Facebook Twitter Google RSS

Thursday, April 12, 2012

Meneladani Perbezaan

Assalamualaikum wbt kepada sidang pembaca. Semoga antum semua dalam keadaan sihat jiwa dan ceria jasmani sentiasa di bawah payungan cintaNya.

Bila nak dekat setahun duduk perantauan ni, tiba-tiba je boleh rindu cuaca panas Malaysia. Panasnya mampu membasahkan segenap penjuru segi tubuh badan dengan peluh dan keringat. Tidak dinafikan, dulu aku akan rasa rimas. Namun kini, aku rela dibasahi keringat andainya ia mampu memadamkan api kerinduanku yang semakin membara dari hari ke hari, bukan sekadar kepada bumi Malaysia, tetapi kepada insan yang bertakhta di sana. Biarlah penantianku ini lama dirasa, supaya semua merasai dengan jiwa betapa nikmatnya saat kita pernah duduk sejenak bersama.

*Nasib baik kat Jordan dah mula musim panas. Dapat jugak rasa panasnya mentari.

Aktiviti minggu ni agak padat. Minggu lepas, baru je habis Pertandingan Sukan Antara Mantiqah di Jordan atau singkatannya KARISMA 2012. Aku masuk merentas desa dan pertandingan catur. Alhamdulillah, rezeki untuk Irbid apabila pasukan catur dapat Johan. Merentas desa pula sekadar mendapat pingat gangsa. Tapi, aku berlari pakai seluar jeans masa bertanding tu. Kiranya, kalau pakai seluar track boleh dapat perak la kot. Haha

Tapi, sebab pergi KARISMA, aku terlepas pengisian rohani untuk minggu ni. Persoalan mula menerawang, berbaloi ke pengorbanan demi sebutir pingat dibandingkan dengan usaha peningkatan rohani ? Tatkala kita masih lemah untuk berhadapan dengan mehnah dan tribulasi dunia, kita pergi fokus kepada perkara lain. Betul ke tindakan ni?

Lagipun, pemergian ini sekadar membantu pasukan Irbid yang menghadapi masalah kekurangan peserta, bukan sebab aku yang terbaik atau sebagainya untuk pertandingan tu. Kerana kita percaya, di saat kita membantu meringankan bebanan orang lain, Allah akan memudahkan urusan kita, insyaAllah.


Sebenarnya, aku nak kongsi satu pemerhatian yang lahir hasil pencerapan aku terhadap beberapa keadaan dan situasi dalam kehidupan. Mungkin dah banyak kali terjadi baru aku perasan kaitan antara perkara ni. Dan mungkin juga aku sorang je yang ketinggalan sebab tak nampak hubungkait antara perkara ni.

Mudah je teori aku. Macam ni ya.

Segala pandangan, reaksi, tindak balas, kefahaman, kebiasaan, dan penerimaan terhadap sesuatu isu atau perkara akan terjelma hasil daripada persekitaran dan biah yang kita sedang, atau pernah duduki.

Kalau duduk kat Malaysia dulu, aku tak endah sangat teori-teori plastik macam ni. Ye la, memang la kita akan dibentuk oleh faktor-faktor tersebut. Tapi, bila dah belajar di luar negara, melihat suasana Malaysia dari luar, lihat masyarakat negara lain, dan kita lihat juga budaya ilmu yang ada di negara-negara mereka, maka kita akan dapati betapa perbezaan pendapat adalah sesuatu yang sangat biasa untuk berlaku bergantung kepada sumber maklumat yang dicerap.

Kata-kata yang biasa diungkap di Jordan adalah, "We agree to disagree."
Maksudnya, kita bersetuju untuk tidak bersetuju.

Sepanjang masa, aku bersyukur dicampakkan ke sini. Tiada suasana yang mengongkong pemikiran dan tiada pihak yang nak memonopoli aliran pemikiran. Semua diberi peluang meluahkan idea dan lontarkan pandangan terhadap sesuatu isu. Suasana masyarakatnya yang agak terbuka untuk membincangkan permasalahan setempat, atau isu berkaitan syabab akhwat, atau isu kontroversi jemaah.

