Facebook Twitter Google RSS

Friday, February 10, 2012

Getirnya Perjuangan

      Kalimah Alhamdulillah melantun-lantun dalam setiap bicara dan tingkah. Sangat bersyukur, terlalu banyak anugerah yang telah Dia berikan. Andainya dihitung dan dicatat dalam lembaran tulisan berdakwat air dunia,nescaya apabila sudah kering pun masih banyak lagi yang boleh dinukil. Terlalu banyak. Sangatlah wajar untuk kita semua (khususnya diri sendiri) sentiasa mempunyai kesedaran ini. Biarlah kita sedar bahawa kita terlalu banyak berhutang kepadaNya, dan berusaha lebih keras untuk beribadah setulus jiwa.

     Ini adalah entri ringkas yang akan mempotretkan lukisan hidupku selama sebulan ini. Lama sudah tidak menulis dan menyentuh sisi peribadi. Sebenarnya, jari yang malas hendak berlari, kerana nafsuku terhadap buku-buku dan bahan bacaan yang melambak semakin memuncak meninggi. Masakan tidak, jumpa buku baru, terus ambil dan kaut masuk dalam bilik lalu menyendiri. Dan berebut masa dengan kehendak ku yang lain. Sedangkan buku yang lama belum dikhatamkan lagi. Betapa aku gelisah jika tidak mengetahui ilmu dalam buku itu.


Ya Allah, berilah kekuatan dan semangat untuk aku terus menelusuri khazanah perjuangan menegakkan agamaMu...

    Sejujurnya, Januari 2012 adalah bulan yang seronok dan mungkin juga bulan yang penuh istirehat. Banyak tempat dilawati, dan banyak juga ibrah yang boleh didapati. Jika perlu memilih destinasi terbaik untuk diriku pada cuti ini, pastinya aku akan memilih Mesir. Elemen-elemen cabaran, pembinaan ukhwah, pentarbiahan jati diri, dan pembinaan sikap menjadikan jaulah ini mahal harganya di sisiku. Bukan sekadar melihat seni binaan kaum terdahulu, atau berseronok merasai desiran Sungai Nil, atau menikmati panorama di Damietta, tetapi perjalanan ini memberikan satu definisi baru dalam perkataan perjuangan dan pengorbanan. Tersingkap seribu satu cerita di sebalik perjalananku selama 10 hari ke bumi Firaun ini. 



8 Januari 2012

     Kali pertama merasai suasana imtihan (peperiksaan) di negara orang. Hari ini, subjek akaun bakal terabdi dalam sejarah hidupku kerana menjadi pembuka kepada kejayaan aku yang akan datang.( Ameen ) Seminggu sebelum peperiksaan, rumahku sudah merasai panasnya bahang mengejar kejayaan dan semua bersiap-siaga dengan senjata keilmuan yang menunggu masa untuk diluahkan. Terima kasih Faiz Ali yang sudi datang belajar bersama-sama menelaah pelajaran. Dan Soleh pun ada datang. Aku rakam sesi pembelajaran bersama dia dalam laptop sebab aku kena mengajar dalam bahasa Inggeris campur Arab. Pengalaman yang unik dan bagus untuk aku. Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan dapat jawab dengan baik. Yang ni slip peperiksaan aku. Faham-fahamkan ya.




Imtihan pertama.


17 Januari 2012

   Hari ini, ada ustaz dari Malaysia datang untuk memberi pengisian rohani kepada kami yang dahagakan keilmuan dan kefahaman. Dipanggil Ustaz Salam, seorang yang sangat mesra dan pandai bergurau senda. Ada beberapa daurah dan pengisian yang disediakan. Sebagai contoh, sesi mengenal Serangan Pemikiran, bedah buku Shadatul Haq, dan belajar hadis Ghulam yang banyak memberi peringatan dan kesedaran kepada kami.


    Suasana di Irbid menjadi lengang dan sunyi. Ramai warganya balik ke Malaysia. Ramai juga sudah memulakan pelancongan ke bumi Italy, England, German dan ramai juga yang menyiapkan diri untuk menunaikan umrah. Kami yang masih berada di Irbid dapat merasai kesunyian yang luar biasa ketika ini. Kedai falafel yang biasanya dipenuhi pelajar malaysia juga lengang. Oh, aku rindukan teman-teman Irbid!



