Facebook Twitter Google RSS

Sunday, March 9, 2014

Siapa lagi bagus; Introvert atau Extrovert?

Assalamualaikum wbt.

Dalam kehidupan kita, merupakan suatu yang agak lumrah untuk bekerja dalam sesuatu kumpulan atau mempunyai ketua yang kita patuh kepada arahan. Apatah lagi manusia itu sifatnya memang suka untuk berkumpulan, maka jika berkumpulan wajib ada ketua sebagaimana yang kita fahami dari hadis Nabi Muhammad saw yang mengarahkan jika kita pergi ke sesuatu tempat secara bertiga, lantiklah salah seorang menjadi ketua.

Namun, merupakan satu kepastian yang nyata bahawasanya setiap manusia mempunyai gaya memimpin yang berbeza. Ada yang secara diktator dan kuku besi, ada yang demokratik sepenuhnya, ada yang hanya menjadi pak turut kepada arahan dari manusia lain.

Dari pengalaman aku yang amat sedikit ini, aku pernah melalui beberapa bentuk kepimpinan yang dijalankan oleh beberapa jenis manusia. Seorang insan adalah istimewa, berbeza, dan mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri. Hasil dari perbezaan itu, maka lahirlah bentuk kepimpinan yang bercirikan sifat peribadi mereka. Secara mudahnya, aku bahagikan manusia atau lebih khusus pemimpin ini kepada mereka yang introvert dan extrovert.

Sebelum itu, aku tergerak untuk menulis artikel ini sebab persoalan yang bermain dalam kotak akal aku. Sering berkeliaran dan menerawang, antara introvert dan extrovert; sifat mana yang lebih baik untuk seorang pemimpin? Apakah sifat itu perlu dominan sepenuhnya atau cukup sekadar percampuran yang sama rata antara satu sama lain? Atau mungkin satu sifat itu perlu pada sesetengah tempat sahaja dan dilupakan pada tempat yang lain?

Aku pernah terbaca beberapa artikel perniagaan yang boleh dilihat di sini dan sini berkenaan bagaimana seorang yang introvert sebenarnya adalah ketua yang lebih baik berbanding extrovert. Ini sudah semestinya agak bertentangan dengan kepercayaan biasa masyarakat kita yang melihat seorang yang extrovert pastinya seorang pemimpin yang lebih baik disebabkan kebolehan mereka untuk bersosial dengan ramai manusia dalam satu-satu masa. Tidak dikira lagi dengan kebolehan berkomunikasi mereka yang mencapah itu.

Sebab itu, aku rasa wajar untuk aku berikan pandangan yang terbatas berdasarkan pengalaman dan pengamatan aku terhadap manusia lain berkenaan tajuk ni.


Takrif Introvert dan Extrovert

Aku ambil takrifan yang ringkas sahaja. Untuk perbincangan yang lebih lanjut, boleh tanya en google atau guru kaunseling sekolah masing-maisng hehe.

Introvert: Mendapat tenaga apabila duduk berseorangan.
Extrovert: Mendapat tenaga apabila duduk dalam kumpulan manusia yang ramai.

Itu takrif yang aku dapat dari sini. Dalam tulisan ni, aku akan fokuskan pada sifat pecahan yang terbit daripada takrifan ringkas tadi. Contohnya, seorang introvert biasanya seorang yang kurang bercakap kecuali perlu dan amat mementingkan kepada kualiti percakapan. Manakala extrovert suka bercakap dan mementingkan kepada kuantiti percakapan.

Introvert biasanya juga dikaitkan sebagai seorang yang amat pemalu dan suka menyendiri. Walaupun ada benarnya, tetapi banyak artikel dari pakar psikologi tidak bersetuju pun dengan sifat ini kerana ada kalanya introvert boleh menjadi seorang yang sangat out-going dan terkehadapan. Cuma sebab golongan ini berbuat sedemikian adalah kerana mereka fikir itu perlu dan mereka seronok melakukannya. Ada manusia yang dikenali sebagai extrovert, tetapi tidak menonjol dan hanya menjadi bising apabila masuk ke dalam kelompok teman-teman yang sekepala dengannya.

