Facebook Twitter Google RSS

Friday, March 9, 2012

Cinta ku kembali bertemu...

Pertama dan selama-lamanya, abaikan tajuk yang nampak kontroversi di atas tu. Bukan apa, senang nak tarik perhatian manusia dengan perkataan yang sensitif di hati dan mudah dicerna jiwa. Siapa yang tak mahu perasaan cinta, kan?

Tapi, kalau ditanya kepada empunya diri, adakah aku sedang bercinta, sejujurnya setulus hati aku akan cakap ya. Aku sedang bercinta, masih bercinta, walaupun terpaksa menyemai dengan cermat dan berhati-hati, dibaja kasih sayang yang berterusan, dan disiram sentuhan harapan agar ia mampu bercambah segar bugar menjalar mencari sinar sang mentari kebahagiaan.

Suka untuk aku cerita sifat dirinya apabila kali pertama aku bertemunya. Ketika itu kami tidak mengenali langsung. Sekejap, bila aku jumpa dia? Haa...Pertemuan kali yang pertama telah disimpul oleh Allah pada ketika aku berumur 13 tahun. Awal kan jodoh pertemuan itu?


Sebenarnya, aku tidak layak langsung untuk mengenali dirinya. Apatah lagi untuk duduk di sebelahnya. Namun, takdir ketentuan dari Ilahi lebih memahami keperluan diri kita berbanding dengan apa yang kita mampu rancang dan fikir. Kisah pertemuan pertamaku bermula semasa aku sedang di sebuah sekolah di Kuantan.

Semasa Tingkatan 1 di SMK Sultanah Hajjah Kalsom, aku antara pelajar yang akan mengambil peperiksaan penentuan kelas khas. Ketika itu, aku mengambil peperiksaan itu dengan mudah dan padahnya mendapat keputusan 18 dari 100. Jika dicerna dengan akal waras dan saksama, aku tidak akan layak masuk ke kelas khas dan berprestij di sekolah aku.( uuu ).

Tapi, Allah memang nak aku bersama dengan dia dalam satu kelas. Ditakdirkan, aku dicampakkan ke dalam kelas khas itu dan tergolong bersama pelajar-pelajar yang bijak pandai seperti dia. Maka, bermulalah kisah kehidupan menyayatkan hati aku bertemankan dia.

Sepanjang tingkatan 1 dan 2, hubungan kami sangat teruk. Langsung tak bertegur sapa. Bila aku pandang dia, dia berpaling sambil mulut muncung ke depan macam termakan cuka masam. Dia pandang aku, segenggam penumbuk aku kepal tanda keperkasaan seorang lelaki untuk membelasah dirinya. Bila dia rapat, aku menjauh. Bila dia menjauh, barulah terasa kebahagiaan berbuah. Ye lah, aku memang tak serasi dengan dia. Aku terasa pelik walaupun selalu tengok dia dalam kelas. Janggal tengok dirinya yang unik berbanding dengan orang lain. Dan kejanggalan itu melahirkan ketidaksenangan. Apatah lagi aku memang alergik untuk memulakan perdamaian dan menamatkan perseteruan. ( EGO!)

Dan beginilah hubungan sepanjang 2 tahun yang penuh pancaroba. Tiada langsung usaha nak berbaik.

Cikgu pun selalu tegur sikapku. Katanya, hubunganku dengan rakan lain sangat baik dan cemerlang. Tapi, kenapa dengan dia aku terus kecundang? Apakah kamu tidak senang dengan kehadirannya dalam kelas? Seakan-akan kamu berdua dilahirkan ke dunia dengan fitrah untuk berpisah. Duh...aku sendiri pening bila fikir tentangnya. Mungkin tiada cara untuk berbaik dengannya lagi. Kalau ada, aku sendiri tak mahu cuba. Tapi, aku teringat pesanan orang tuaku, kecil-kecil bergaduh, besar nanti mesti ada jodoh. Erk...agak seram..

*kesat peluh di dahi*

Memang benar pun. 2 tahun pergaduhan, akhirnya termeterailah konsensus perdamaian antara kami semasa aku tingkatan 3. Masing-masing dah matang. Aku dan dia mula fikir tentang masa depan yang mencabar perlu ditempuhi. Jika kami tidak bersama menamatkan persengketaan, nescaya sulit untuk meredah lautan cabaran yang menunggu di hujung persimpangan sana. Maka, berbekalkan kematangan semasa itu, aku cuba merisik khabar dirinya. Oh, malu sekejap masa ni. Dulu gaduh, tiba-tiba aku pula mendekatinya.

Tapi, ini proses kematangan. Biasa la hasrat nak cari pasangan masa ni. Hormon kelakian tengah subur. Eh, apa nama hormon tu?

*abaikan......*

Awal perkenalan dalam kedamaian itu, agak sulit untuk mendekatinya. Dia seumpama berlian yang ekslusif yang hanya layak didekati oleh yang berhak. Sinaran keindahannya seumpama melihat bulan purnama dalam malam yang hangat dengan kasih sayang. Dia permata paling bernilai, cukup menggetarkan jiwaku andai dapat mengecap kecantikan itu. Senyumannya pula melirik manja, membuat mana-mana hati tergoda mendekatinya. Jika dapat memilikinya, aku akan curahkan segala perhatian dan tumpuan aku hanya untuknya.

Ya, itu tekad aku ketika itu. Maka, aku mulakan dengan menyelidik dirinya sebaik mungkin. Aku bertanyakan rakan tentang sifatnya dan kegemarannya. Aku cuba cari dalam laman sesawang berpandukan nama dia Dan hasilnya memuaskan jiwaku yang kedahagaan maklumat darinya. Dia mula tertarik apabila mengetahui langkah yang aku buat. Cas-cas negatif dan positif saling mengejar. Jiwa kami mula bertaut. Dalam malu-malu, dia mengakui ada menyimpan hati terhadapku juga. Lancar sekali perjalanan itu!