    Dan ada juga pergi jalan-jalan dalam Jordan sekadar menemani Akhi Fauzi yang datang dari Malaysia.




24 Januari 2012

     Ini merupakan hari yang sangat susah dalam bulan ini.Jika mengikut perancangan yang baru disusun, kami akan bermusafir ke Mesir untuk melancong dan menyertai satu perkhemahan rohani di Damietta.

     Hati aku berat sekali untuk pergi. Ada beberapa kesulitan yang menimpa dan aku gusar jika pemergianku ke sana akan menambahkan lagi bebanan itu. Namun, ikhwah-ikhwah semua telah banyak membantu dengan pengorbanan dan kesungguhan mereka. Penghargaan khusus patut diberikan kepada akhi Furqan Abdullah, Hasan Basri, Farhan Najman, dan semua ahli usrah yang memberi semangat untuk ku meneruskan perjalanan. Ini semua dilakukan semata-mata untuk memastikan kami dapat bersama menikmati suka dan duka di perantauan dan membina kesefahaman.

    Maka, bermulah pengembaraan ke negeri Mesir dengan serba kekurangan dan kepayahan. Dari Irbid ke Pantai Aqabah mengambil masa 6 jam secara kasarnya dan kos ke sana adalah 10 JD ( termasuk makan minum sepanjang perjalanan. ) Kemudian, kami beli tiket kapal ke Port Nuwaiba dengan kos 50 JD.

     Inilah kali pertama naik kapal ke negara lain. Proses senang dan mudah, cuma disebabkan karenah birokrasi Jordan menyulitkan sedikit. Gerak kerja yang tidak efisien dan perlahan, mencerminkan tahap profesionalisme sebuah negara yang majoritinya Islam. Passport dan pengenalan diri sangat penting jika mahu ke mana-mana. Setakat ini, jika ada sebarang sekatan di jalan, kami akan dilepaskan kerana mempunyai passport yang sah dan tidak tamat tempoh.

    Kami menunggu hampir 4 jam dalam kapal sebelum bergerak ke destinasi dituju. Kami masuk ke dalam kapal pada pukul 12 pagi, dan kapal itu sampai ke Nuwaiba' pada jam 7 pagi. Penantian yang sangat lama hampir-hampir membunuh motivasi diriku. Tetapi, berbekalkan buku Tokoh Gerakan Islam di Dunia, aku berjaya menarik kembali fokusku untuk menghayati kehidupan pejuang yang berusaha mendaulatkan kembali Islam di persada dunia. Antaranya ialah, As-syahid Imam Hasan al-Banna, Sheikh al-Maududi, Sir Muhammad Iqbal, Tuan Guru Yusof Rawa, as-syahid Syed Qutb, dan ramai lagi yang tidak mampu aku catatkan. Mereka hidup untuk Islam, dan berjuang supaya umat Islam kembali memahami agama sebagai cara hidup yang syumul dan menolak segala jahiliah yang bersarang dalam kehidupan mereka.Siapa sangka, kita pada masa kini tidak meyembah berhala secara langsung dalam realiti, tetapi sebenarnya berhala itu sudah pun bersarang dan dipuja dalam hati!



    Maka, pembacaan bahan sebegini banyak menyuntik semangat dan dijadikan bahan bakar untuk meneruskan islah diri serta peribadi. Menjadi seorang yang baik di kaca mata manusia bukanlah satu pilihan melainkan kewajipan. Jika tidak,hidup sekadar menjadi fitnah kepada agama dan tidak lebih daripada seorang manusia lebihan di atas muka bumi, tidak membawa manfaat serta merosakkan.

25 Januari 2012


    Dalam pembacaan yang menerobos langit biru dan kelat pagi itu, aku menemui satu dataran dari kejauhan. Sayup-sayup aku melihat bumi Mesir. Senyuman terlakar, dan jiwa seorang pengembara kembali hangat membara. Kami turun dari kapal dan menghirup udara Mesir. Kami sudah sampai!

