Facebook Twitter Google RSS

Saturday, December 10, 2011

Kematangan Yang Membunga

    Berada di bumi asing ini, membuatkan diri sendiri semakin matang dalam meniti usia kedewasaan. Hal ini kerana wujud cabaran yang tidak mampu digambarkan tahap kesukaran untuk menghadapinya. Tatkala berjaya mengharunginya, diri sebenarnya sedang melangkah ke arah premis kehidupan yang lebih baik secara keseluruhannya.

    Perlu ditegaskan, merupakan satu kemestian untuk setiap tuan punya badan mengukuhkan jati diri dan pegangan agama sebelum tiba ke sesuatu destinasi, khususnya luar negara. Ini penting supaya kita tidak lemas dalam serbuan pemikiran yang mengganas untuk membantai kepercayaan dimiliki. Kerana kita tidak akan dapat lari dari bertembung dengan perbezaan kebudayaan dan pertentangan citarasa, dengan masyarakat asli khususnya. Kadang-kala, ada yang hanyut tak tahu kemana dan ada yang hilang arah tujuan disebabkan tidak tahu matlamat dicita. Maka, letakkan prioriti membina kefahaman agama di tempat utama.


   Namun, aku lebih suka memberi perincian kepada keterbukaan pemikiran yang terdapat di sini. Bukanlah keterbukaan yang memincangkan komuniti dicari, namun keterbukaan yang melorongkan kefahaman antara warganya supaya dapat hidup bertoleransi. Suasana masyarakatnya menggalakkan kita untuk mencari dan mengkaji. Setiap maklumat dianalisis, setiap info yang diterima akan dikritis, agar masyarakat PERMAI tidak jemu dengan suapan maklumat siap proses.


   Sebagai contoh, tatkala membicarakan tentang persoalan antara NGO Islam , maka pelbagai pandangan telah dilontarkan untuk meluahkan rasa jiwa yang selama ini terpendam. Ahli-ahli yang selama ini sekadar menjadi pemerhati mula berminat untuk terlibat dalam kancah perbincangan dan meluah perasaan. Kita dapat menyaksikan pandangan dari kaca mata masyarakat luar bagaimana mereka memandang gerak kerja NGO ini. Maka, sudah tentu ini menjadi peluang yang baik untuk kedua-dua belah pihak membetulkan pemikiran mereka terhadap satu sama lain agar tidak timbul lagi isu saling bercakaran.

   Melalui ketelusan sebegini, kita dapat menilai sesuatu perkara dari perspektif yang pelbagai. Tidak lagi tersepit antara ideologi nafsu serakah atau retorik gila kuasa individualitik. Kita dapat menilai dengan akal yang adil, dan dengan kepelbagaian sumber mendidik kita untuk menjadi pendengar dan pemerhati yang baik. Tidak menghukum mengikut sedap rasa, tetapi menggunakan akal yang bijaksana demi kebaikan bersama.


    Selain itu, di sini wujud dua aliran kehidupan yang berbeza namun mampu jalan beriringan. Tidak dipisahkan oleh kepentingan diri mereka, dan tidak pula dijarakkan oleh kefahaman yang berbeza. Bak kata orang, bukan sama sekali seperti enggang dan juga pipit yang sentiasa berbeza tarafnya. 

    Bahasa mudah, sains badan manusia, dan juga sains jiwa manusia. Atau boleh juga dikenali sebagai perubatan dan keagamaan. Disebabkan wujudnya University of Yarmouk dan Jordan University of Science and Technology, maka dua aliran ini dapat bergaul bermesra dalam satu adunan yang sama untuk membentuk ramuan kehidupan sejahtera. 

    Kehidupan di sini seronok. Banyak kelas ilmu diadakan. Budaya berkongsi ilmu seakan-akan menjadi tradisi. Hatta semasa makan shawarma pun boleh berbual tentang nahu dan sorof. Ada\masalah kesihatan, boleh rujuk pelajar perubatan. Ragu-ragu dalam persoalan keagamaan, kita ada ustaz-ustaz dan profesor di universiti yang bersedia menjawab setiap persoalan. Menjadi satu kebiasaan, pelajar perubatan akan berkongsi permasalahan kesihatan yang melanda, manakala pelajar keagamaan pula memberi pencerahan dalam isu-isu semasa yang memerlukan pendekatan ilmiah. Kami bersama-sama membincangkan setiap perkara, dengan bimbingan ustaz-ustaz yang sedang mengambil Master dan Kedoktoran di sini.


   Antara permasalahan yang pernah aku hadapi adalah, melihat dan membaca percakaran pendapat antara ulama' atau para ustaz. Dahulu, aku sungguh keliru mengapa ulama' ini boleh berbeza pendapat sedangkan berada dalam haluan dan kapal Islam. Mengapa perlu ada perbezaan? Malahan, ada yang sangat jumud. Pendapat yang salah dengan pendapat mereka terus ditolak tidak diterima. Lambat-laun, aku sendiri terasa sesat. Tidak tahu untuk memilih yang mana.Islam tetap Islam. Tetapi, Islam yang macam mana? Salafi? Khalafi? Moden? Liberal? Atau bertindak bagai lembu dicucuk hidung, sekadar mengikut?


   Di sini, aku perlu belajar semua itu. Belajar kenapa wujud perbezaan. Tahu jenis-jenis pemikiran yang wujud dalam gerakan Islam dan kenal pasti arus pemikiran itu. Maka, selepas bertanya, selepas mengkaji, dan dibantu keterbukaan untuk bertanya di sini, aku dapat berlapang dada dengan perbezaan pendapat yang ada. Ini sekadar permulaan untuk aku agar aku terus berusaha mengkaji dan membina kefahaman. 

    Rakanku pernah berkata, kita hidup berprinsip, tetapi jangan sampai jumud. Kita perlu terbuka, tetapi tidak sampai hanyut. Sama-sama berlapang dada dalam setiap perbezaan.

    Pengakhiran, hidup di luar negara dapat membantu membina kematangan. Bukan sekadar dari segi berfikir, tetapi juga kemahiran kehidupan. Angah dah pandai masak nasi ayam/tomato untuk seratus orang.


   Dengar sini wahai diri, terpulang kepada anda, mahu berada dalam arus perubahan atau terus menyorok di bawah tempurung kelapa dan ditinggalkan. Tatkala manusia lain dilengkapi ilmu tambahan selepas 4 tahun, anda masih dengan dunia anda, gersang dan kering. Tidak mampu memberi. Walhal anda adalah harapan untuk perubahan demi masa depan. Jawab sejujurnya, dapatkah Islam tegak dengan pemuda seperti anda?




*Minggu yang agak tidak seimbang. Fikiran tidak selari dengan perasaan. InsyaAllah, akan cuba untuk kembali ke haluan. Mohon doa. :)

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!