Facebook Twitter Google RSS

Sunday, December 4, 2011

Mencari hati


     Kepuasan membadai diri apabila matlamat dikecapi. Pencapaian yang baik untuk diriku kerana aku hampir berjaya melaksanakan semua pekerjaan dan tugasan yang ku hajatkan. Aku puas, membantu Mu’min yang gembira kerana berjaya membuat jamuan di rumahnya. Aku juga puas apabila berjaya melapangkan masa aku untuk mengajar Salleh. Dengan bahasa perantaraan bahasa Inggeris dan Arab, ilmu berjaya dikongsi dengan jayanya. Matlamat hidup untuk memberi berjaya diaplikasi. Walaupun masih ada matlamat yang tidak tergapai, aku pasrah kerana memikirkan kesuntukan masa dan halangan yang dihadapi.


    Namun,dalam keriangan aku membantu manusia dan bersama rakan-rakan, aku tahu ada sesuatu yang aku perlukan tetapi belum dimiliki. Aku sering terfikirkan perkara ini ketika bergembira bersama mereka. Dalam keseronokan dan keriangan itu, tiba-tiba hatiku memainkan lagu berentak kesedihan. Terus menerkam dan menghalau gelak tawaku. Liriknya membuat aku terus senyap membisu. Melodinya mahu mengikis keceriaan dariku. Aku mula mencari dengan gelisah, apakah perkara yang aku terlepas pandang atau aku terlupa lakukan. Hatiku perlu disoal siasat segera, agar aku mampu merungkai keresahan yang melanda.


    Tetapi, mencari dan berkata-kata dengan hati tidaklah semudah ABC. Hatiku mahukan kesunyian untuk didampingi. Dia tidak bisa berbicara tatkala aku tengelam dalam keseronokan duniawi. Hati kecilku, amat sensitif dan banyak karenahnya untuk didekati. 


     Aku cuba mencarinya. Bukan dalam hiruk pikuk bersama manusia, atau ketika suasana caca marba. Hidup yang pantas, perlu aku hentikan seketika. Berhenti sebentar dari kebuasan masa dan kejahilan yang rakus meratah jiwaku ini. Ketenangan, bersendirian, dan kejujuran, semuanya elemen untuk aku mencari hati yang kesedihan, dan bercakap dengannya.


     Aku memerlukan masa bersendirian untuk melihat hatiku. Bertanyakan khabarnya, mengenal kehendaknya, dan menasihatinya dalam ruang bicara yang sunyi. Tanpa ketenangan, hatiku menutup mulutnya dan enggan berbicara. Itu sudah pasti.


     Dan kemahuanku untuk bersendirian kadang kala dibalas dengan kata-kata bahawa aku seorang yang suka menyendiri. Aku dikatakan tidak mahu berkawan dan tidak mahu meluahkan perasaan. Aku dilabel manusia yang senyap, dan pesimis dalam kehidupan. 


     Kalam bicara manusia, yang kadang kala terlupa bahawa setiap manusia kehendaknya berbeza. Kita diberi pilihan untuk memilih berdasarkan kesesuaian. Tindakan menyamakan manusia ini dengan manusia lain, adalah kesilapan besar. Aku bukan si polan yang suka berkata-kata untuk meluahkan resah di jiwa. Aku bukan juga si polan yang akan mencari manusia untuk mendengar rintihan hati yang menderita. Aku hanyalah hamba lemah yang mencari tuannya untuk berkongsi rasa yang terbuku lama. Itu pilihan aku. 


     Benar, aku memilih Dia untuk mendengar rintihan aku. Hanya Dia yang mengetahui, betapa aku mahu berdamping denganNya dalam setiap masa dan ketika. Dia yang mengetahui kehendak dan keinginan sanubariku, memahami naluri jiwaku, sabar dengan karenahku, dan Maha Pengampun atas dosa yang aku lakukan. Hatiku lunak apabila bersama Dia. Dunia yang sempit dirasakan luas. Ketenangan, kedamaian, dan keceriaan mengisi hatiku tatkala bersama Dia.


     Kerana Dia Pencipta segala jiwa. Dia memahami kehendak dan keperluan ciptaanNya. Sebab itu, kadang kala kita diuji dengan bencana dan malapetaka. Allah mahu memberi peringatan, agar kita kembali kepadaNya. Berkongsi rasa dan luahkan permasalahan kepadaNya. Kerana Dia sentiasa ada masa untuk kita. Tetapi, adakah kita ada masa untuk Dia?

 Sibuk? 
Atau buat-buat sibuk?
Atau lebih selesa berkongsi di muka buku?
Pilihan di tangan kita untuk memilih. Tetapi, Allah lebih dekat dengan kita dari apa-apa sekali pun.


     Kini, marilah hatiku. Kita duduk bersama-sama di atas sejadah. Luahkan kemahuanmu. Perdengarkan rintihanmu. Biarkan Dia mendengar dan memahaminya. Semoga kau menemui kehendakmu, wahai hati yang diam bicara.

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!