Facebook Twitter Google RSS

Sunday, February 19, 2012

Emosi oh Emosi

Pepatah Arab ada menyebut, 

 Seseorang itu akan mengikut agama temannya.
Maka,
lihatlah dengan siapa anda berteman.

    Cukuplah pesanan dari pepatah ini menjadikan aku termangu keseorangan pada malam di Irbid ini. Selepas meraikan sambutan hari lahir akhi Andyka sebentar tadi, aku kini telah kembali ke gua fikiranku. Aku membawa argumen terhadap sikap diriku yang sekian lama sepikan. Dan segala komen-komen silam mula berkocak dalam dada serta jiwa. Imbasan lama terbayang, aku dahulu yang jahil dan jauh dari kebenaran. 

   Dulu, aku sangat tidak memilih untuk berteman. Cukup mereka boleh menemaniku meluahkan aksara dan melayani lantunan melankolik cerita hangatku. Dengan meminjamkan telinga, aku akan menghargai mereka sebagaimana aku mencintai hidup aku. Biarlah mereka perokok, atau pelawan tegar ibu-bapa, atau penjaja cerita dusta, hatta pelaku maksiat yang tercela masih ku terima berada dalam lingkaran persahabatanku.

   Lebih-lebih lagi dalam kondisi perumahanku yang kecil komunitinya, merekalah sahabatku apabila aku menjejakkan kaki ke rumah seusai berpenat lelah di sekolah. Semua kenangan silamku terpalit dengan jejak hidup mereka. Yang manis, yang duka, yang masam, mahupun yang tercela. Aku takut. Sangat takut apabila suatu masa nanti kejahilan silamku kembali memburu mencari kealpaanku. Menarik kembali diriku menjadi si jahil, menjadikan diriku hamba kepada berhala dunia, dan menceraikan aku dari perasaan kecintaan Tuhan yang dimiliki. Semoga Allah jauhkan.

   Kisah hidup yang pernah dilalui jauh dari biasa. Terlalu luar biasa. Andainya ada yang membandingkan diriku sekarang, dengan Shazmie yang suatu masa dahulu mereka kenali, apakah label hipokrit dan kepura-puraan bakal meniti? Andainya manusia tahu sejarahku, adakah mampu mereka menerima kisahku? Andainya mereka mengerti, adakah mereka akan simpati? Atau biarkan aku kembali ke fitrah asal yang penuh kecelaruan, hidup dalam kepalsuan, dihinggapi perangai yang dibencikan, dan akhirnya mati dalam kejelikan!

    Tidak. Tidak semudah itu. Sebab itu kawan kembali memainkan peranan. Penyelesaian mudah yang dapat ku simpulkan dari kehidupan dahulu, aku terkesan dengan suasana pembesaran yang tidak menentu. Berbeza dengan kebanyakan rakan-rakan dalam bimbingan agama. Bagaimana sikapku dahulu mencerminkan lingkaran persahabatanku. Yang pasti, sama ada dulu, kini, sekarang, atau nanti, perubahan adalah ketentuan yang akan berlaku.

    Syukur, dan terus bersyukur, peristiwa dicampakkan ke bumi Anbia ini sememangnya terlalu besar erti. Belajar mengenal Rabb, dan tahu perjuangan hidup, malah dikelilingi pula sahabat yang membimbingku ke arah cahaya Ilahi, aku jatuh cinta dengan Jordan. Bukan sahaja kerana suasananya yang mencairkan kenangan Malaysia, jauh sekali kerana falafel yang menjadi makanan kegemaranku, tetapi lembutnya ruh Islam menjentik hati perawanku dan suasana menegur melengkapkan lagi perubahan yang aku dambakan.

    Hingga saat dan ketika ini, sebenarnya masih ada satu jahiliah yang bertapak dan melekat kukuh di hatiku. Ketika aku merasakan sudah dibereskan, dia terus menyinga menzahirkan sifatnya. Susah sangat dia ni nak keluar. InsyaAllah, semakin lama dia semakin lemah, dan bakal terjatuh terjelepuk atas tanah seiring dengan usaha kerasku membasuh dengan air ibadah dan hikmah.

   Cuma, nak dekat 6 bulan berada di sini, ada dua tiga kali dia menyalak dan membaham lumat kesedaranku. (hiperbola). Semasa menyambut hari lahir Nazmie, dia keluar, dan mengacah-acah aku dengan Ariej sampai aku terpaksa kurung dia dalam gua semula. Kali kedua, dia kerap meyalak dari luar untuk mengapikan kehangatan pemikiranku ketika ku berada dalam tekanan. Dan kali ketiga, semasa sedang membeli buku bersama Afiq dan Shahmi, dia puas nak keluar tapi aku ambil keputusan untuk tahan dan bawa jalan-jalan. Susah nak jaga. Dia sudah lama membesar dalam diriku. Cuma, dulu dia boleh bertindak sewenang-wenangnya dan memaksa aku melebihi batasan, namun kini aku lebih berkuasa dan boleh mengarah dia untuk lebih bersabar.

   Perjuangan aku berlawan dengan dia tidak akan selesai dalam masa terdekat. Walaupun mengambil masa yang lama, aku percaya dia bakal menangis dalam masa yang terdekat ini. 18 tahun bersama, dan dia banyak membantu aku melebihi batasan keupayaan untuk memperjuangkan kepercayaan walaupun kepercayaan dulu batil. Diakui aku perlukan pertolongannya pada sesetengah masa, tapi aku perlu jadikan dia bawah kesedaranku. Sudah cukup manusia menyalahkanku diriku disebabkan dia. Ibuku, bapaku, abangku, ustazah Rohana, dan hari ini abang Adyka, semua bermesej sama. Sama ada aku menang, atau kalah diketawakan syaitan. Nauzubillah..

   Maka, kepada dia yang membaca, ketahuilah, ketibaanku ke Jordan telah menanamkan pasak yang kuat untuk menyahkan dikau dari lubuk hatiku. Kau bukan lagi sahabat di hatiku, dan bukan lagi maharaja, tetapi kau adalah hamba di hadapanNya, sebagaimana diriku yang memperhambakan diri kepada Allah. Tundukkan kepalamu, patuhi arahan dari Pemilik Keagungan, dan jadilah hamba yang jinak. Kita adalah hamba. Buangkan keliaran yang menakutkan. Hapuskan kejahilan yang merosakkan. Lembutkan perlakuan jernihkan fikiran. Dan kembali senyum. Eh?

   Emosi, aku kini sudah mempunyai impian hidup yang murni dan suci. Kau bukan lagi musuh kepadaku. Marilah membantu mencabar batasan keupayaanku untuk menjadi seorang yang dekat kepada Ilahi, berbakti walaupun dianggap sepi, menyebarkan agamaMu seumpama daie, dan bertenang ketika kemarahan memuncak dalam diri. Mari emosi, bertapak ke bumi yang baru. Kita buang perjuangan lama yang batil, dan tegakkan perjuangan baru yang bakal menyinari keseluruhan alam ini. Kelemahan, kejahilan, kebodohan, kedaifan, semuanya kita janji akan berusaha untuk tinggalkan. Ini janji kita. Kau bantu aku menjadi lebih baik, dan aku akan bantu kau untuk meninggalkan kenangan silam tu. Boleh?


   
Semoga diriku terus ceria.:)
Gambar diambil selepas bekerja penceramah Solivite.

*Note: Masuk bahas di Irbid. Gulp. Allah yusahhil alaina.





About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!