Facebook Twitter Google RSS

Sunday, September 16, 2012

SHAKS

Assalamualaikum wbt.

Ini adalah satu coretan tidak rasmi yang ku ingin hantar kepada pihak sekolah, untuk dijadikan sebagai pemberitahuan, bahawasanya aku belajar dengan selamat dan gembira di bumi Syams ini.

_____________________________________________

Masih segar dalam lipatan memori muda, langkahan pertama yang aku benamkan di SMK Sultanah Hajjah Kalsom, yang awalnya dikenali sebagai SMK Seri Kuantan pada Januari 2006. Tempat yang akan menjadi asas serta tapak dalam pembinaan diri dan peribadi, lalu membentuk seorang Muslim yang mengerti perjuangan Ilahi.

Nafas dalam ditarik, dan senyuman manis tercarik, keyakinan memuncak untuk masa depan cerah yang bakal dilarik.

Alhamdulillah, semua guru dan pelajar di SHAKS pernah memberikan aku sentuhan untuk menjadi insan yang lebih baik, sama ada dengan nasihat yang diberikan, atau sekadar teguran basa-basi yang masuk tepat ke dalam hati, mahupun dengan sekadar senyuman ikhlas yang diberi. Mereka semua insan yang termaktub dalam kitab hatiku, sebagai manusia luar biasa yang dihantar oleh Ilahi untuk membentuk diriku. Semoga Allah merahmati mereka semua.

Menyentuh sisi kehidupan di SHAKS secara ringkas, aku seorang pelajar aliran Bahasa Arab selama 3 tahun dalam kelas al-Farabi. Selama itu juga aku telah diperkenalkan dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang hebat sahsiah dan mantap peribadinya seperti Alif, Syed, Syafie dan lain-lain, yang telah mempengaruhi aku dalam banyak ruang kehidupan. Juga asatizah-asatizah yang tidak pernah berputus asa untuk mengajarkan aku ilmu khususnya Ustazah Masyitah, Ustazah Faizahanum, dan Ustazah Rosniah, di sebalik kelemahan dan kesukaran aku dalam memahami keluasan ilmu itu. Tidak akan sesekali aku lupakan semua pendidik yang percaya dengan potensi aku, walaupun aku sendiri kadang-kala ragu dengan keupayaan sendiri. Allah, ganjarilah mereka dengan sebaik-baik ganjaran.

Aku bergiat aktif dalam permainan catur dan juga dalam pasukan sains teknologi. Dengan latihan dan bimbingan guru berpengalaman, aku berjaya mara sehingga ke peringkat negeri dalam permainan catur. Penghargaan khas aku ucapkan kepada En Bushra, guru kesayangan yang tidak ternilai jasanya apabila telah memberikan peluang untuk aku bergiat dalam bidang sains, robotik khususnya. Antara lain aku berjaya menjadi Tokoh Kepimpinan Asrama (ASAT) peringkat negeri Pahang dan menjadi wakil dalam perkhemahan di Sabah.

Ketika aku Tingkatan Tiga, aku berjaya menjadi seorang pengawas sekolah. Ini merupakan peluang terbaik untuk aku mengerti kepimpinan pelajar, apatah lagi apabila berpeluang bekerja di bawah seorang ketua, Amirul Afiqq dan pasukannya yang sangat berkarisma. Mereka telah memberikan aku suntikan semangat agar sentiasa berusaha menjadi pemimpin, sekurang-kurangnya pemimpin kepada diri sendiri.

Alhamdulillah, seiring dengan tanggungjawab sebagai pengawas, aku semakin matang dan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk menjadi contoh terbaik kepada pelajar lain. Lebih manis, keputusan PMR yang cemerlang membuktikan aku bukan sekadar mampu menaggung beban tanggungjawab yang diberikan, malahan dapat mengiringinya dengan kejayaan dalam pelajaran. Terima kasih diucapkan kepada guru-guru dan keluarga yang menembakkan doa tanpa putus-putus.

Pada awal Januari 2009, aku berpindah ke sekolah lain. Walaupun hati terasa sangat berat dan sedih, aku berpindah jua apatah lagi guru-guru juga menggalakkannya demi kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang. Namun, SHAKS akan tetap tersemat kemas dalam lipatan memori, sebagai tempat yang paling banyak mengajar erti kehidupan dan mendidik diri ke arah kematangan.

Kini, aku menyambung pelajaran ke bumi Jordan di Universiti Yarmouk dalam bidang Perbankan Islam tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam. Alhamdulillah, ini merupakan rezeki dan nikmat yang amat besar dalam kehidupan aku.

Belajar di bumi ini telah meningkatkan lagi keagresifan aku dalam mengerti ciptaan Ilahi, dan menjadikan aku semakin dahaga meneguk lautan ilmu yang tidak terjangkau luasnya. Setiap hari, pasti akan ada pengalaman baru yang boleh diambil ibrahnya. Untuk makluman, kebanyakan kuliah dalam bahasa Arab tempatan dan fusha. Maka, sememangnya memerlukan pengorbanan yang sangat besar dalam memastikan diri dapat menyesuaikan dengan iklim pembelajaran di sini.

InsyaAllah, 4 tahun di sini akan dipergunakan sebaik mungkin supaya dapat menjadi insan yang berguna dalam masyarakat dan menjadi sendi dalam menegakkan agama Allah. Moga Allah memudahkan untuk aku melalui jalan ini, dan menjadikan kita semua penegak agamaNya. Kepada semua adik-adik dan rakan di SHAKS, doaku sentiasa mengiringi kamu semua agar menjadi insan yang bertaqwa dan beramal soleh dalam kehidupan. Kejarlah kejayaan dalam pelajaran dan semua bidang, namun perlu ingat untuk sentiasa sujud menyembah Tuhan. Kepada semua guru-guru yang banyak jasa dan pengorbanan, jasamu tidak akan mampu dibalas. Moga Allah menempatkan kita semua dalam kalangan hambaNya yang beramal soleh.

Jangan lupa, baca dan fahami manual kehidupan yang Dia bekalkan, iaitu al-Quran dan petunjuk dari kehidupan Nabi Muhammad iaitu sunnah dan hadis. Moga kita semua menjadi hamba yang bertaqwa.

_______________________________________


Selamat baca ya...^^


About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

3 comments:

ustazah masyitah?maksud kau ustazah normazita ke, shazmie?

Shazmie said...

oh my Allah.bukan2.isteri ustaz mustafa.ustazah masyitah kan?

isteri ustaz mustafa kamal namanya ustazah normazita -sambil membelek-belek majalah tahunan shaks-

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!