Facebook Twitter Google RSS

Thursday, September 20, 2012

Menjejak langit yang sama

Dalam kehidupan yang sebentar ni, aku sentiasa mempunyai pandangan untuk diluahkan berkaitan apa jua isu, walaupun terjahan itu tidak tepat dan kadang-kala menyimpang dari pemahaman yang sebenar. Aku sentiasa mempunyai isi hati untuk diluahkan, sentiasa ada idea yang ingin diterjemahkan, dan sentiasa ada hasrat hati, yang tidak akan terluah sehinggalah hanyut ditelan zaman.

Aku nak menulis semua yang aku rasa, supaya aku dapat lihat perkembangan jiwa dan mental aku. Membandingkan dengan diri aku yang lama, dan akhirnya membuat muhasabah. Apakah aku membesar selama ini?

Sehinggalah saat ini, aku masih mempunyai banyak ambisi untuk direalisasi. Aku mahu mencoretkan semuanya, sayang masa dan kadang-kala diriku sendiri yang menghalang. Apakah dengan menulis ini aku bisa meluahkan segala yang aku mahu?

Hakikatnya, terlalu banyak perkara yang aku mahu, dan aku yakin boleh dapatkannya. Cuma, tinggal usaha dan keyakinan, diiringi dengan perancangan.

Untuk semester ini, aku dah ada matlamat baru. Aku mahu yang tertinggi. Dengan jihad tertinggi. Dengan semangat dan ketepatan masa yang tidak boleh dipertikai. Aku segan. Ada manusia yang aku tidak pernah kenali, namun dia membunuh aku dengan segala jihadnya dalam pelajaran. Mengambil 2 Degree sekaligus, dan menerkam langit kecemerlangan dengan begitu gah. Cis!

Aku mengetap bibir. Serentak tanganku digenggam. Geram. Kenapa dia, kenapa bukan aku? Hakikatnya, usahanya dan perancangannya telah melonjakkan dirinya. Aku juga mahu begitu, namun sayang aku menakik tenaga di tempat yang terbuka. Akhirnya, semua impian melayang bebas di depan mata, dan aku masih di takuk yang lama. Cis!

Aku tidak marah. Ini bukan meluahkan perasaan marah. Tapi, aku kritis dengan diri sendiri. Mengkritik diri yang belum lagi berjaya seperti dia. Aku tahu, dia tidak akan membaca waima menulis sebuah blog picisan untuk dibaca manusia marhaen. Bukan seperti aku, penulis yang ingin menulis, tetapi buntu kemana tulisan itu akhirnya membawa dirinya.

Aku mahu berjaya. Dengannya aku akan mudah mengerjakan yang aku percaya. Aku mahu kekuatan dari setiap sudut. Bukan sahaja rohani perkasa, bukan sahaja membuat mata manusia berkaca dengan kata-kata, dan bukan sekadar penghuni tegar di masjid kota, tetapi aku mahu dinobat manusia yang berusaha dengan segala yang dia ada.

Hakikatnya, aku belum lagi serius dengan diri sendiri. Masih lagi bermanja dan berlengah ketawa. Aku percaya aku di jalan yang lurus, namun aku perlukan satu lagi suntikan untuk aku benar-benar menerobos segala rintangan di hadapan.

Kecemerlangan pelajaran aku akan menjadi tiket paling berharga. Aku akan tamatkan sandiwara lama manusia yang bergelak ketawa. Aku malu dengan dia, sama ada yang masih muda atau tua. Dia tidak pergi ke masjid, namun pencapaiannya melebar ke serata. Dia masih muda, namun dijunjung kerana kemantapan dalam usaha. Habis, di mana aku?

Aku yakin, setiap manusia itu ada ruang kelebihannya. Aku tahu, aku tidak harus tamak dalam mengejar segala pencapaian dunia. Namun, aku seorang yang mengejar kesempurnaan dan kejayaan. Aku mahu menjadi akar dalam pohonan rimba, menjadi nadi tiang utama, diperlukan setiap manusia, dan didambakan untuk menegakkan perjuangan dicita.

Heh.

Aku tamak untuk mengejar segalanya. Namun, kini ketamakan itu dipandu kefahaman yang aku percaya. Maka, aku bergerak dengan penuh bergaya. Perlahan-lahan, namun aku akan tetap tiba. Aku sudah masak dengan permainan kuasa, dan sudah lemas dengan kelemahan jiwa, maka apakah belum tiba masanya lagi untuk aku sekali lagi berjihad menjadi penerang jalan manusia?

Aku yang bergerak, aku yang tabah, aku yang mahu kejayaan, aku yang mahu memimpin, aku yang mahu disayangi, aku yang mahu dikenali, aku yang satu.

Kerana aku tidak mahu jalan ini dikotori kelemahan sendiri. Sebab itu perlu kuat. Supaya manusia melihat dengan jelas, kita bergerak dalam payungan matlamat.

Bukan sia-sia aku berambisi, bukan sia-sia aku mencanai janji. Kerana, aku akan pastikan setiap tubuh badan itu berfungsi ke arah yang dikehendaki.

Kawan-kawan yang aku kenal, ini semester baru. Aku membutuhkan tenaga untuk berjaya, benar-benar berjaya. Aku mahu menjadi penggerak kepada kefahaman ini. Bukan lagi penurut angguk buta. Aku adalah yang tahu. Aku yang berilmu.

Akhirnya, banyak kali aku menggunakan aku dalam luahan ini. Dengan laras bahasa yang bersimpang-siur, diparahkan dengan ketidaksinambungan idea, dan caca-marba dalam bercerita, aku yakin tidak semua memahami gelora jiwa ini. Kerana aku juga misteri ketika berbicara, ucapan berlapis ceria, mendung ditutup dilabuh kuala, tunggu dayung meniup derita.

Bahasa adalah senjata. Untuk menarik manusia, untuk membina manusia, untuk menjiwai jiwa manusia.

Tidaklah diciptakan manusia melainkan kemalasan itu bersamanya.

-Mumtaz. Shidi. 18- (Aku bingung dengan perkataan ini)

Aku nak kejar semua manusia.

Walaupun tak terdaya. Heh.

Selamat berMHS dan Selamat tinggal SPB. Kesat peluh, dan bersedia untuk mendekati Ilahi.

Assalamualaikum wbt.

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!