Facebook Twitter Google RSS

Monday, December 19, 2011

Saat Dan Waktu

Selama beberapa ketika, hati dan jiwa terasa tersangat segar sehingga terjelma sebagai kekuatan dalam kehidupan. Sangat kuat untuk melakukan kebaikan, sangat yakin melalui denai rintangan, dan tabah melawan nafsu yang cuba menawan. Ketika itu, terasa dekat dengan Rabb. Hati basah mengingatiNya, kegersangan yang dialami dalam jiwa bagaikan terubat dan mencambahkan keinsafan atas dosa yang pernah dilakukan. Kelapangan masa pula dimanfaatkan dengan menelaah buku, mencari ilmu baru, dan mempesona akhlak diri sebagaimana tuntutan Rasulullah yang dirindu.


Pada saat itu juga, kesalahan yang kecil terus dapat dirasakan kesannya. Seakan-akan tompokan hitam yang baru terpalit di atas baju putih yang baru dibeli. Terasa jelas dan dapat dilihat betapa jijiknya kotoran itu. Sekecil-kecil kotoran yang wujud, membuatkan minda bermain dengan penyesalan dan taubat kepadaNya. Tidak mampu bertoleransi, tiada ruang diplomasi, diri perlu dimujahadah dan diperbaiki.


Tetapi, itu ketika kuat. Semuanya indah ketika diri ini kuat. Semuanya mantap, tidak tergugah, malahan diri teguh menggigit prinsip kehidupan dalam serbuan taufan cabaran. Biarlah gunung dijatuhkan, biarlah langit bertebaran, biarlah bumi berterbangan, kita mampu hadapinya ketika itu dengan jiwa dan hati yang basah penuh kepercayaan kepada janjiNya.  


Tapi, macam mana ketika lemah tidak berdaya? Ketika kita terhempas dari jalan kehidupan yang ditetapkan? Ketika terpesong dari matlamat penciptaan?


Ketika melihat kejahatan jiwa terasa layu, mengubah sudah pasti tidak mampu, sekadar melihat dan berteleku memandang dengan mata sayu. Sangat sedih ketika itu.


Lemah dan resah, dikuasai nafsu serakah. Jiwa tidak dapat melihat berhala yang bertahta dalam hati, dibutakan oleh dosa yang bertubi-tubi. Kejahilan di sekitar tidak diendahkan, kemahuan diri sentiasa diturutkan. Masih Islam, tetapi dibelenggu jahiliah. Masih sembahyang, tetapi diikat kebatilan!


Begitulah kita sebagai manusia. Lemah, dan cepat berubah. Bukan seperti malaikat yang sentiasa taat beribadah kepada penciptaNya. Kita ada masa kuat, dan ada masa lemah. 


Kerana, itu adalah lumrah jiwa manusia. Tidak tetap, dan sentiasa berbolak-balik. Sebagaimana kefahaman yang kita percaya, iman akan sentiasa naik dan turun bergantung kepada amalan kita. Sebab itulah, kita perlu sentiasa menguatkan hati dengan senjata yang dimilki, agar iman itu kukuh berdiri.  

Dan antara wasilahnya adalah duduk sejenak dari kebuasan dunia dan bersama-sama rakan dalam satu perjumpaan untuk mengkoreksi hati.


Jujur, tatkala duduk bersama para sahabat yang mengingatkan tentang keindahahn agamaMu, aku terasa terhibur untuk menolak segala kesedihan yang bersarang. Mereka menceritakan tentang keagungan pengaturan yang Kau tetapkan, maka aku berasa gembira. Rupanya pelangi yang disediakan hanya timbul selepas aku merasa keperitan dalam jiwa. Sebagaimana peristiwa Isra' dan Mikraj yang Allah sediakan sebagai tempat berehat Nabi, begitu juga yang kita akan lalui tatkala merasakan kemuncak tekanan dari kehidupan. Tetapi, persinggahan untuk rehat hanya tiba selepas kita berusaha dan menanggung derita. kan.


Sebab itu, sampai di Jordan, aku bersyukur kerana diberi peluang untuk melalui jalan kehidupan yang aku tidak pernah bayangkan. Jalan yang jauh dari kehidupan yang aku pernah impikan. 

Yang pasti, langkahan akan tetap diteruskan. Dengan bantuan rakan seperjuangan, derapan ke hadapan menjadi saksi untuk kejayaan masa depan. Ini bukanlah tentang usaha berseorangan, tetap ketumbukan yang ingin menjadi ejen perubahan. Bersama jemaah, kita menyusun langkah. Bersama teman, kita memperkuat ikatan. Mula dari bawah, agar mampu menjadi penyelesai masalah. Bukan melihat dari atas, dan tersungkur dalam najis keegoan.

Hanya saat dan waktu akan memisahkan dari kejayaan yang sekian lama diimpikan. Janji Allah itu pasti tiba dalam surah al-Ahzab ayat 38. Kita berusaha, dan Dia akan menentukannya. Kepada diri, terus tabah dalam haluan ini. Berpaksikan al-Quran dan Sunnah, titian akan terbentuk dan kaki akan gagah melangkah. Kuatkan fikrah, tingkatkkan mutabaah amal, dan pacakkan prinsip yang jelas.

*Hidup untuk menyumbang, sebelum menyumbang perlu diisi. Maka, isilah untuk mengisi. Terus melangkah!

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!