Facebook Twitter Google RSS

Saturday, March 8, 2014

Apabila Perubahan Datang, Sekali Lagi.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Aku teringat semasa di SMK Sultanah Hajjah Kalsom atau nama lamanya SMK Seri Kuantan, betapa aku telah melalui beberapa siri perubahan yang sangat besar. Kemudian semasa masuk dalam SMK Abdul Rahman Talib, pun aku lalui satu lagi episod perubahan yang besar. Dan kini, semasa di Jordan aku dah mula rasa satu lagi angin perubahan akan melanda. Huh
___________________

Aku pernah bercerita dan berbincang dengan beberapa teman mengenai tajuk perubahan ini. Kerana aku sering menjadi bingung, mengapa kerap sekali perubahan itu datang dan membawa dimensi pemikiran atau jiwa yang baru dalam diri aku.

Mak aku kata, aku ni memang cepat berubah. Dulu aku suka sangat main Crushgear, tetapi apabila datang kereta Tamiya atau Beyblade, serta merta aku akan buang yang lama dan terus main yang baru sehinggalah datang pula sesuatu yang baru untuk mencuri perhatian aku. Sebab itu masa kecil dulu aku banyak alat mainan, sama ada yang dibeli oleh mak ayah atau yang aku beli sendiri. Dan kebanyakannya aku akan beli sendiri dengan duit jual-beli atau simpanan.

Tapi, pemikiran dan personaliti yang cepat berubah ini adakah ianya mendatangkan bahaya? Apakah sifat ini membawa kebaikan atau hanya mendatangkan keburukan?
Adakah ini tandanya aku bukan seorang yang setia dengan janji?
Atau ini tandanya aku manusia yang sering berlaku curang?
Atau sebenarnya itu memang sifat semulajadi yang ada dalam diri aku?

Ini sememangnya persoalan yang aku rasa cuma aku seorang boleh jawab. Persoalan yng bersarang ini bukanlah persoalan yang besar sangat sebenarnya, cuma aku sendiri dapat rasa aku memang dapat berubah dengan cepat. Apa yang aku khuatir adalah, sifat ini akan mendatangkan bahaya kepada hidup aku suatu masa nanti.

Baik. Aku rasa lebih baik aku cerita beberapa siri perubahan besar yang aku rasa sangat signifikan dalam hidup.
_________________________

Sekolah Rendah (SK Air Putih/ Beserah/Padang Rumbia)

Aku semasa zaman sekolah rendah sangat nakal, jahat, dan agak tidak berperikemanusiaan. Sepanjang ingatan aku semasa sekolah rendah, aku cuma ingat betapa banyak aku bergaduh dengan kawan-kawan, bertumbuk, buat perkara tidak senonoh, mencuri (huhu), dan macam-macam lagi yang aku rasa sangat teruk. Selalu mendapat amaran untuk berakhlak baik, atau sijil berhenti sekolah aku nanti ditulis akhlak buruk. Cikgu-cikgu agak ramai yang tidak senang dengan perangai aku masa ni. haha

Tapi, aku ada beberapa kelebihan yang sangat jelas semasa kecil. Antaranya, aku super-kreatif. Semasa kecil, aku selalu terfikir dan berimpian untuk mendapat alat mainan konsol yang kawan-kawan aku yang lain main. Tapi, duit aku tak pernah ada dan nak suruh mak ayah aku beli memang kiamat lah haha. Maka, berbekalkan otak yang sedikit kreatif dan genius, aku memulakan perniagaan sendiri. Aku pernah jual alat kemas mak aku (hahahaha), aku ambil upah baiki mainan budak lain, aku ambil upah jual buku 555, aku jual kuih, dan juga buat macam-macam aktviti untuk kumpul dana.

Masa sekolah rendah juga, aku seolah-olah ada kuasa untuk melihat alam ghaib (ini serius). Keluarga aku telah berpindah beberapa kali semasa aku kecil. Setiap kali perpindahan, mesti aku akan merasai peristiwa yang pelik bin ajaib. Antaranya adalah, peristiwa aku nampak ular sawa besar terkeluar kepalanya dari tandas semasa di Kampung Padang. Seram tak? haha

Kemudian semasa di Kampung Padang Rumbia, aku terserempak dengan mak cik tua yang melambai-lambai memanggil nama aku untuk masuk ke dalam satu bilik barang pusaka. Masa tu aku nak buang air tengah malam, dan aku berseorangan. Agak takut, tapi digagahkan jua. Akhirnya, berlakulah kejadian tu. Apa yang menarik, keesokannya selepas aku nampak mak cik tua tu, aku dengan abang yang memang tak percaya supernatural ni telah masuk ke bilik pusaka tu dan cek apa yang ada. Agak seram lah bilik tu sebenarnya. Dalam bilik tu, ada pelbagai jenis barang antik diperbuat dari gangsa, perak, dan mungkin emas. Elemen misteri dan mistik agak menguasai suasana. Selepas kejadian tu, aku memang tak pernah pergi tandas berseorang dan berusaha untuk mengelak lalu depan bilik tu.