    Terkejut apabila mendengar bahasa percakapan manusia di sini. Bagaikan bukan bahasa Arab, tetapi Tamil yang diubahsuai bercampur-campur. Sangat pelik ammiyyah mereka, sehingga aku kaget untuk bercakap. Kami melongo dan sekadar memerhati bibit kekecohan di pelabuhan. Tanpa berselindung, masyarakat Mesir menunjukkan sikap mereka yang agresif, bersuara kasar, dan kurang ramah. Jauh berbeza dengan warga di Jordan. Oh, betapa aku terkejut!

    Kami akhirnya menaiki sebuah bas untuk ke Kaherah yang mengambil masa 8 jam dan kosnya 10JD. Sepanjang jalan,mindaku berputar di belukar-belukar revolusi yang melingkari Mesir ketika ini.Kebangkitan rakyat,semangat menegakkan Islam,pengaruh Muslim Brotherhood,teori Domino,peranan ulama', dan kesediaan rakyat terhadap tanggungjawab mengisi pemerintahan yang ditinggalkan Hosni Mubarak mencuri perhatian.

    Sangat besar kesan yang dapat dilihat di Mesir pasca-revolusi yang akan dicoretkan sepanjang penceritaan.

     Sepanjang perjalanan kami,kerap kali kami dihentikan oleh pihak tentera yang akan melakukan pemeriksaan identiti diri.Dengan senapang dan persenjataan berat di pintu-pintu utama,kami berada dalam kebimbangan dan kerisauan walaupun mengetahui Mesir masih di bawah pemerintahan junta.Tentera akan melihat passport memeriksa dengan teliti. Seperti yang kami tahu,kebanyakan penjenayah telah dilepaskan dari penjara semasa Revolusi dan kini menjadi tanggungjawab mereka untuk menangkap kembali penjenayah yang terlepas. Kini, penjenayah telah menyusup ke kawasan pergunungan dan menyorok di sana. Semoga kami selamat tiba ke Kaherah, InsyaAllah.

    Selepas puas tidur kemudian bangun dan tidur kembali sehingga akhirnya kami letih untuk melelapkan mata, kami tiba di Kaherah. Setibanya di sana, kami dikagumkan dengan gelagat penduduk Mesir yang mempunyai sistem komunikasi yang sangat unik dan menarik. Komunikasi non-verbal ini digunakan oleh para astar atau pemandu trenko(van). Dengan menggunakan jari,mereka akan membuat bentuk "peace" atau tapak tangan dibuka untuk menunjukkan destinasi yang dituju. Ini antara contoh keunikan mereka.



    Selang beberapa ketika, tibalah ikhwah-ikhwah dari Mesir yang menyambut kami dengan sangat mesra dan hangat. Oh,baru perasan Kaherah tidak sesejuk Irbid. Patutlah tidak berapa terasa walaupun duduk di tepi jalan dan jauh dari sumber-sumber yang menghangatkan.

    Kami dibawa ke sebuah rumah yang diberi nama Darul I**am. Sebuah rumah yang besar, dan mampu memenuhi kesemua tetamu yang berjumlah 26 orang dari Irbid, Mafrouk, Amman, dan Mu'tah. Kami tinggal di sana sepanjang 4 hari berjalan-jalan di sekitar Mesir.

   Mesir terlalu besar dan luas. Walaupun kami memperuntukkan setiap hari untuk pergi berjalan, namun tetap tidak dapat mengunjungi setiap tempat. Ringkasnya, inilah antara kawasan yang berjaya kami lawati.





 Suasana di Sungai Nil,dekat dengan Medan Tahrir




Selepas membeli buku dan berjumpa Sheikh Yusof Al-Qurdhowi di Maarad kutub.



    Ada juga pergi Istana Salahuddin ayyubi, masjid 4 mazhab, masjid Mohamad Ali Basya, Alexander, dan juga kawasan-kawasan lain yang berdekatan.Cuma, gambar dirahsiakan. Kononnya lah. 


30 Januari 2012

    Selepas puas dan keletihan melancong di Mesir, kami telah dijemput untuk menyertai satu kem yang akan diadakan di Damietta, salah sebuah kawasan berpantai yang sangat cantik di Mesir. Di tepi pantai, terdapat banyak kerang dan hidupan laut yang bertaburan. Sememangnya kawasan ini terkenal sebagai tempat mengumpul kerang dan dibawa balik ke rumah untuk dimakan. Walaupun keletihan, namun kami menerima tawaran dengan hati terbuka dan menekadkan hati untuk menyertai kem itu.

