Facebook Twitter Google RSS

Friday, April 27, 2012

Menafsir Manusia

Bismillah. InsyaAllah, dengan nikmat kesihatan dan iman yang sedang dinikmati, aku nak berkongsi sedikit pandangan serta luahan dalam kita meneruskan rentak kehidupan.

Minggu lepas, aku berpeluang ber"skype" dengan keluarga terchenta nun jauh di sana. Dengan ibu, bapa, dan adik-adik, aku dapat berkongsi cerita dan meluahkan sedikit sebanyak perasaan yang terbuku dalam dada. Sungguh, betapa aku menghargai peluang dan ruang yang telah Allah berikan, iaitu nikmat untuk membuka hati kita berkongsi kehidupan dengan orang lain.

Dulu, aku tersangat ketat dalam bercerita sesuatu yang melingkari kehidupan aku. Terasa berat dan tak penting,mungkin. Tapi, alhamdulillah, sekarang aku dah mula bersedia untuk berkongsi apa jua yang aku fikirkan dan rasakan dengan keluarga atau kawan.

Kali pertama juga dalam kehidupan, aku menumpahkan air mata di hadapan laptop kerana ber"skype" dan melayani perasaan. Ye la, mak aku bercerita tentang mehnah dan tribulasi yang dia hadapi semasa di tempat kerja. Dengan masalah orang bawahan yang culas membuat kerja,dan akhirnya membiarkan ibuku melakukan setiap tugasan. Aku kenal je sifat ibuku, yang sedia membantu orang tidak mengira apa jua situasi, walaupun dirinya tidak selesa atau kepenatan.

Aku berasa sangat kesal dan sedih dengan sikap manusia sebegitu. Terlalu mementingkan diri. Ibuku menangis di hadapanku kerana kadang-kala sangat tidak tahan dengan sikap sebegitu. Aku apatah lagi. Dengan rasa tanggungjawab dan kehormatan seorang anak, aku hanya mampu mangalirkan air mata agar ibuku tahu, aku memahami dan merasai gentaran perasaan yang sama. Mungkin kini aku mewarisi sifat dirinya, suka bantu orang lain walau diri tak suka. Suka tolong tatkala kita sendiri perlukan pertolongan. Tapi, aku tak lah praktikkan sangat sifat mak aku. Acuh tak acuh saja.

Walau apapun, aku sentiasa menanam tekad, aku tidak akan sesekali membiarkan ibuku menangis disebabkan kesedihan lagi. Sudah cukup besar pengorbanan yang dilakukan sejak aku kecil sehinggalalah dewasa. Aku ingin pada suatu ketika, dia menangis tatkala melihat anak yang dia belai dan pelihara dengan tatangan kasih sayang, membesar menjadi insan yang berguna.

Di kala itu, segala lelah dan resah yang ditanggung selama ini berguguran seumpama salju keputihan yang menyelimuti bumi Amman. Ku ingin jiwanya redup dan sesejuk musim dingin bumi Mu'tah, melihat benih dituai menjadi pohonan berbuah subur. Biarlah air mata kegembiraan sahaja yang melingkari dirinya selepas ini. Dan aku akan realisasikan segala impiannya.

Dan aku sempat juga berkongsi dengan ibu perasaan aku tatkala berada di sini dan di sekolah dulu. Apa yang aku rasakan dengan kehidupan di sini?

Terlalu luas jurang perbezaan yang aku rasakan. Hidup bagaikan roda, mungkin ada ketika kita tidak suka dengan kehidupan, dan kini kita mula mengorak langkah untuk mencintai kehiudpan. Salah satu penyebab mengapa aku merasakan sedemikian, mungkin kerana neraca penilaian manusia yang tidak adil membelenggu jiwa aku sekian lama. Ditambah pula minda yang tidak terbuka, dan persekitaran yang beku, jiwaku menjadi jumud serta tertutup.

Dulu, ini apa yang aku rasakan, manusia kerap bertanya kedudukan keluarga kita dalam menentukan status kita dalam sesuatu komuniti. Andainya bapa kita seorang doktor,atau peguam,atau pelbagai lagi jawatan profesional yang lain, kita akan dilihat sebagai manusia yang wajar dihormati dan disanjung tinggi. Kerana mereka dari warga yang terhormat, mempunyai status tinggi dan banyak menyumbang kepada pembangunan komuniti. Malahan lagi mereka mempunyai kelebihan dari segi kewangan dan kekayaan.

Tetapi, andai pekerjaan mereka biasa-biasa sahaja, tanggapan pastinya juga berbeza. Penafsiran dengan neraca mereka, meletakkan kita sebagai insan tidak berharga. Seolah-olah diri ini bukan dari golongan mereka, golongan yang terpilih dan dibesarkan oleh golongan yang masyarakat lihat sebagai idola. Keluarga yang biasa-biasa, maka pastinya diri juga biasa-biasa.

Ketika itu, persahabatan bukan lagi atas dasar keikhlasan, melainkan kesempitan hubungan berlandaskan keduniaan. Ingin mendampingiku bukan kerana menghargai diriku sebagai seoang kawan, melainkan cuba menunjukkan kemesraan yang berakhir dengan sebuah penipuan.