Bonus juga, aku semasa sekolah rendah agak pandai. Dari tahun 4 sampailah tahun 6, aku berterusan mendapat tempat yang pertama dalam kelas tanpa dapat dicabar. huhu. Atau mungkin sebab orang lain tidak pandai maka aku menonjol lah sedikit. Well, ini aku rasa satu-satunya kelebihan utama aku masa sekolah rendah.

Yang lain, aku rasa aku tak berapa menonjol semasa fasa umur ni. Sijil koku takde, tak pernah masuk pertandingan (kecuali catur), tiada jawatan dalam sekolah, dan sangat tidak dikenali dengan perkara baik.

Tapi, ada perkara yang lagi dahsyat semasa aku dalam peringkat umur ni. Penyesalan yang sehingga kini aku tak dapat sembunyikan. Iaitu, aku tak pandai baca al-Quran.

Keluarga aku sentiasa menghantar aku ke sekolah agama dengan harapan aku akan menjadi sedikit pandai dalam bidang agama ni. Malangnya, aku sangat lah tak suka nak belajar dan sentiasa ponteng. Hasilnya, sehingga aku hujung darjah enam aku tidak pandai baca al-Quran. Solat tunggang terbalik je. Nasib baik al-Fatihah hafal. Tapi, aku akan ceritakan bagaimana masalah ini akan membawa masalah yang besar dalam fasa kehidupan aku yang seterusnya.

Aku menamakan fasa hidup yang ini sebagai "Permulaan Menyedihkan."

++++++++++++++++++++++++++++++++

Sekolah Menengah (SMK Seri Kuantan)
[Fasa Pertama]

Walaupun dengan perangai buruk dan kelakukan tidak terkawal aku semasa sekolah rendah, aku berjaya mendapat 5A dalam UPSR. Dengan ini, maka bermulalah fasa hidup yang baru bagi aku.

Aku tidak pernah tahu tentang MRSM. Aku tak pernah kenal SBPI. Aku tak pernah ada keinginan nak ke sekolah agama. Disebabkan itu, aku memang tak tahu aku akan ke mana selepas ini. Rancangan aku, masuk je ke sekolah bersama dengan kumpulan aku masa sekolah rendah. Paling kurang aku dapat bina pengaruh jahat di sekolah tu pulak.

Tapi, ya Allah Yang Maha Perancang, sehingga kini aku masih bersyukur dan kagum dengan segala perancanganNya. Dengan takdirNya, ibu aku cuba menempatkan aku di sebuah sekolah berasrama dalam Kuantan. Aku tak pernah kisah dengan apa yang berlaku, maka aku sekadar mengangguk dan bersedia dengan segala kemungkinan. Akhirnya, apa yang berlaku di luar jangkaan dan perancangan aku; aku dimasukkan ke dalam SMK Sultanah Hajjah Kalsom (SMK Seri Kuantan).

Yang aku tahu, ini antara sekolah yang bagus dalam Kuantan. Ada asrama, ada pengajian sains, dan ada pelbagai aktviti kokurikulum untuk pelajarnya. Tapi, apa yang aku peduli?

Dipendekkan cerita, semasa Tingkatan 1 aku masuk dulu, aku masih berjaya mengekalkan perangai buruk lama aku. Dengan panas barannya, dengan otak gilanya, dengan bergaduhnya, dengan sombongnya, dengan keras hatinya, dan semua lagi sikap yang menyebabkan semua orang benci aku.

Fasa ini aku banyak mengambil sikap semasa di sekolah rendah. Aku tidak pernah membuka ruang perubahan dalam diri, dan banyak bersikap menyerang sesiapa sahaja yang aku anggap cuba menjatuhkan aku. Kelas al-Quran aku ponteng, dan memang akan lari sepantas mungkin apabila dipanggil ustaz.

Tapi, ada persitiwa yang sangat menarik berlaku masa fasa ini.

Awalnya, aku dimasukkan dalam kelas yang akan mengambil pengajian bahasa Arab yang menjadikan jumlah matapelajaran wajib aku sebanyak 9 subjek. Masalahnya adalah, huruf Arab pun aku tak kenal, macam mana nak sebut dan hafal?

Selapas orientasi, ada satu peperiksaan dijalankan untuk memastikan hanya murid yang layak akan dimasukkan ke dalam kelas bahasa Arab. Aku menarik nafas lega. Kerana aku bakal keluar dari perasaan gelisah dan tidak keruan ini sebab aku memang tak dapat jawab langsung soalan peperiksaan tu.

Malangnya, semasa nama dipanggil, entah macam mana nama aku dikekalkan dalam kelas bahasa Arab bersama dengan seorang lagi pelajar walhal aku memang gagal ujian tu. Ya Allah, Tuhan je tahu perasaan aku masa tu. Habis semua sumpahan keluar.

Macam mana nak belajar bahasa Arab kalau huruf dia pun tak kenal?

