereka percaya.




Bukan apa, mereka berasa seperti direndahkan. Pemimpin yang mereka pilih seolah-olah tidak layak langsung untuk menggendong arus pemerintahan, dan mereka pastinya akan memulakan reaksi yang negatif. Lalu, mereka akan menolak terus kalian dan menutup sebarang ruang bicara yang cuba diutarakan. Idea perubahan yang kita bawakan bukan sahaja tidak dapat difahami, malahan mungkin akan ditolak mentah-mentah. Bukankah ini akan membunuh perjuangan perubahan yang kalian bawakan dan merugikan kalian dalam jangka masa yang panjang?

        Kita perlu fikir semula. Fokus kita ingin semua pihak menerima perubahan dengan hati yang lapang dan terbuka. Tanpa dipaksa, mereka rela. Bukan dipaksa, dan kemudian mereka melarikan diri pula. Bukankah kita ingin melihat Malaysia yang lebih aman dan sejahtera? Maka, wajar untuk kita menanamkan kepentingan perubahan yang kita cuba bawa dalam kehidupan mereka. 
 
        Sebagaimana dakwah Rasulullah di Mekah selama 13 tahun, menumpukan kepada konsep pengukuhan akidah dan menanam kepercayaan tentang Islam. Kita juga perlu melakukan yang sama. Mantapkan jiwa mereka dahulu dengan cinta kepada Rabb, kenalkan mereka dengan Islam sebenarnya, dan perbaiki akhlak di samping penambahbaikan dalam ibadah. Lebih-lebih lagi kita yang ingin memacu perubahan, adakah diri sudah mampu dijadikan sandaran? Atau sekadar idea dan suara mampu dilontarkan, tetapi nafsu diri masih buas bertempiaran? Bagaimana dengan solat malam? Solat berjemaah seharian? Adakah kita pemimpin yang tertipu dengan revolusi, dan hanyut dalam reformasi fantasi? Jangan wahai teman.

        Kita bukan sekadar melaung kata menuntut perubahan, tetapi kita juga melaung slogan agar masyarakat kembali kepada Islam. Kita memperindahkan akhlak dan ibadah. Kita perkuatkan jiwa kita dan para sahabat, dan dengan kekuatan itu dapat menjadi ejen perubahan dalam masyarakat. Baiki dirimu dahulu, baru menyeru orang lain. 

         Fokus kita, kita perlu mula dari batu asas semula. Bina jiwa manusia. Dekatkan mereka dengan Rabb. Mantapkan ibadah, jernihkan fikrah, dan jalinkan ukhwah. Ini fokus kita, pembinaan individu Islam yang muslim dan mukmin.

         Selepas itu, terbina pula baitul Muslim yang akan membantu dalam pembinaan masyarakat yang Muslim. Ini menjadi pendorong dalam bangkitnya Daulah Islamiah. Dan matlamat utama kita, agar Islam kembali sebagai Ustazatul Alam.

Maka, kembalilah kepada fokus. Tetapkan matlamat, dan kenalpasti fokus. Di mana kuning telur, dan untuk apa putih telur?
 
        Akhirnya, kita bersama-sama dalam proses mencari kematangan sebenarnya. Kesilapan pasti akan berlaku,malahan penyimpangan dari haluan perjuangan boleh juga berlaku tanpa kita sedari. Sejauh mana kita menyedari kesalahan itu, itulah kayu ukur kepada kematangan yang ingin dibina. Pimpinlah setiap pandangan akal dengan suluhan wahyu dan sunnah, agar hidup terpimpin dan terpateri dalam haluan yang unggul.

Hidup bersuluh wahyu,
Ditaut sunah rasul,
Menjernihkan jiwa,
Membersihkan hati,
Dan memperkasa diri!
 
Selamat berFOKUS!

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!