Idea mudahnya, bertoleransi dalam meneladani perbezaan.

Ramai orang yang ada idea dan pemikiran. Tapi, setiap orang ada idea yang berbeza. Kenapa ada perbezaan dari segi pemikiran ya? Untuk itu, aku akan beri penjelasan yang mudah.

Kelompok yang belajar di negara sekian sekian di tempat sekian sekian dengan guru sekian sekian dan kelompok sekian sekian akan cenderung untuk bergerak ke arah pola pemikiran yang ada. Jika di negara Barat, mungkin akan cenderung untuk mengkaji pemikiran yang dibawa tokoh revolusi mereka dan aliran yang wujud seperti kapitalis atau sekularis.

Maka, di negara yang terkenal dengan tamadun Islam pun ada pemikiran serta budaya kelimuan yang tersendiri. Sebagaimana Jordan ada sejarah perang Mu'tah dan Yarmouk, Mesir yang pernah dikuasai kerajaan Fatimiyah, atau Madinah yang menjadi pusat permulaan penyebaran Islam dalam negara yang diiktiraf.

Sebab itu, pelajar yang belajar di negara-negara ini akan mempunyai cara pandangan yang berbeza dalam sesuatu isu. Walaupun sama-sama belajar ilmu agama, tetapi cara mereka menerima dan mengamalkan ilmu itu akan melahirkan perbezaan dalam kehidupan. Dan akhirnya cara pandang mereka dalam sesuatu isu itu akan berbeza bergantung kepada ilmu dan ketahap penerimaan mereka.

Dulu, sebelum aku masuk dalam arena orang yang belajar agama, aku akan sangat pelik kalau ada ustaz-ustaz di kampung aku bertelingkah. Sekejap Ustaz ni cakap ikut cara aku berwuduk, tiba-tiba datang yang lain pula akan kata ikut aku, jangan ikut dia. Lepas tu, bergaduh guna dalil ikut guru masing-masing. Dengan ilmu aku yang cetek masa itu, membuatkan aku menyampah dengan ustaz-ustaz. Berjuang menuntut ilmu agama untuk bergaduh ke?

Maka, dengan mudah, aku mengklasifikasikan orang agama sebagai pelik dan tidak bertamadun berbanding dengan pelajar yang balik dari negara Barat, yang membawa IDEA demi kebaikan masyarakat. Diakui, idea mereka berjenama orientalis Barat. Tapi, isinya padat dengan nilai Islamik. Mereka melihat ruang untuk memperbaiki taraf masyarakat, dan mencari lompong yang boleh diisi. Sebagaimana seusai musafirku ke Mesir tempoh hari, dengan mudah juga aku dapat membandingkan kota London dan kota Kaherah yang menjadi nadi ilmu di Mesir dengan adanya Universiti Azhar, seterusnya menjawab persoalan yang sekian lama membeku dalam otak aku.

Benar, kita tidak menafikan kelimuan yang mencanak disana. Banyak kelas talaqqi untuk mengaji, ramai sheikh untuk diikuti, hafazan menjadi lagu dan terlalu hebat diskusi ilmu yang berlaku. Al-Quran pula disanjung, sunnah dijunjung, masyaikh dikucup dahi, para imam sangat dicintai sehingga kita merasa terlalu enak sensasi untuk mengejar ilmu di sana. Islam bagaikan hidup suasana keilmuannya.

Tetapi, kita akhirnya akan kembali kepada satu persoalan dasar yang menjadi tunjang kepada ilmu, apakah ilmu itu sekadar dihafal dan kemudian dimuntahkan kepada orang ramai tanpa ada pengamalan yang menjadikan keredhaan Allah itu yang utama?