Aku yakin aku akan malu sepanjang berada dalam kelas ni. Maka, sebab itu aku ambil pendirian senyap dan buat hal sendiri dalam kelas tu. Aku tak nak ada orang tahu yang aku tak boleh baca Quran dan tidak pandai baca tulisan Arab. Malunya aku rasa ya Allah...

Dipendekkan cerita, sepanjang tahun 1 ni aku masuk ke kelas bahasa arab dengan aku memang takde asas dan lemah. Setiap kali peperiksaan wajib gagal subjek bahasa Arab dan kemahiran membaca Quran sangat daif. Kemudian, aku kekal dengan perangai buruk aku. Memang tiada harapan nak berubah lah. Aku masih lagi aku. Btw, masa tahun 1 aku ada terlibat dengan Kadet Polis, Catur, dan Kelab Rekacipta.


[FASA KEDUA: Permulaan]

Jeng jeng jeng~

Masa fasa ini, aku tingkatan dua. Entah mengapa, tiba-tiba ada satu angin perubahan yang sangat kuat bertiup dalam diri aku. Satu perasaan yang aku tak pernah rasai, tiba-tiba datang menerpa dan menolak diri aku ke lembah yang baru. Setiap sisi kehidupan aku bagai diracik, dan kemudian digubah menjadi jambangan bunga yang segar bugar. Dengan bentuk dan warna yang berlainan, aku seakan-akan lahir semula sebagai manusia yang berbeza.

Aku ingat lagi, antara langkah awal untuk perubahan ini adalah nafsu membaca yang sangat tinggi. Tiba-tiba sahaja aku berminat dengan buku-buku motivasi, kepimpinan, pengurusan, bisnes, skil komunikasi, dan isu-isu semasa. Semuanya seolah-olah datang serentak dalam masa yang sama dan mengubah dimensi pemikiran aku.

Pakaian aku berubah. Daripada pakaian yang agak rugged dan kurang bergaya, aku mula mencari fesyen yang bersesuaian dengan penampilan. Aku dah mula pakai kopiah dan kadang-kadang datang sekolah pakai songkok. Terasa lebih positif dan tenang.

Perhubungan dengan rakan semakin baik. Dulu, aku banyak betul musuh dan orang yang benci perangai aku. Tapi dalam fasa ni, dengan pendekatan dan cara yang betul, aku dapat jalin perhubungan yang sangat baik dengan hampir semua orang. Afiq Naqi, Hazmi, Aizat, dan gang-gang dia memang antara musuh ketat aku. Dulu aku tak suka depa ni sebab depa suka kacau orang lain dan berlagak samseng. haha. Tapi, masa tahun 2, entah macam mana tiba-tiba daripada menjadi musuh depan dah jadi kawan aku. Tak lah baik sangat, tapi boleh berbual dan tolong-tolong.

Pelajaran aku naik mencanak. Daripada pelajar yang nakal, dungu, bermasalah, dan lain-lain, aku dapat pintas beberapa orang teman dalam kelas arab tu. (al-Farabi nama dia) Cuma masalah utama aku sejak dulu lagi, iaitu bahasa Arab masih lagi lemah dan hanya berjaya mendapat D atau E. Okaylah dari masa tahun 1. Yang sedihnya, penguasaan al-Quran aku masih teruk. Aku tidak dapat baca dengan lancar, gagap, tidak kenal huruf, dan hanya miming suara semasa bacaan Yasin. Aku nak belajar, tapi ustaz yang mengajar tu sangatlah garang. Dan aku tak nak dimalukan depan rakan-rakan jika mereka tahu aku tak pandai baca. Cukuplah aku dimalukan semasa tahun 1 dahulu. Terkejut ustaz tu apabila dapat tahu aku hanya pandai baca Muqaddam. (T.T)

Kemudian aku ada terlibat dengan beberapa aktiviti secara aktif. Aku mula cuba untuk masuk persatuan, tunjukkan perangai dan sikap yang lebih baik, serta kadang-kadang menjadi AJK kecil-kecilan. Alhamdulillah, masa ni aku dapat join pertandingan catur peringkat negeri untuk Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT). Kemudian aku sertai Kadet Polis dan menjadi antara yang aktif dengan menyertai latihan di Ibu Pejabat Polis Kuantan.

Ringkasnya, aku rasa aku berubah pada tahun itu. Dari musuh, ramai menjadi teman. Pengetahuan agama meningkat, pelajaran mencanak, dan sikap semakin positif. Tidak ada lagi pergaduhan, dan semakin ceria. Cuma masih ada masalah sedikit sebanyak. Antaranya, aku pernah laporkan kepada guru berkenaan ada pelajar yang berdua-duaan dalam sekolah. Kemudian pelajar tu anti dan benci aku. Well, buat baik memang akan ada masalah.