Sebab itu, tidak tepat jika kita katakan seseorang itu extrovert hanya kerana dia suka bercakap. Atau panggil seseorang itu introvert hanya kerana dia suka menyendiri dan senyap apabila ditanya. Berbalik kepada takrifan itu, introvert adalah seorang yang mendapat tenaga apabila berseorangan dan extrovert mendapat tenaga apabila bersama teman-teman.

Soalannya: Siapakah yang lebih baik sebagai seorang pemimpin, introvert atau extrovert?


Pandangan aku;

Aku teringat semasa di sekolah dulu, aku mempunyai seorang ketua pengawas yang amat berkaliber. Kemahiran pengucapan awamnya terbaik, dengan karisma tersendiri, mendapat pelbagai anugerah dalam dan luar negeri, akademiknya cemerlang, dan dapat memberi arahan kepada AJK dengan penuh empati sehingga perjalanan organisasi berjalan dengan lancar. Dari pengamatan aku, dia seorang yang extrovert yang mana boleh dilihat apabila dia sentiasa berada dalam lingkungan temannya, suka bercakap, dan pantas merespon kepada apa-apa isu walaupun tidak ketahuinya dengan mendalam. Boleh cakap dia antara ketua terbaik aku pernah dapat.

Pada suatu hari, kami adakan perkhemahan bersama semua pengawas. Apabila dibahagikan kumpulan, aku dan beberapa orang teman merasa amat kaget kerana kami sekumpulan dengan ketua pengawas sekolah yang amat kami segani. Dalam fikiran ketika itu, nescaya kumpulan kita akan mendapat anugerah pasukan terbaik dengan karisma dan kebijaksanaan ketua pengawas itu yang kami sepakat lantik menjadi ketua pasukan.

Tapi ternyata sangkaan dan harapan kami meleset. Bak kata pepatah, baru dengar guruh air dalam tempayan dicurahkan. Kerana selepas tamat perkhemahan itu, pasukan kami antara yang tercorot. Seakannya mustahil, kerana bersama kami adalah ketua yang paling dihormati, dikagumi, karismatik, berpengalaman dalam sekolah. Namun, aku ketika itu masih tidak mengetahui, bagaimana sebenarnya seorang yang extrovert amatlah berbahaya menjadi ketua pada sesetengah keadaan.

Dalam pasukan kami, dia adalah ketua. Disebabkan sikapnya yang amat suka bercakap, maka dia banyak memberikan cadangan dan ulasan. Yang lain disebabkan segan dan tidak diberikan peluang, hanya mengangguk dan bersetuju dengan cadangan. Bagaimana ingin memberikan pendapat apabila kita baru sahaja berfikir lalu cuba meluahkan, terus dipintas oleh ketua kerana gusar kelewatan.

Apa yang jadi, semua tindakan kami adalah bergantung kepada idea ketua. Semangat dan kerja berpasukan semakin terhakis, lalu menyebabkan seolah-olah pasukan ini adalah pasukan individu. Ada ahli yang terasa pendapatnya tidak didengari, lalu bersikap samba lewa dalam bekerja dan tidak ingin menyumbang bersunguh-sungguh. Kami pula fikir kami mampu menjadi pasukan terbaik hanya kerana kami mendapat idea bernas dari ketua, walhal pasukan yang bagus adalah satu pasukan yang kukuh kesefahaman dan kekuatan dalaman. Akhirnya, kami tewas dan mendapat antara pasukan tercorot walhal ketua terbaik dalam sekolah bersama kami.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++


Dan beberapa lagi pengalaman lain yang kebanyakannya menyebabkan aku semakin yakin sifat introvert amat penting apabila ingin menjadi seorang ketua. Pembacaan aku dari majalah bisnes yang menyenaraikan ramai CEO dalam syarikat multi-bilion merupakan seorang yang introvert menguatkan lagi argumen dan keyakinan aku. Antaranya ialah pencipta Facebook iaitu Mark Zuckerberg, pengasas Microsoft Bill Gates, taikun saham Warren Buffett, dan ramai lagi yang mereka sendiri sifatkan diri mereka sebagai seorang yang kurang bercakap dan mempunyai banyak sifat introvert. Tetapi kenapa mereka menjadi pemimpin yang lebih baik? Kerana mereka ada sifat dan kualiti sebagai seorang pemimpin.

Apa sifat yang aku maksudkan? Jom tengok sama-sama.