Adakah ada sesiapa yang boleh menafikan kekotoran yang berlaku? Rasuah? Adab berbicara? Kelapangan dada menerima pendapat aliran lain? Percakaran antara jemaah? Ketaksuban terhadap masyaikh? Kejumudan? Takut hilang pengikut?

Ini semua ada dalam negara yang menjadikan pengajian Islam sebagai teras.

Dibandingkan dengan kota London, atau Oxford sebagai pusat ilmu mereka, suasananya bersih. Bicara mereka penuh kelembutan tatkala disapa. Pelajar Malaysia yang terlibat dengan dakwah juga ramai, tanpa ada kekangan dari persatuan atau pihak tertentu. Mereka tidak terlibat dengan percakaran jemaah, atau pertembungan mazhab, atau ketaksuban terhadap sheikh sampaikan nak minum air basuh kaki sheikh untuk mendapat berkat.

Kerja dakwah sentiasa diutamakan. Setiap kumpulan bekerja dengan keras membawa masyarakat kembali melihat sebagai cara hidup. Mungkin mereka agak lompong dari segi pemberian hukum, namun mereka berjaya menyedarkan cara hidup yang berteraskan Islam dalam kehidupan. Mengajak manusia mentauhidkan Allah, kembali beribadat, dan fokus kepada tujuan pensyariatan untuk memandu manusia mencapai kejayaan. Ya, mereka tidak pening dengan kecelaruan mazhab, atau perdebatan hukum yang rumit. Diskusi ilmu tidak dilupakan dengan mengambil kira pandangan dari segenap pihak, sama ada Islamis atau kapitalis waima sosialis. Hasilnya, idea berkembang, al-Quran tetap dijulang.

Pelajar yang terhasil dari dua tempat ini juga akan berbeza. Satu golongan terpelajar acuan Barat dengan idea kritis dan pandangan yang luas, dan satu lagi golongan yang menyempitkan pemikiran kepada aliran yang mereka belajar. Situasi pada era tahun 70 menunjukkan kepada kita kepelikan yang berlaku. Tatkala pelajar dari UK pulang ke Malaysia bertudung labuh, keluaran Mesir pula masih tidak memakai tudung.

Andainya dua golongan ini kembali ke Malaysia, kita dapat lihat dengan jelas apa yang akan berlaku. Tatkala sebelah pihak melaksanakan kerja dakwah dengan harapan masyarakat kembali kepada Allah dan pengamalan ajaran Islam, sebelah pihak lagi sibuk di surau atau masjid menafikan golongan yang berdakwah dengan alasan mereka tidak berilmu dari segi hukum. Mereka tidak berguru dengan sheikh, mereka tidak faham al-Quran, mereka lemah hadis, mereka menafsir al-Quran ikut pandangan masing-masing. Ikutilah kami yang berguru ini, ikutilah kami yang faham fiqh, ikutlah!

Pertembungan berlaku. Soalan semakin banyak timbul, ke mana mereka ingin membawa kita? Mengenal Allah atau mengenal mazhab/jemaah/persatuan/aliran?

Aku tak terlalu arif persoalan rumit ni. Aku pun tak nak bebankan blog aku dengan diskusi yang panjang tentang perkara perbezaan yang ada. Dah ramai orang tulis. Cuma, aku percaya, kita boleh bersatu hati, tetapi tidak akal.

Selagi mana perbezaan kita berpandukan al-Quran, berteraskan sunnah, dan mengikut lunas-lunas agama yang dipersetujui ulama' muhadisin atau muassirin, maka kita masih bersatu dalam panji Islam.