Aku betul-betul bingung. Sampai ke hari ini, aku acap kali terfikir faktor-faktor yang menyebabkan perubahan ni. Ada teori kata sebab memang hormon kedewasaan meningkat ketika ini dan menyebabkan aku lebih waras. Ada yang kata sebab pengaruh teman-teman. Dan macam-macam lagi teori yang keluar. Aku tak kisah sangat sebab perkara yang sudah lepas, tidak perlu untuk digaduhkan. Cuma, aku perasan, ramai juga yang tegur berkenaan perubahan aku tu. Tiba-tiba sahaja dan seolah-olah 180 degree berbeza kata mereka. Apa yang aku lagi suka, ramai rakan yang sebelum ini aku tak pernah kenal, tiba-tiba boleh kenal dan berborak dengan aku. Bahagia juga rupanya bila ramai kawan ni. hehs.


[FASA KEDUA: Peningkatan]

Alhamdulillah, selepas melalui fasa kedua yang bagaikan pelangi dan agak membahagiakan, perjalanan kehidupan aku diteruskan ke fasa yang seterusnya yang lebih menarik dan seronok.

Masa ni tingkatan 3. Disebabkan perubahan sikap dan perangai yang semakin positif, aku ditawarkan untuk menjadi seorang pengawas. Alhamdulillah, pucuk dicita ulam mendatang. Sebagai seorang yang tidak pernah mendapat jawatan rasmi dalam sekolah dari dulu sampai sekarang, aku sangat menghargai peluang yang diberikan. Apatah lagi selepas aku membaca dan menghadam beberapa buku berkenaan kepimpinan, maka semakin semangat lah aku untuk praktikkan apa yang dah dibaca.

Secara keseluruhan, aku dapat jalankan tugas dengan sangat baik dan berikan contoh yang terbaik dalam apa jua yang aku lakukan. Guru-guru pun perasan kerja yang aku lakukan dan mereka berikan kata-kata semangat serta rangsangan untuk aku terus berjaya. Ya Allah, sebagai seorang manusia yang sering berada dalam keadaan yang tertekan dan rendah diri sebelum ini, aku terasa bagai mendapat kekuatan yang luar biasa. Seolah-olah sinaran cahaya yang amat terang menerangi perjalanan aku.

Pelajaran aku dalam sekolah bertambah baik lagi daripada semasa aku tingkatan dua. Semua kerja sekolah dapat diselesaikan sebelum waktunya dan lagi bagus, aku hadam semua subjek sebelum bermula kelas untuk subjek itu. Fuh. Agak kecemerlangan lah jugak.

Tahun ini jugak, aku akan hadapi peperiksaan PMR. Semasa daftar subjek untuk peperiksaan, ustazah yang paling bersabar mengajar aku bahasa Arab iaitu Ustazah Rosniah bertanyakan tentang pilihan aku; sama ada mengambil bahasa arab atau tidak dalam peperiksaan. Aku banyak termenung selepas ditanya soalan itu, sebab aku berasa serba salah. Jika aku ambil, tetapi tidak dapat gred A maka aku akan terasa kegagalan yang amat sangat. Jika aku tidak ambil, apakah erti aku belajar sepanjang 3 tahun ini?

Selepas membuat  perkiraan peribadi tersendiri, tanpa bertanya kepada ibu bapa atau buat solat istikharah (maaf agak jahil masa ni) aku akhirnya membuat keputusan untuk ambil juga Bahasa Arab dalam PMR. Pertimbangan aku ketika itu hanya kerana aku tidak ingin membazir masa yang dilabur untuk belajar selama 3 tahun. Walhal aku amatlah teruk dan rekod terbaik aku hanya pernah mendapat C dalam peperiksaan. Itu sahaja.

Tetapi, benarlah Allah Maha Perancang dan Maha Pemurah. Dalam kebodohan dan diri yang penuh dengan kelemahan itulah, Allah memberikan jalan keluar yang terbaik untuk aku dan membenarkan aku menikmati seteguk nikmat di dunia. Alhamdulillah, mendapat keputusan straight A dalam PMR memang sesuatu yang sangat nostalgik.

Aku kira, jika diberi kekuatan dan kesihatan, aku nak sangat tulis macam mana teknik aku belajar Bahasa Arab ketika itu. Teknik ini bukan untuk manusia yang memang dah biasa dengan huruf Arab, dah biasa skor peperiksaan, dan lain-lain. Teknik ini sesuai untuk manusia yang sama macam aku; selalu gagal, malas, dan tidak pandai.

Aku ingat lagi, hampir semua guru dan rakan seolah tidak percaya dengan keputusan aku. Walaupun dalam peperiksaan percubaan sebelum itu aku memang sudah menunjukkan potensi, tapi masyaAllah keputusan terakhir itu sememangnya bukan dalam jangkaan aku.

Kemudian dari sudut aktiviti, aku rasa tingkatan 3 adalah tahun aku paling cemerlang. Selain terlibat dengan pengawas, aku masuk robotik, teater, pidato, catur, rekacipta, kawad, roket, sukan, dan macam-macam lagi. Sebagai seorang pelajar yang amatlah kurang aktiviti sebelum ini, pencapaian yang aku berjaya kecapi semasa tingkatan 3 ini bagi aku amatlah cemerlang. Aku gembira dengan apa yang aku lakukan, dan aku amat positif.