1. Mereka akan berfikir sebelum bercakap.

Kebanyakan introvert sebagaimana yang kita kenali adalah manusia yang amat sukar untuk berbual dan berbicara tanpa sebab dan alasan yang kukuh. Mereka bukanlah seorang yang kita ajak minum, duduk dan kemudian dapat berborak sehingga 3-4 jam atas tajuk yang mencapah.

Mereka biasanya akan mendengar ucapan orang lain sehingga habis, meneliti dan cuba faham sehabis mungkin, sebelum mengeluarkan komentar. Tempoh masa yang diambil untuk hadam dan fahami dengan teliti kadang-kala sangat lama, namun apabila mereka luahkan ianya amat dalam dan terperinci hasil dari pemikiran yang jitu.

Sebab itu, dalam situasi kepimpinan, kita perlukan pemimpin yang boleh mendengar dan menghadam kata-kata setiap ahli dan berikan satu keputusan terbaik. Tidak berguna jika banyak bercakap namun tiada isi atau hanya ucapan yang tiada erti. Seorang introvert amat mementingkan kualiti percakapannya, yang hanya bercakap apabila dirasakan benar-benar perlu dan mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya dengan kata-kata mereka.

Jika kita lihat dalam meeting sesebuah syarikat yang besar dan mega, manusia yang paling berkuasa dalam memberi keputusan biasanya adalah yang paling senyap dan banyak berfikir. Beliau akan mendengar semua kata-kata, dan fikirkan yang terbaik. Betul tak?


2. Introvert fokus pada kedalaman dalam perbualan, tidak keluasan.

Apabila berbicara, mereka akan fokus kepada ketelitian dan segala detail-detail terperinci berkaitan sesuatu tajuk. Mereka akan menggali sepenuh hati, menyelam dalam lautan perbicaraan, sehingga benar-benar terang dalam setiap tindak tanduk perbuatan. Jika kita berbual dengan mereka, pastinya mereka akan tertarik dengan perbualan jika kita mampu berbual tentang sesuatu yang bermakna, menarik, mendalam, agak serius, dan pastinya amat berlawanan dengan sekadar berborak kosong.

Sebab itu juga persoalan yang mereka lontarkan amat tepat serta kadang-kala terlalu dalam sehingga tidak tercapai dalam pemikiran orang lain. Lagi penting, selain pandai bertanya soalan yang bagus mereka juga amat suka mendengar jawapan dari orang lain. Mereka akan fokus, dan menumpukan sepenuh perhatian apabila orang lain bercakap. Dalam sesuatu organisasi, inilah sifat yang menyebabkan ahli bersemangat untuk turut serta dalam menjalankan aktiviti kerana mereka yakin suara mereka didengari. Kualiti inilah yang ada pada seorang introvert yang menyebabkan mereka bisa menjadi ketua yang terbaik.

Ada sebuah kisah tentang Ceo kepada syarikat perubatan yang besar, yang telah berkata:

"Selepas seharian meeting dan berjumpa klien, aku akan keluar berjalan-jalan di sekitar kilang dan pejabat pada waktu tertentu. Apabila aku ternampak mana-mana pekerja, aku akan terus bertanya soalan yang agak spesifik seperti "Kenapa kamu bekerja sehingga lewat malam ni?" atau "Apa yang kamu sedang lakukan sekarang?" atau "Di mana yang kamu rasa kita boleh perbaiki?". Dengan bertanya soalan-soalan sebegini kepada para pekerja, moral dan juga hubungan antara pihak pengurusan dengan para pekerja bertambah baik dan mereka terasa amat dihargai. Soalan sebegini sebenarnya amat mudah dilontarkan oleh seorang yang introvert, kerana mereka sudah biasa untuk bertanya secara mendalam dan amat berminat untuk mengetahui tentang sesuatu secara teliti.

Seorang extrovert pula suka kepada keluasan perbicaraan. Sebab itu mereka hanya akan menyentuh sesuatu tajuk secara surface dan isi perbincangan yang mencapah tanpa ada satu fokus yang sama.


3. Mempamerkan ketenangan yang jitu

Kebiasaannya, seorang yang introvert amat merendah diri dan low-profile. Tetapi ini tidak langsung membawa makna mereka ini lemah dan tidak mampu berhujah apabila diperlukan. Dalam kerendahan dan kesenyapan mereka, sebenarnya mereka adalah orang yang paling tenang dalam kehidupan.