   Alhamdulillah, kem itu paling seronok untuk diingati sepanjang pelancongan ke sana. Jika dibandingkan dengan pengalaman melihat Piramid Giza yang terkenal sebagai Keajaiban Dunia, atau melihat pemandangan Sungai Nil yang klasik dari atas kapal, atau merasai hembusan angin di Alexander yang maju, atau merasai keenakan masakan Melayu di Ayyu Sabi', pastinya dapat ku nukilkan bahawa pengalaman menjalin silaturahim dengan seorang sahabat baru lebih hangat dan bermakna. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui mereka juga ingin memikul beban dakwah Islam, aku menjadi semakin seronok mengikuti kem itu.


Kem ini diberi nama JAISY ( Jaulah Ikhwah Syitawiyyah ) bertemakan "The Walking Al-Quran"

Acara penutup.Gambar diambil berdekatan menara api.
 
     Terima kasih warga Mesir atas layanan mesra yang tidak mungkin kutemukan lagi di tempat lain. Segala penat lelah yang kalian rasai, ku harap Allah akan memberkati dan mengganjarinya dengan sebaik-baik nikmat. InsyaAllah, datanglah ke Jordan andai berkelapangan dan moga Allah memudahkan urusan kalian.

      Ada juga beberapa peristiwa penting lain yang berlaku di sana. Contohnya, aku dapat bertemu rakan seperjuangan dari Maahad Pahang dahulu, iaitu akhi Hyelmi dan Naqib.

Dari kanan : Naqib,Afiq

Sebelah kiri : Hyelmi,
Sebelah kanan : Naqib
    Aku tersangat rindu mereka. Walaupun hanya sempat bersama semasa Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, tetapi kami ada berkongsi satu ikatan jalinan persahabatan yang sangat kuat meskipun kini semua sudah berpisah mengikut haluan kehidupan masing-masing. Semasa menghirup asir (jus) yang pekat di bawah sinaran sang rembulan pada malam penuh syahdu itu, aku cuma mampu berbicara basa-basi sedangkan hatiku benar-benar rindu saat bersama mereka.  Luncuran kata-kata manisku tersepit dalam gugusan kenangan yang menimpa hatiku.

Masih ingatkah Naqib sewaktu kau mahu menjadi seorang pegawai bank,tetapi aku tekad menjadi seorang doktor? Walhal kini aku yang berjuang dengan akaun, kau pula bergembira dengan pisau bedah itu. Terima kasih untuk semua memori dalam bilik 21. Apa-apa yang pernah kita bincangkan dengan Umar dlam bilik dulu, semua sekali rahsia ya.:)
 Hyelmi, terima kasih atas semua sokongan dan kata-kata perangsang semasa aku berada dalam ketidakwarasan di sekolah dulu. Kau antara pemberi semangat untuk aku terus memecut. Syukran.:)

 6 Februari 2012

   Sekali lagi, aku menggunakan kapal untuk kembali ke Jordan. Perjalanan yang sangat panjang dan mengambil banyak tenaga mudaku. Alhamdulillah, perjalanan dipermudahkan semasa berada di pelabuhan dan kastam. Kami semua dilayan dengan cukup baik. Aku juga berkesempatan berdiskusi selama hampir 5 jam dalam kapal dengan seorang pelajar Kanada bernama Simon yang mempersoalkan kewujudan Tuhan. Mungkin terpaksa diluahkan dalam artikel lain untuk mengetahui isi perbincangan.

    Akhirnya, tiba di Irbid pada pukul 7.30 pagi. Menghirup sahaja udara kesejukan di Irbid, aku terus segar dan mataku membuntang. Cuti telah berakhir, kalendar ilmu sudah bergerak, dan semangat baru sudah pun dipacakkan. Kelas sudah pun bermula untuk semester yang kedua dan rakan-rakan berlumba-lumba untuk belajar. Biarpun dilanda keletihan, perjuangan ilmu dan dakwah akan tetap diteruskan. Belajar tetap belajar, dan usaha memantapkan ummah akan sentiasa berjalan berdampingan. Prinsip utama, hidup adalah perjuangan!




About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!