Facebook Twitter Google RSS

Monday, March 19, 2012

Debat Piala Presiden PERMAI

17/3/2012
Sabtu


Dub dab dub dab....


Dub dab dub dab....


Malam pertandingan, bunyi kencang dadaku yang berombak mengisi kesunyian kamar tidur. Gelisah apabila terfikir hari yang bakal menjelang, juga resah memikirkan kemampuan diri untuk berjuang di medan perdebatan. Menoleh sebentar rakan seperjuangan yang enak diulit mimpi, Yasir, membuatkan aku semakin berdebar. Dia tidak risaukah?

Khairul Fadli pula masih khusyuk membaca buku Adab Muslim di kerusi empuk bilikku. Masing-masing kepenatan sebenarnya selepas berbincang basa-basi tajuk yang bakal dilabuhkan dalam pentas pertunjukan. Aku kira semua tahu cabaran yang harus digalas hari esok. Mempertahankan piala yang sudah 2 tahun dipegang oleh pihak lelaki, dan pada masa yang sama menjadi medan membaiki teknik komunikasi untuk bergelar seorang daie.

Berbantalkan kegusaran dan berselimutkan kegentaran, aku melabuhkan tirai malam yang berbaki 3 jam sebelum subuh dan menyisipkan doa, agar semua perkara berjalan lancar mengikut hendakNya. Namun, hatiku tidak tenang dan tenteram sebagaimana malam sebelumnya. Bukan sebab pertandingan yang membuat aku ketakutan, namun terasa kekurangan dari ibadat yang biasa dilakukan asbab kesibukan berdebat. Ampunkanlah kelalaian hambamu ini...

Keesokannya, aku diburu hantu resah dan gelisah. Ketika kelas, mataku melihat menembusi lenaku. Dalam makanku, kenyang tidak pula bertandang malahan berlari meninggalkan aku terdampar lemah dalam kekabutan. Tidak tahu mengapa, aku rasa semakin lemas dengan debaran pertandingan.

Aku yakin, pertandingan ini meragut sesuatu dari hidupku. Walaupun minat mendalamku terhadap debat, tapi seakan-akan kesukaan ini membuat aku sedikit renggang dari kehidupan asalku. Duh...

Maka, aku mula membersihkan kembali niat asalku masuk pertandingan ini. Aku hidupkan kembali niat kudusku agar kekal menyinari tingkah laku yang bakal ku pateri dalam pertandingan akhir. Agar aku tidak terbawa-bawa dengan keghairahan yang melanda, dan menetapkan apa alat dan matlamat yang sepatutnya ku guna.

Perdebatan tidak akan sesekali mengawal diriku, tetapi aku yang akan mengawal perdebatan!



****



5.00 petang Ahad 18/3/2012 Jordan


Aku, Yasir dan Fadli kembali membincangkan topik pembawaan perdebatan pada malam ini. Kami memperkemas idea dan memperdebatkan kefahaman bagi usul yang berbunyi, "Peningkatan mahasiswa selari dengan peningkatan kualiti."

Abang Ulya dan Luqman turut sama membantu memperkasa aspek penghujahan kami. Mereka banyak memberi idea yang bernas dan menolong kami menghubungkaitkan setiap hujah dengan kerelevanan usul.

Proses memerah idea berlaku dengan pesat. Kebanjiran pemikiran dan lambakan kefahaman memerlukan kami untuk menyusun sebaik mungkin setiap isu agar menepati kehendak usul. Kemudian nak dijalinkan pula agar menjadi korelasi yang mudah dihadam . Dan akhirnya barulah masuk kepada cara penyampaian yang memikat hati para hakim dan juri.

Susah rupanya debat ni. Banyak aspek perlu diambil kira. Bukan sahaja isi perlu mantap, malahan aspek penceritaan perlu lancar yang menjadi penentu kemenjadian kefahaman audiens terhadap usul perdebatan.

Boleh ke aku nak memahamkan penonton dengan hujah aku nanti? Bagaimana pula hendak memastikan bicara kami sebagai satu pasukan nanti sepakat dan jelas arahnya?