Dalam kehangatan sesuatu perbincangan atau keadaan, seorang yang introvert akan kekal bercakap dalam nada yang sedarhana, tenang, tidak gopoh, namun menyinarkan cahaya kemantapan serta keseriusan yang amat tinggi. Antara figura yang tepat adalah Presiden Barrack Obama yang sering kelihatan tenang dalam apa jua situasi yang melanda dan apa jua isu yang sedang dibincangkan.

Apabila mereka perlu bersedia untuk apa-apa event atau speech atau pembentangan yang besar, mereka akan kekal dan tenang dan buat yang terbaik. Rahsia mereka hanya satu, iaitu mereka bersedia dari awal dan letakkan mind-set yang tepat dalam otak mereka. Mereka akan tulis dan catat segala perancangan mereka sebelum diterjemahkan di atas pentas. Ini lah sebenarnya rahsia mengapa sebahagian besar manusia yang introvert berjaya dalam kehidupan.

Kadang-kala mereka akan berlakon sebagai orang lain. Sebagaimana yang diamalkan oleh kebanyakan speaker-speaker hebat, mereka akan bayangkan bahawa diri mereka sebagai adiwira James Bond atau apa-apa karektor yang memberi bayangan kekuatan, keyakinan, dan kelancaran dalam membaut sesuatu. Hal ini kerana otak mereka sememangnya pakar dalam memberi psikologi dalaman kepada diri yang seterusnya memberikan satu tambahan besar dari sudut ketenangan dalam perjalanan kerjaya mereka. Bonus lah kot sifat-sifat introvert ni hehe.


4. Lebih suka menulis dari bercakap

Kebanyakan ketua atau pemimpin yang mempunyai sifat introvert yang agak dominan akan lebih mengutamakan penulisan dari percakapan apabila ada sesuatu yang ingin disampaikan. Dalam penulisan, ada sesautu yang boleh disampaikan dengan sangat baik dan mampu menyentuh banyak hati manusia di luar. Apatah lagi kemahiran introvert apabila mampu menyusun segala idea dan perancangan mereka dalam bentuk yang tersusun yang akhirnya akan menjadikan itu sebagai satu leverage atau penolak yang besar dalam hidup mereka.

Contoh yang boleh diambil adalah dari seorang pegawai dalam syarikat yang mana beliau seorang yang constant untuk update blog beliau. Melalui penulisan dengan gaya yang tersendiri dan terbuka, beliau berjaya menyelesaikan banyak permasalahan dalaman dalam kalangan pekerjanya kerana sikapnya yang down-to-earth dan banyak memberikan sentuhan peribadi dalam penulisan.

Boleh jadi satu kelemahan juga sebenarnya kerana ini akan menyebabkan seorang yang introvert lebih banyak menghabiskan masa dalam dunia maya berbanding alam sebenar yang lebih mencabar. Bayangkan, dia gembira dengan engange dalam blognya yang mencapai ratusan atau ribuan setiap hari. Tetapi itu dalam dunia maya. Dalam dunia nyata mungkin dia hanya seorang yang tidak dipandang langsung oleh masyarakat dek kesibukannya sehingga tidak menyumbang langsung untuk masyarakat.

Tapi, aku masih bertegas untuk mengatakan bahawasanya penulisan amat besar peranannya. Kadang-kala penulisan lebih menyentuh hati manusia berbanding percakapan harian kita. Benarlah kata-kata, mata pena itu lebih tajam dari pedang.


5. Kesukaan untuk bersendirian

Pasti ramai akan cakap ini adalah kelemahan kan kan?

Sabar dulu. Ada kebaikan dia sebenarnya. :)

Seorang yang introvert amat suka dengan waktu bersendirian, kerana ini yang akan mengisi kembali tenaga mereka setelah penat seharian bergaul dan meluangkan masa bersama orang lain.

Dalam fasa berehat ini, mereka akan memulihkan kembali tenaga sosial, menaikkan kembali tahap kreatif, mengisi masa dengan idea baru, yang akhirnya melahirkan diri mereka yang baru dan lebih bertenaga untuk menyumbang kepada manusia sekeliling.