Perkara penting yang aku nampak untuk dipegang setiap penuntut ilmu agama, adalah berlapang dada dalam menerima perbezaan yang ada. Kita tidak mahu memeningkan masyarakat dengan isu-isu fiqh yang pelbagai, atau ikhtilaf mazhab, atau pelbagai lagi perkara cabang. Jika dalam kitab Madkhol Ila Adda'wah, permulaan untuk memulakan dakwah dalam masyarakat adalah mengenalkan mereka perkara asas sebelum pecahannnya. Kita kena kuatkan akidah dalam hati mereka supaya mereka benar-benar yakin dan percaya kewujudan Allah. Setelah mereka dapat menerima Allah sebagai satu-satunya Ilah, maka dengan mudah untuk mereka mengaplikasikan pelbagai hukum fiqh yang wujud.

Walaupun kita dari cabang ilmu yang berbeza, terimalah orang lain sebagaimana kita ingin orang lain menerima kita. Selagi mana kita bersetuju dalam perkara dasar agama, maka kita perlu menerima perbezaan yang ada sama ada dari segi pemahaman nas, atau pengamalannya.

Masyarakat kini bukan sahaja memerlukan kita untuk menjadi imam dalam solat, atau sekadar pemberi tazkirah harian, atau pengutip zakat sahaja, tetapi mereka mendahagakan idea kita untuk diterjemahkan dalam konteks kehidupan mereka. Idea yang praktikal dan sesuai, dibenarkan syara', dan dapat meningkatkan mutu hidup masyarakat islam di Malaysia. Dari segi ilmu agama sudah pasti, tetapi juga ilmu untuk berjaya di dunia. Kita curahkan mereka ilmu untuk solat, maka kita perlu berusaha supaya akhirnya mereka dapat menikmati solat sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukan ritual semata-mata. Kita galakkan mereka bekerja, tetapi dengan niat mencapai redha Allah semata-mata.

Islam bukanlah agama untuk kita mengikut secara buta-buta. Islam bukan agama yang biasa. Ia luar biasa dan jalan hidup. Emosi kita, perasaan kita, tindakan kita semuanya perlu diislamkan.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِي


"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya, dan janganlah menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan musuh kamu yang nyata." Al-Baqarah 208


Kesimpulan ringkas, aku seorang yang terbuka dalam menerima perbezaan. Sama ada dari segi politik, kefahaman perjuangan, agama, kepimpinan, hatta kepada cara penyampaian sesuatu perkara. Tapi, aku tak pernah lihat ini sebagai punca perpisahan atau kelemahan umat Islam. Ini menunjukkan keterbukaan Islam dalam menerima sesetengah perkara selagi mana tidak bercanggah dengan prinsip asas yang disepakati. Sebab aku tahu, setiap orang akan berbeza disebabkan teori yang aku beri atas tadi. Raikankan pandangan orang lain.

Perkara paling utama, tumpukan kepada kerja kita dan fokus dalam membawa masyarakat kembali kepada Islam dengan idea dan kekuatan ilmu kita. Tinggalkan membuka aib orang, dan kita bergerak menuju kematangan membina tamadun dan meningkatkan masyarakat. Tingkatkan penguasaan ilmu, luaskan skop kemahiran diri, mantapkan senjata, dan bersedia untuk terjun dalam medan mengislah masyarakat. Kita, khususnya agamawan, perlu sedar tanggungjawab mengubah itu di tangan kita. Gunakan masjid dan surau untuk menyampaikan kefahaman, agar mereka kembali kepada Islam, bukan sekadar ibadat, tetapi jalan hidup.

Sibukkan diri kita dengan kitab dan para ulama. Pada masa yang sama, teladani aliran pemikiran yang pelbagai supaya kita bebas dari perangkap kejumudan. Jadikan tarbiyah sebagai penggerak komuniti, dan kita sama-sama berganding bahu meletakkan Allah di tempat pengabdian abadi.

InsyaAllah, semua ini dicoret untuk diri sendiri. Semoga kita sama-sama bergerak mencipta mercu kecemerlangan. Selamat berjuang semua!



Saja nak letak gambar lama.Tiba-tiba rindu.
Bersama sahabat semasa di SMART dulu.
Akh Super Naqib.:)

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!