Aku pernah tengelam dalam situasi ini. Aku takut dengan diriku. Aku berasa lemah dengan kehidupanku. Aku segan dengan manusia. Aku terasa tiada kekuatan. Terasa tiada kelebihan. Hendak berkawan, aku tidak sekufu. Hendak mendampingi, aku tidak mampu memberi. Dambakan didampingi, aku hanya pasir di jalan sepi. Lantas hidupku dirasakan tidak bererti, malahan tidak tahu hala tuju yang ingin dikecapi.

Tetapi, itu kisah dulu. Kini, banyak yang sudah berubah. Dengan pengalaman dan ilmu, kita bisa melonjakkan pandangan ke awan tinggi dan memandang bumi dengan kaca mata baru.

 Ya, situasi akan berubah apabila kita mampu melihat dunia dari dimensi yang luas serta mencakupi setiap penjuru.Apabila sudah berjumpa dan bergaul dengan manusia pelbagai rupa dan gaya, ditambah pula dengan sedikit kefahaman dalam beragama, aku kini sudah ketemu neraca pertimbangan kehidupan yang wajar dilaksana.

Rupa-rupanya, Allah sudah menunjukkan dengan jelas kepada kita semua neraca yang sepatutnya kita guna. Tinggal kepada kita untuk ambil atau letakkan ke tepi dan berpura-pura tidak tahu apa-apa.

Kita renung sejenak neraca yang telah Allah tetapkan dalam kehidupan kita.

Firman Allah dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:

Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan berilmu pengetahuan di antara kalian beberapa darjat.

Dan dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

Sesungguhnya yang mulia di antara kalian adalah orang yang bertaqwa.
Nah. Pertimbangan yang sepatutnya kita guna rupa-rupanya adalah iman, ilmu, dan taqwa. Inilah neraca kita yang sebenar dalam melihat manusia.

Bukan lagi menggunakan suluhan emosi, atau bakaran material, waima keturunan hatta pangkat atau darjat, semuanya hanyalah ciptaan palsu manusia untuk mengaburi jiwa insan yang buta.

Namun, kita tidak akan boleh menafikan penderitaan yang dihadapi umat pada ketika ini. Disebabkan tersilap dalam mengambil neraca, mereka terjerumus ke dalam lubang samar ketamakan dunia. Terdorong untuk memenuhi kehendak manusia, mereka berlumba-lumba mengumpul kekayaan dan nama.

Sedih, sudah berapa ramai manusia yang terperangkap dengan jerangkap ciptaan dunia ini. Apabila mereka mengejar dunia demi meraih simpati manusia, dan mendambakan pujian dusta, semuanya disebabkan neraca buatan manusia yang penuh kepalsuan dan caca marba.

Tengok sekitar kita, berapa ramai orang yang hidupnya seumpama robot dan mesin. Bekerja demi duit, motivasi kehidupan untuk duit, mencari nama, mengejar populariti, menantikan publisti. Semua usaha dan tenaga mereka tertumpu untuk perkara ini dan kitaran kehidupan mereka berputar pada paksi yang sama. Saling tidak ubah seperti robot yang dicipta untuk melakukan pekerjaan yang sama sepanjang masa.

Sampai bila perlu berulang jalan cerita yang sama? Adakah sampai mati kita akan terperangkap dengan sangkar pemikiran manusia ? Salah dalam menggunakan neraca menilai manusia? Bagai robot buta kehilangan jiwa? Duit dipuja dunialah segalanya?

Adakah kita tidak ingin mengetahui hakikat sebenar kehidupan kita? Untuk apa kita dicipta? Kenapa kita ada di dunia? Untuk apa? Demi apa? 

Selagi kita membutakan mata hati, mustahil untuk kita mengerti. Sedangkan sifat hati itu bersih suci, sentiasa mahukan kebenaran dan cahaya penyuluh kehidupan. Cuma kadang kala ego dan kedangkalan pemikiran merosakkan sifat jiwa yang bersih itu. Enggan mendengar dan memerhati, akhirnya tewas dalam lautan keujuban diri.

Akhir kata, kita sama-sama betulkan kembali neraca dalam kita menafsir manusia dan mengenal sifat mereka. Dengan Al-Quran sebagai panduan, kita bukakan hati dan lapangkan dada, demi kemajuan ummah yang dicintai. Menafsir manusia atas dasar iman dan taqwa, berkawan demi ukhwah tercinta, berjuang kerana matlamat mulia, dan hidup berlandaskan syariat Islam yang tersedia.

Kawan-kawan, marilah kita semua kembali menjadi umat yang mencari dan mengkaji. Meneliti setiap isi, dan membalas setiap idea dengan idea yang kritis penuh visi. Pastinya kita tidak akan sesekali ingin menjadi sama dengan orang yang tidak mengetahui keindahan Islam, walaupun berkongsi lafaz syahadah yang sama.

"Kita mengejar dunia ini, tetapi tidak sampai melupakan akhirat yang dinanti."

Assalamualaikum.

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!