Sebut tentang sukan, aku ada pengalaman yang agak seronok. Semasa di SK Beserah, aku pernah masuk merentas desa anjuran sekolah. Entah macam mana, tiba-tiba aku jatuh pengsan. Aku betul-betul dah lupa macam mana aku boleh black out masa tu. Tapi, itulah takdir dan ketentuan yang Allah tetapkan. Selepas kejadian tu, aku terus dihalang dari sertai mana-mana aktiviti melibatkan fizikal sebab mak ayah aku amatlah bimbang jika aku akan jatuh sakit atau berlaku apa-apa. Sayang jugak kat anak sorang ni haha.

Tapi, selepas aku masuk ke sekolah berasrama, aku mula perlahan-perlahan sertai aktiviti sukan dan lasak yang dianjurkan tanpa pengetahuan parent ofkos haha. Untuk kembalikan prestasi otot aku yang dah sekian lama berehat, amatlah susah. Demi menyakinkan kembali ibu bapa aku bahawa aku memang mampu untuk bersukan, maka aku ambil insiatif semasa cuti sekolah tingkatan dua untuk berlatih dan buat senaman. Fokus aku untuk kuatkan kembali otot kaki dan perut. Lebih banyak stail endurance dari power.

Akhirnya, semasa pertandingan rumah sukan, aku berjaya masuk dalam pertandingan lumba lari 400 meter dan menang johan. Kemudian masuk merentas desa dan dapat top 10. Walhal sebelum ini aku tak pernah masuk pun dan dikenali sebagai seorang yang tidak bersukan. Dengan latihan dan mind-set yang betul, aku berjaya. Alhamdulillah, aku semakin yakin dengan kebolehan diri dan positif.

Ada satu aktiviti yang aku kira paling banyak memberi kesan dalam hidup aku masa tu. Kebanyakan pelajar sekolah asrama akan tahu aku rasa, iaitu Anugerah Seri Asrama Terbilang. Aku mewakili sekolah aku bersama dengan ketua pelajar yang aku amat hormati sampai sekarang iaitu saudara Amirull Afiqq dan juga akhowat yang aku dah lupa siapa.

Aku bertanding untuk anugerah pelajar contoh atau pelajar mithali Pahang entah apa aku dah lupa. Alhamdulilah dapat johan dan kemudian fly ke Sabah.

Kenapa program ni beri kesan sangat pada aku? Banyak jugak sebab dia. Antaranya;

1. Pertama kali aku masuk pertandingan yang ada pelajar-pelajar baik lagi solehah seluruh Pahang.
2. Kenal dengan bro yang aku amat sayang dan hormat, Ersyad Azmi.
3. Kenal kepimpinan dan karisma in whole new perspective.
4. Dapat rasa first-crush.

Dan banyak lagi lah. Aku respek semua orang yang aku jumpa dalam program, dan amat kagumi semua orang. Semasa di Sabah, dapat kenal dengan tokoh dari negeri-negeri lain amat berkaliber. Aku rasa down sangat masa tu, tapi still cool yet maintain berwibawa wehehe. Dapat belajar macam-macam dan meningkatkan lagi kemahiran kepimpinan yang aku ada. Terima kasih pihak penganjur! :)

Catur aku juga tak kurang gempak. Dapat masuk sampai peringkat negeri dan berjumpa kembali dengan otai catur Kuantan, bro Helmi yang sampai sekarang takde facebook. Memang jiwa kering dia ni. haha

Robotik pun sampai peringkat negeri. Kadet polis pulak dapat masuk dalam Skuad Elit yang dilatih khas di IPD Kuantan. Dapat belajar gamelan, dapat masuk sajak, dan banyak lagi aktiviti.

Ya Allah, berbeza sangat dengan semasa aku sekolah rendah. Selepas tamat tingkatan tiga, aku agak terkejut melihat bilangan sijil yang aku dah kumpul. Agak banyak, dan aku tak pernah sangka aku akan capai macam ni. Macam-macam jenis program, aktiviti, sukan, dan anugerah yang aku dah kumpul.

Tapi tapi, dalam aku merasakan tingkatan tiga ini adalah antara kemuncak terbaik dalam hidup aku, sebenarnya masih ada satu kegagalan yang aku tak dapat selesaikan. Perasaan yang mengatakan terbaik, sebenarnya hanyalah perasaan palsu dan plastik. Aku masih lagi lemah membaca al-Quran.

Malunya aku masa ni ya Allah. Aku dah tingkatan tiga, tapi hukum tajwid entah ke mana huruf entah ke mana. Aku tak tahu, kenapa aku dungu dan bodoh macam ni. Aku nak belajar dari ustaz di surau, tetapi kenangan lama amat menganggu hati aku. Apatah lagi ketika itu aku sudah menjadi antara watak penting dan besar dalam sekolah. Jika terbongkar, nescaya aku tak cukup bumi untuk melarikan diri. Dalam kelas Kemahiran al-Quran, aku banyak mendengar bacaan orang lain dan menghafal mengikut apa yang aku dengar.