Aku semakin dirundung awan kelam apabila para juri memperingatkan tentang pasukan akhwat yang terkenal dengan kelicikan, ketajaman, dan kekuatan pemahaman mereka terhadap sesuatu usul. Dan mereka telah melalui 5 perlawanan sebelum layak ke peringkat akhir. Syabab pula hanya 3 perlawanan disebabkan ada pasukan yang menarik diri. Maka, pasukan kami sedar, kami berdepan dengan saingan yang sangat kuat hasil peningkatan dalam setiap perlawanan. Ahli pasukan mereka juga mantap. Ada yang pernah merangkul pendebat terbaik Debat Musleh, dan ada yang menjadi johan kebangsaan semasa di sekolah mereka dahulu.

Tetapi, alhamdulillah, kami ada senior yang sanggup membantu. Yasir juga pernah bertanding semasa debat UIA. Cuma aku dan Khairul yang hijau bebenar hari ini. Belum pernah merasai tekanan pertandingan perdebatan.Tidak mengapa, kami berusaha untuk belajar dari video dan artikel-artikel yang berkaitan.

Sebelum itu, kita bedah dulu beberapa info dan sejarah tentang pertandingan debat di Jordan ni. Pertandingan debat Piala Presiden Permai ini boleh dikatakan antara acara intelektual yang sering menjadi perhatian warga Irbid di Jordan khususnya. Dijadikan sebagai medan untuk mencungkil bakat terpendam warga PERMAI, serta tempat untuk melatih komunikasi dalam bahasa Melayu. Selain itu, ada juga pertandingan pada skala yang lebih besar yang dianjurkan MPPMJ, iaitu satu badan yang induk mahasiswa di Jordan. Tahun sebelum ini, syabab mendominasi kejohanan dengan sering menjadi johan. Maka, harapan yang sama digalas agar kami turut bersama dalam gerabak kejuaraan para syabab.

Tapi, tak kan lah semangat kegenderan menjadi kipas peniup semangat untuk menang? Tak nampak terlalu sempit ke perjuangan macam tu? Haih...

Mestilah aku ada citra perjuangan tersendiri. Menggunakan debat sebagai perantaraan, aku berharap untuk luahkan ilmu dan kefahaman agar masyarakat dapat melihat kehidupan dari sisi yang berlainan. Medan untuk kita mula mempengaruhi orang lain, tempat menanam idea, menebas kesempitan, dan mencernanya agar terjemah sebagai pencetus perubahan. Ye la, dah banyak faham dan banyak isi. Takkan nak kita sorg je yang faham dan berisi, kan?

Teringat kata-kata Amir Lutfi, seorang sahabat di Jordan,

"Kadang kala kita ni dah terlalu banyak diisi, sampai melimpah keluar tapi tak pernah fikir untuk mengisi. Adil ke?"

Memang tak adil kalau fikir macam tu. Orang lain pun mahukan pengisian. Tetapi mereka perlukan kita untuk mendekati mereka. Dan ini antara jalan untuk kita mendekati kelompok ini.

Walaupun aku tidak memiliki ruang kepakaran  dan peluang untuk menggilap sepenuhnya teknik komunikasi semasa di sekolah, namun aku mempunyai kecenderungan yang sangat tinggi untuk terlibat dalam seni orator. Oleh sebab itu, aku mengambil keputusan untuk mencuba dalam pertandingan ini, dan mengasah kembali minat itu agar dapat dijadikan senjata ampuh menawan hati manusia.

Sebab?

Kerana Islam. Demi Allah.

Bila kita dah letak matlamat yang paling tinggi seperti ini, kita akan mula melihat rintangan yang berlaku sebagai picisan dan permasalahan kecil yang mewarnai kehidupan kita berbanding matlamat yang kita letakkan. Kita letakkan matlamat yang jelas, agar perjalanan yang bakal ditempuh terang dari segala keraguan disuluh cahaya Ilahi.

Sebagai contoh, apabila ada yang bertanya, kenapa masuk catur? Atau kenapa masuk debat? Atau kenapa nak cemerlang akademik?

Kita hanya perlu senyum bangga dan kalau boleh sampai nampak gigi putih serta isinya.