Apabila mereka berjaya meluangkan masa yang secukupnya untuk diri mereka, mereka akan bangkit sebagai seorang yang responsif dalam mendepani masalah-masalah yang berlaku berbanding menjadi seorang yang reaktif. Ini amat penting, kerana ketua itu perlu bersedia sepanjang masa untuk mendepani masalah dan dapat memberikan sentuhan terbaik apabila ia berlaku. Bayangkan jika masalah dihadapi dengan reaktif, sebagai contoh apabila berlaku masalah terus bertindak menyalahkan orang lain dan tidak berfikir tentang penyelesaian.

Sebab itu, ciri introvert yang perlu masa berehat untuk menaikkan kembali tenaga mereka merupakan satu bonus tambahan yang akan memberi banyak manfaat dalam pengurusan pentadbiran suatu hari nanti.

Sebagai contoh, Martin Schmidler seorang naib presiden dalam syarikat makanan, mengamalkan satu teknik untuk menguruskan pendapat dan keluarkan komentar. Apabila berlaku perbincangan, beliau akan mendengar semua pendapat dan kemudian meminta masa untuk berfikir. Kebiasaannya beliau pergi berehat dan akan hadam semua pendapat serta berusaha melihat dari pelbagai sudut sebelum memberikan kata pemutus. Dalam suasana yang tenang dan rehat, pendapat yang dikeluarkan lebih bernas dan tepat dengan perjalanan operasi syarikat.


++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


Okay settle beberapa point positif tentang introvert yang aku rasa selama ni aku terlepas pandang.

Secara jujur, aku dulu amat mengagungkan extrovert. Gaya mereka yang boleh bersosial dengan semua manusia, menghidupkan suasana, pandai bercakap, out-spoken, boleh berpakaian dengan amat menarik, dan mampu membuat ramai manusia kagum dengan diri mereka antara perkara yang menyebabkan aku push diri aku untuk ada sifat macam tu.

Tetapi, selepas mengamalkan gaya berfikir dan traits sebagai seorang extrovert, aku terasa ada kekurangan yang amat fatal untuk diri aku dan boleh menyebabkan aku terasa kuat di luar tetapi hancur di dalam. Mula dari itu, aku mula mencari pengimbangan yang boleh dilakukan agar perasaan, impian, serta kemahiran aku dapat dikoordinasikan dengan baik.

Aku ada berbincang dengan beberapa orang rakan yang aku yakin boleh memberikan pandangan yang bernas dan suka mendengar dari bercakap (haha) supaya aku dapat buat pilihan dengan baik.

Kini, aku yakin sifat sebagai seorang extrovert yang boleh bersosial dalam skala besar dan berborak kosong itu perlu ada sebab rangkaian persahabatan aku agak luas. Aku tak boleh korbankan perhubungan hanya kerana ingin menjadi seorang yang lebih baik. Dalam pada masa yang sama, aku wajib donwload dan install sifat introvert dalam diri aku seperti lebih empati dengan manusia, suka mendengar percakapan, berfikir sebelum bercakap, menghargai perhubungan yang rapat, dan recharge tenaga apabila berkhalwat dalam bilik.

Balance antara 2 sifat ini akan memberikan comparative advantage yang agak besar dalam hidup aku kelak insyaAllah.

Cuma, aku tinggal satu lagi masalah besar untuk ditackle, iaitu Emotional Quotient atau EQ.

Marah dan sifat meletup aku yang kadang-kala muncul boleh bawa bencana dalam hidup aku pada masa depan. Maka, perlu direncana satu perancangan yang teliti bagaimana aku boleh kawal perasaan dan tundukkan ego dalam pada masa yang sama masih menjadi aku yang dulu.

Hem... Upbringing family agak banyak memberi kesan dalam hidup aku. Aku tak fikir ada manusia yang sama dengan aku. huh~

Okay ni sket trick macam mana nak deal dengan manusia introvert ni. Mereka ni amat sensitif okay.

Hafal semua ni ya.
Kalau nak dapat quote yang agak kelakar pasal introvert boleh tekan sini.

Orait. Sekian posting. Moga dapat manfaat.

Doakan penulis yang sehingga kini seperti kanak-kanak. (dari sudut EQ-nya lah)
Moga beliau cepat membesar dan tidak membuat orang lain menangis.

Salam.

Sebelum tu, nak post gambar sweet MEC. hehe


Cinta tidak perlu diluah. Ia dirasa. Oleh mereka yang kita cinta.





About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!