Aku cuba belajar sendiri, tetapi tidak berjaya. Aku rasa malu sangat. Rakan-rakan aku semua khatam setiap 3 bulan atau setiap tahun. Aku ni, merangkak satu muka ke satu muka setiap hari. Aku tak pernah merasai perasaan khatam al-Quran pada masa ini. Pada tahap aku sekarang, kisah-kisah lama ni selalu membuat aku ingat siapa diri aku sebenarnya.

Tidak mengapalah. Apa-apa pun, aku merasakan tingkatan 3 adalah tahun terbaik aku. Sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh warga SMK Sulatanah Hajjah Kalsom amat memberi kesan dalam sanubari aku. Terlalu banyak perubahan yang dibawa sejak hari pertama aku menjejakkan kaki di sekolah tu. Sebab itu, dari segi sentimentalnya, sekolah ini amat dekat dengan hati aku. Mustahil untuk aku lupakan warganya. Disebabkan kesilapanlah, sehingga hari ini aku belajar bahasa arab. Disebabkan kepercayaan dan keyakinan guru-guru, aku dapat mengubah diri aku menjadi seorang yang baru dan lebih manusia. Moga Allah limpahkan kebaikan dan nikmat syurga kepada semua warga SHAKS yang memberi kesan dalam hidup aku. InsyaAllah, andai aku menjadi orang yang berjaya kelak, sekolah ini adalah yang pertama aku akan letakkan dalam ingatan.

Okay. Tamat fasa gilang-gemilang dalam hidup aku. (setakat ni lah)

Sekarang, kita akan masuk fasa baru, yang bagi aku biasa-biasa dan graf peningkatan aku berkurang.

+++++++++++++++++++++++++++++++

[FASA KETIGA: Biasa-biasa]

Dalam fasa ini, kebanyakan latar ceritanya berlaku di Maahad Tahfiz Negeri Pahang, SMK Abdul Rahman Talib, dan sedikit campur-campur adengan lain.

Kenapa biasa-biasa abam shaz?

Entah. Mungkin sebab aku yang tulis blog ni, dan aku yang nak cerita. Okay? Baca je. :p

Selepas melalui fasa kehidupan yang amat positif dan menceriakan aku, aku mula masuk secara perlahan-perlahan ke dalam terowong kehidupan yang baru. Dalam terowong ini, aku mencari-mencari apa sebenarnya yang aku tengah buat dan siapa diri aku. Banyak konflik berlaku, banyak kisah-kisah yang agak mencuit emosi aku, dan banyak juga pertentangan sama ada dari guru, ibu bapa, atau rakan-rakan sendiri. Aku menjadi sedikit radikal, liberal, dan sifat ego+pemarah aku agak subur dalam fatrah ni.

Baiklah. Sebagaimana yang telah diceritakan, aku mendapat 9A dalam PMR dan pencapaian kokurikulum aku agak cemerlang. Disebabkan itu, aku mendapat tawaran ke KISAS namun ditolak dengan baik. Aku tak minta MRSM kerana memang tak minat. Aku tak minta tempat lain kecuali KISAS. Tapi kenapa aku tolak KISAS lepas tu? jeng jeng jeng

Sebabnya aku masuk Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

Err... Antara perubahan yang super besar dalam hidup aku.

Aku tak pandai baca Al-Quran.
Aku tak pernah menghafal. (Juz 30 pun tak hafal)
Huruf pun aku tertukar. (T.T)

Macam mana boleh masuk? Meh sini kita cerita.

Ketika itu, sekolah baru sahaja bermula seminggu. Aku sedang bergembira dengan rakan dalam kelas 4 Al-Farabi yang masyaAllah, sangatlah bahagia aku dalam kelas tu. Bersama-sama dengan teman yang baik, dan telah mengubah aku menjadi baik,aku amat bahagia. Tiba-tiba, datanglah beberapa orang pegawai dan juga pengetua Maahad itu ke sekolah aku. Rupa-rupanya, mereka sedang mencari pelapis dari seluruh negeri Pahang untuk masuk ke dalam program mereka.

Mereka pun mohon izin dari pihak sekolah untuk menemu ramah pelajar yang mendapat straight A. Dengan langkahan kaki yang amat berdebar dan bergetar, aku pun masuklah ke dalam bilik tu. Seram sejuk aku tengok wajah-wajah ustaz depan aku ni. Berjanggut manis, bersongkok dan berkopiah sopan, mencerminkan akhlak yang mantop gitu. Aku ni dah la jenis susah nak rapat dengan gang-gang ustaz ni, sebab depa ada je trik nak kenakan aku. haih

Mula-mula tu, ustaz tu perkenalkan diri dan beritahu lah apa kelebihan maahad pahang ni. Sambil dia berceloteh, aku dah mula bosan dan buat tak layan. Sat lagi, dia sebut ada main kuda, memanah, dan berenang. Nak melompat aku dari kerusi bila dengar! haha