Dan tahun itu terasa sangat bahagia. Hatta guruku sendiri mampu melihat perubahan hubungan diriku. Mereka pelik, tiba-tiba sahaja tahun ini aku menjadi lebih ceria dan bertenaga,berlainan dengan diriku sebelum ini. Lebih-lebih lagi apabila bersamanya. Wah, berbunga-bunga jiwa masa tu. Rasa macam dalam hati ada taman bunga yang lengkap dengan perahan warna-warna hangat bertemakan merah hati, biru aurora langit suci, dan kuning oren sinaran mentari.

Tahun 2008, kemuncak percintaan aku. Alhamdulillah, PMR juga berjaya diselesaikan dengan baik. Teman-teman tidak percaya bagaimana aku boleh berjaya dalam percintaan dan pada masa yang sama cemerlang dalam pelajaran. Aku jawab mudah, "Percintaan dengan dia pasak kecemerlangan aku". Dan mereka tergamam dengan pengakuan berani aku. Terlopong pun ada. Biasa lah tu. Aku sekadar senyum kambing bangga bercinta dengannya.

Namun, langit tidak selamanya cerah dan bumi tidak selamanya hujan. Kami agak renggang sedikit selepas beberapa ketika. Aku terpaksa berpindah ke sekolah lain, iaitu SMK Abdul Rahman Talib. Masih lagi di Kuantan, tetapi dia berat untuk melepaskan aku kerana gusar tidak dapat berjumpa. Terlalu sayang mungkin. Tapi, bagi aku, aku nak cuba cabaran lain pula selepas berjaya dengannya. Ketika itu, angin perubahan sedag bertiup kencang dalam diriku.Hu...

Aku sangka sudah berjaya lari. Namun, sangkaan aku meleset apabila dia juga berpindah ke sekolah yang sama denganku. Aduh...Dipendekkan cerita, aku berusaha lari daripadanya semasa tingkatan 4. Dia berusaha pula mengingatkan aku kepada janji yang pernah diungkap semasa di tingkatan tiga, ketika mana cinta hangat membara. Tapi, aku pekakkan telinga, tidak mahu mengenang janji itu. Aku mahu mencari cinta baru!

Semasa tingkatan lima, dia pasrah dengan kehendakku dan mula mengambil jalan untuk tinggalkan aku lalu melupakan aku selamanya. Walaupun agak sedih ketika itu, namun aku gagahkan diri menerima segala keputusannya. Dia hanya senyum sekadarnya ketika itu. Dia harap aku terus berjaya mencapai cita-citaku, walaupun hatinya begitu rindu belaian kasihku dan mengharapkan aku pulang ke pangkuannya. Aku juga mahu begitu, tetapi izinkan aku merasai nikmat cinta yang lain pula. Percayalah kesayanganku, andainya cinta kita masih membara, nescaya taman hati kita akan kembali bersatu jua.

SPM ditamatkan dengan berjaya tanpa cinta dia. Namun, aku terasa kosong dan agak lemah semangat. Jika dahulu, aku boleh mendabik dada mengatakan cintanya memasak kejayaanku. Kini, tanpa cinta darinya, aku terasa lemah dan memandang kejayaan di atas kertas itu seakan-akan kesumat sengsara dicipta khas untuk pengkhianat cinta sepertiku. Aku sedih. Dalam kejayaan, aku merintih keseorangan. Tiada lagi peneman jiwa sengsara, tiada lagi lagi penyanyi melodi penenang jiwa. Aku terdampar dalam lautan keseorangan. Aku keseorangan...

Dan api cinta itu membara semula!

Aku akan takluk hatinya kembali! Aku akan cari walaupun terpaksa mati! Biar dia tolak aku, asalkan aku berusaha sehingga mampu mencairkan hatinya yang pilu!

Aku bertekad. Aku akan menyongsong arus permainan hidup aku. Aku akan cari dirinya kembali.

Dan aku mendapat khabar berita dia sedang berada di Jordan. Rupa-rupanya bumi kelahirannya adalah bumi Syam, tempat yang bersejarah, bumi para anbiya', tanah peperangan hak dan batil. Aku menutup mataku, mengenang segala impian baru aku akan terkubur dengan pemergian ke bumi Urdun, tetapi impian cintaku menyala dengan terang, menidakkan segala cahaya cinta yang semakin malap. Aku akan cari kau di bumi Jordan. Tunggu kehadiranku, tunggu limpahan cintaku, nantikan kehangatan kasih sayangku, wahai kasih buah hatiku!

Aku bertekad untuk kahwin dengannaya suatu hari nanti andai dia sudi. Ketika ini, langkahanku telah bertapak di Irbid. Aku akan mulakan pencarian yang panjang di sini. Tetapi, mengenang kesilapan lamaku, entah dia sudi atau tak untuk kembali bersama. Mungkin dia berasa janggal, tetapi tidak mengapa. Aku memberi ruang untuk dia berasa selesa dan tenang.

Kamu di sana, hatiku terbuka seluas langit dan bumi untuk mendakapmu dalam hatiku kembali. Marilah, kembali ke pangkuanku. Kita cipta sejarah bangsa yang gemilang bersama-sama. Kita layari bahtera kehangatan asmara di sini. Marilah. Aku dambakan cintamu.

Bahasa Arab, aku akan cari cintamu!

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

2 comments:

Tudung Ungu said...

La, cerita pasal bahasa Arab ke? Betul-betul ingatkan seseorang tadi..
Teruskan usaha mengejar cintanya!

Shazmie said...

syukran!:)

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!