*tak perlu untuk senyum di hadapan skrin sekarang.:p

Sebab ajaran Islam menyuruh kita berjaya. Allah mahu umat Islam berjaya. Allah mahu kita menjadi yang terbaik. Dan kita perlu menyebarkan agama ini juga. Untuk menyebarkan agama ini, kita perlu alat sebagaimana seorang tukang masak perlu kuali. Alat yang boleh kita gunakan untuk menarik hati manusia pastinya berbeza mengikut kecenderungan mereka. Daripada itu, kita mula mecari alat yang bersesuaian yang tidak menyalahi syara' dan pastinya membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan.Sebab tu aku mula menceburi debat sesuai dengan kecenderungan. Dan terus dengan catur, sebahagian dari hidupku.



*****


10.00 malam 18/3/2012


Selesai pertandingan. Penantian yang penyeksaan, berakhir dengan kejayaan di pihak syabab. Dan aku dapat Anugerah Pendebat Terbaik kategori Lelaki untuk sepanjang liga pemilihan yang berlangsung. Untuk kategori perempuan dimenangi Kak Irma Syukri, pelajar alihan dari UNISZA. Kemudian pendebat terbaik pada malam tadi, dimenangi saudari Husna Iskandar, pendebat terbaik Bahasa Melayu Debat Musleh. Sangat patut dia mendapatnya, melihat kepada kelancaran hujah yang disampaikan dan tahap kefahaman penceritaan.

Ya, pasukan syabab menang. Tapi, seperti yang telah dinyatakan, bukan itu tujuan utama aku. Kemenangan itu kosong kerana aku tak dapat sampaikan apa yang aku fikirkan lebih awal.

Debat bukan sekadar ilmu cakap bergegar. Atau medan bercakar lidah. Tapi, medan melahirkan perubahan. Kita jentik hati-hati yang lalai, kita pukul jiwa-jiwa yang malas, dan kita terkam sifat-sifat mazmumah yang ada. Aku pula gagal manfaatkan.

*atau apa yang aku fikir nak buat ni terlalu truistik?

3la kulli hal, aku akan bertambah matang selepas ini dalam menilai sesuatu perkara. Akan menjadi lebih tajam melihat sesuatu isu dan perkara. Semuanya satu proses.

Walau apa pun, aku amat bersyukur kerana dikurnia sahabat seperjuangan yang sanggup memberi komitmen dan mengorbankan tenaga mereka di sebalik tugasan akademik sebagai bakal doktor dan bakal peneraju ummah.

Nabil Taqiyudin, Firdaus Omar, Yasir, dan Khairul Fadli, terima kasih atas segalanya. Korang membuatkan aku kembali meniti jalan perdebatan ini, yang dulu pernah aku fikir untuk tinggalkan. Semoga kita terus di atas jalan ini, demi umat, demi Islam, demi perjuangan yang kita kendong selamanya, dakwah.

Aku nak tegaskan kembali, debat adalah alat untuk mencapai matlamat. Jangan jadikan debat sebagai matlamat, sangat kecil jiwa insan sedemikian. Sedangkan kita mempunyai potensi yang sangat luas untuk dipertaruhkan demi umat. Haa..teringat kata-kata abang Adam,

Umat islam yang tidak sibuk dengan perkara besar, dia akan sibuk dengan perkara kecil.

Tersentap sekejap. Korang tersentap ke tak?

Kepada kawan-kawan semua, teruskanlah langkahan mencari kebenaran dan gunakan setiap kecenderungan di atas jalan yang dapat membawa kebaikan. Kongsi anugerah pemberian Allah kepada insan yang tidak merasainya. Semoga kita semua terus maju dari hari ke hari.

Credit to Akmal Asyraf for the picture:


Penonton syabab

Penonton akhwat

Izin laluan Tuan yang Dipertua



Di kala bersemangat.

Shazmie, Yasir, dan Khairul Oreo.

Pembentangan usul selaku Menteri Kedua

Alhamdulillah.

Doakan perjuangan kami yang akan sentiasa berterusan.:)



About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

3 comments:

This comment has been removed by the author.

Salam,,tahniah..
semoga thabat dan istiqomah

*umat yang tidak sibuk dengan perkara besar akan disibukkan dengan perkara kecil

Shazmie said...

ya Allah.ana tak perasan.syukran saudara.:)
dari mana ya?

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!