Sebab aku memang dah lama simpan niat nak main kuda. Tapi duit tak ada nak main. Dan memang tak pernah ada peluang pun. So, masa ustaz tu sebut je, aku dah nak jerit untuk beritahu yag aku setuju untuk masuk maahad tu. haha

Tengah syok dengar dia cerita kelebihan maahad tu, tiba-tiba sat lagi dia sebut tentang hafal 5 juzuk selama 2 tahun di sana. Ya Allah, gugur jantung aku dengar 5 juzuk. Nak hafal al-A3la pun dah sekian susah dan merana, inikan pulak lima juzuk. Aku terus tunduk dan tak nak masuk sekolah tu. Dapat main kuda memang seronok, tapi kalau tiba-tiba tu kantoi aku tak pandai baca Quran dan tak dapat habiskan 5 juzuk macam mana? Siapa nak tanggung? So, jalan selamat adalah bawa diri jauh-jauh dan cari jalan lain untuk main kuda.

Habis je penerangan dia, aku terus angkat punggung nak masuk kelas dan balik asrama. Tiba-tiba je dia cakap tunggu dulu sebab ada ujian bacaan al-Quran sekejap lagi. Mak aih. Aku dah tak nak awat dia paksa lagi. Memang menangis aku hari ni.

Masa giliran aku kena baca, aku pasrah je lah. Rahsia yang aku simpan selama 3 tahun ni, akhirnya terbongkar jugak depan kawan-kawan aku. Malu dah konfem, lagi segan sebab depan aku ni ustaz dari luar pulak. Aduh... Dah nasib badan...

Ustaz tu buka mushaf depan muka aku. Dia buka pulak mukasurat tengah-tengah yang aku memang tak pernah baca. Ya Allah, memang habis lah aku kali ni.'

Aku tarik nafas, dan renung tajam al-Quran tu. Aku cuba baca, tak jadi. Aku tarik nafas semula dan tengok depan, tak dapat jugak baca. Last sekali, aku bantai je baca. Macam-macam bunyi keluar. Ada bunyi macam surah ikhlas, ada macam surah maun, ada macam al-kauthar. haha Urat muka aku dah timbul semua. Hijau, biru, merah semua sekali nampak jelas. Punyalah aku berusaha nak baca.

Lepas baca tiga baris, ustaz depan aku suruh berhenti. Aku tengok muka dia, dia tengok muka aku. Nak cakap dia terkejut, tak pun. Nak cakap dia marah, tak jugak. Muka yang macam tak ada perasaan gitu.

Aku dah cuak. Mesti dia terkejut macam mana aku boleh dapat 9 A dengan kelemahan yang jelas macam ni. Tak pe lah. Kalau kena tolak dari masuk maahad ni, nak buat macam mana. Aku pun memang tak nak masuk sebab rendah diri sangat dengan bacaan Quran aku ni.

Aku disuruh keluar dan tunggu selama setengah jam untuk keputusan. Nak je aku berlari balik asrama sebab dah memang tak ada harapan nak masuk maahad kalau baca Quran pun tak pandai. haha

Dipendekkan cerita, tiba-tiba ustaz ni panggil aku dan ucap tahniah.
"Awak dapat masuk maahad tahfiz ni.'

Bagaikan langit jatuh menghempap, bagaikan batu menujah, bagaikan bumi menghimpit.

Kepala aku jadi peninng dan bingung. Kenapa aku dapat? Ke ustaz ni nak bergurau kasar?

"Daftar minggu depan ya. Bersiap-siap cepat."

Mudahnya dia bagi arahan. Aku dah nak pengsan.

Ustazah aku yang dari tadi melihat sahaja kami dalam bilik itu,membawa aku keluar dan berbincang dengan baik. Dia mohon aku supaya bertenang dan berfikiran dengan waras. Cadangan beliau ketika itu, tanya ibu bapa terlebih dahulu.

Aku pun telefon ayah aku dan ceritakan apa yang berlaku dari A sampai ke Z. Ayah aku yang juga terkejut, terus respon dengan kata-kata yang aku memang gelak bila ingat balik,

"Tak yah la masuk maahad tu. Macam pondok kan tempat dia?"

haha. Aku pun angguk sebab memang tak tahu langsung pasal tempat ni. Tiba-tiba ustazah aku nak cakap dengan ayah aku. Dia ceritakan betapa gahnya maahad ni dan semua pengajaran berlaku dalam kelas khas yang amat canggih fasiliti dan berada sepenuhnya dalam tanggungan dari Yayasan Pahang. Semangat ustazah aku cerita sampai aku pun tiba-tiba terdetik nak masuk.

Dipendekkan cerita, ayah aku pun bagi greenlight untuk masuk maahad tu. Aku pun setuju. Bermula dari hari tu, jadilah aku seorang pelajar Maahad koff koff koff...

Aku masuk ke maahad, tapi belajar matapelajaran semua di SMK Abdul Rahman Talib. Kiranya, waktu malam akan tasmi3 di Maahad dan siang hari akan belajar di SMART.

