Facebook Twitter Google RSS

Wednesday, May 16, 2012

Jiwa yang Satu

Bismillah...

Apabila dilagukan azan memanggil jiwa mukmin menghadapNya, apakah jiwa ini masih bertenaga untuk memancung segala kesibukan dunia, dan tunduk menyembah Dia yang Esa?

Wahai jiwa, apakah kau masih gagah melawan tentera nafsu, dan menabrak segala kepincangan palsu?

 Ataupun kau sudah pasrah menjadi lesu ?

Jiwa yang satu, adakah kau masih lagi kuat untuk meniup segala banjaran hembusan penghuni neraka yang mendayu-dayu?

Ataupun kau juga mahu membisu, membiarkan bisikan syaitan yang membelenggu?

Jiwaku, apakah kau masih berdarah tatkala ditembak bertalu-talu dengan kalam Rabb pencipta manusia?

Ataupun kau sudah kebal diijab ego dan dosa?

Apakah jiwaku ini masih hidup bahagia, ataupun sudah koma dibius racun sengsara?

Nauzubillah...

-----------

Jiwa seorang mukmin yang benar-benar mahu menjadikan Islam sebagai nadi, dan syariah sebagai darah, adalah jiwa yang paling sensitif dan halus dalam kalangan manusia.

Kehalusannya seumpama halusnya ciptaan Allah di dunia, tersangat halus dan cantik. Mungkin seumpama kain sutera yang halus buatannya, cantik dipandang, dan cantik juga jika disandang.

Mungkin juga kehalusan itu sendiri adalah kecantikan.

Sensitif pula apa ya?

Entah. Aku tak dapat memberikan kata putus yang tepat.

Berdasarkan kefahaman yang kerdil, mungkin darjah penerimaan kita apabila jiwa ini dimasuki anasir-anasir luar.

Tatkala jiwa seumpama sebuah kolam besar di rumah. Mendapat airnya dari lima sungai berbeza. Gelarannya sungai sentuhan, sungai hidung, sungai mata, sungai rasa dan sungai telinga.

Apabila air yang mengalir itu bersih dan suci, maka air takungan itu jernih dan putih. Bagaimana jika airnya hitam dan berkeladak?

Kita punya jawapannya.

Benar...Jiwa mukmin daie tersangat halus.

Mereka diibaratkan pula seperti penarik jiwa lain, kerana jiwa bersih dan putih milik mereka adalah penyampai seruan kemanisan iman.

Mereka mampu menghidupkan hati yang mati dan kaku, dengan cas-cas iman yang membayangi seluruh penjuru.

Dan, apakah apabila mereka telah melakukan dosa, tindakan mereka sama seperti manusia biasa?

Tidak mungkin. Kerana darjah sensitifnya berbeza, dan halusnya jiwa itu menyebabkan mereka merana jika tidak dirawat segera.

Setitik hitam itu ibaratnya selautan lumpur, sekepal dosa ibaratnya segunung malapetaka.
Kecil di kaca mata manusia biasa, gergasi dalam jiwa santun mereka.

Sangat berat dirasa, sangat tajam menusuk jiwa, sehingga darah meleleh dan menitis atas perbaringan dunia sementara.

Benar, ini kisah mukmin yang hebat jiwa batinnya.

Beruntunglah mereka yang menjaga dan menikmati jiwa yang halus. Lagi sensitif. Mereka berupaya menarik manusia kembali mendahulukanNya dalam setiap waktu dan ketika.

Lebih manis, apabila mereka mampu membina jiwa yang sama. Berkongsi matlamat yang sama.

Agar manusia kembali kepada Allah, Maha Pencipta Manusia dan dunia serta seluruh isinya.

*Sekarang fatrah imtihan.Semua berlumba-lumba membaca buku dan mengejar ilmu. Ya, diri ini juga begitu. Dengan segala kelemahan dan kedaifan diri, aku tetap ingin melangkah menuju ke akhirat abadi, dengan saham yang tertinggi.

Moga Allah mudahkan segala urusan kita.

Doakan hamba ini menjadi anak yang soleh, anak yang taat setia, anak yang membina jiwa, (bakal) suami yang mendidik generasi mulia, dan pemimpin yang soleh akhlak dan budi bicaranya.

Assalamualaikum.

 

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!