Untuk sekarang ni, aku rasa sampai setakat ni je aku akan cerita. Kisah untuk 2 tahun selepas itu aku akan ceritakan bila aku nak dan aku rasa sedia nak kongsi. Ada banyak kisah yang menyedihkan berlaku, gembira, kisah impian dan harapan, pergaduhan, dan macam-macam genre yang kalau buat drama pun boleh jadi hits kot. haha

+++++++++++++++++++++++++++++++

Okay.

Sekarang ni, yang penting untuk diri aku tahu, aku sedang melalui satu lagi fasa dalam kehidupan. Maksudnya, aku akan berubah sekali lagi pada cara bekerja, impian, pemikiran, dan perasaan.

Adakah akan menjadi lebih baik? Aku tak tahu.
Adakah akan menjadi lebih teruk dari sekarang? Pun aku tak tahu.

The only constant in the world is changes itself.
Satu-satunya perkara yang kekal di dunia ini adalah perubahan itu sendiri.

Aku semakin mendalami bisnes, sama ada online atau offline. Minat dan semangat aku untuk bisnes mungkin boleh dikatakan lebih tinggi daripada perkara lain. Sudah makin ramai teman yang aku cari dari jalur minat yang sama. Aturan Allah amat cantik, apabila Dia membenarkan aku berkenalan dengan seorang manusia yang berpengalaman dalam bidang ini. Bonus pula apabila dia tidak lokek berkongsi ilmu dan sering berkongsi pengetahuan. Aku nak panggil dia mentor, tapi dia menolak dan masih berbasa-basi merendah diri.

Melihat ada beberapa orang teman yang ikut terjebak dalam bisnes ni, membuatkan aku semakin bersemangat untuk mencabar potensi diri aku. Ye lah. Mula-mula segan juga nak buat biz bagai. Takut ada orang kata kita ni nak kejar dunia, atau cuma tahu cari duit, atau cakap kita ni kepala kapitalis. haha

Tapi, dalam posisi dan keyakinan pada hari ini, mustahil aku akan berundur. Jika aku terpaksa ke belakang, aku akan pastikan selepas ini aku meluncur ke hadapan lebih laju. Aku hanya ada impian dan harapan untuk terus membawa aku ke masa depan, yang aku akan tulis berkenaannya dalam masa akan datang.

Doakan aku!

+++++++++++++++++++++++++++++


Update mingguan:

Aku masih gagal dalam komunikasi dengan manusia.

Untuk orang yang aku sayang dan cinta, sangat susah untuk aku cakap dan buat sesuatu yang menggembirakan dia. (kecuali mak ayah dan keluarga yang aku dah pandai cakap i love you haha)

Sorry. Aku sangat takut dengan manusia yang aku tahu, boleh menyebabkan aku jatuh hati pada dia. Aku akan elak sedaya mungkin, dan jauhi sekadar termampu. Sebab tu, dari dulu lagi, untuk manusia yang aku benar-benar takut untuk jatuh hati, akan ada hubungan paling teruk dengan aku. Dari sekolah rendah, ke sekolah menengah, dan terbawa-bawa sampai ke universiti.

Aku teruk?

Agak lah. Dia tak bersalah pun untuk personaliti dan perangai dia yang aku suka.

Yang bersalah, adalah aku.

Sebab aku nak elak dari jatuh hati dengan manusia lagi. Tidak sampai impian yang sekarang ni aku capai. Sebab tu aku unfriend fb, dingin masa bercakap, tak layan, dan buat tak tahu.

Semua tu menyebabkan aku jadi teruk. (di mata target aku ofkos)

Kalau aku minta maaf, dengan ikhlas hati dan sepenuh hati, aku dapat rasa yang hati aku terus jadi geli-geli selembut agar-agar gitu. Dan aku takut dengan bayangan apa yang akan berlaku selepas ni.

Hemm... Masalah lah personaliti aku yang ni.

Orked cakap, kena minta maaf dan rendahkan ego.

Aku dah minta maaf basa-basi. Terpaksa ego untuk elak aku yang mencair.

Bila aku main catur, aku dapat predict move lawan dalam 10-15 steps ke depan. Dalam perhubungan dengan manusia (perempuan), butiran percakapan selepas ni pun aku tak dapat teka. Kalau teka pun salah. Ada setengah orang memang aku tak nak faham supaya dia akan explain lebih lagi. Nak dengar dia bercakap lebih haha.

Aku cuma push dia harder supaya apa yang aku expect, iaitu manusia tu akan explain lebih dan lebih empati dengan aku akan tercapai. Damn aku salah. Rosak semua yang aku assume.

Well, masa masih panjang untuk aku baiki. Cuma apabila kaca dipecahkan, aku tak expect everything would fit nicely without a scar.

Minta maaf secara tak formal. (depan-depan tak berani)

Aku suka debat. Aku suka bercakap. Aku suka komen. Aku suka mendengar.
Aku tak suka lukakan orang lain, kecuali aku expect something in return. Aku tak suka gaduh.

Huh. Minggu yang menyukarkan untuk hati aku.

Doakan aku thabat dan qawiy macam akhi X hehe. :)

Salam.














About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!