Facebook Twitter Google RSS

Sunday, June 17, 2012

Kasih dan Sayang

Aku bukanlah seorang yang suka sangat pergi jalan-jalan, apatah lagi untuk menghayunkan kaki melangkah ke mall atau pusat beli belah. Masa yang ada untuk hafal kitab teras agama sudahlah tidak mencukupi, malahan terpaksa pula dibuang untuk berjalan lenggang di persekitaran yang dicemari maksiat yang keji. Sungguh, aku tak sanggup!

Tetapi, dalam keengganan aku, rupa-rupanya Dia telah merancang satu perjalanan menarik untuk aku ambil iktibar dan menginsafi kembali perjalanan hidup selama ini. Peluang keemasan yang aku kira hanya tiba sekali dalam seumur hidup, menitiskan rintihan hujan dalam jiwa terunaku yang sepi. Alhamdulillah.

Tidak sangka juga, kami hampir berkongsi jalan cerita yang sama, walaupun episodnya dilatari masa dan waktu yang berbeza. Kisah sebuah perjuangan, kisah sebuah pengorbanan, dan secebis kesedihan mendalam yang menyakitkan.

Dalam bas ke Irbid itu, kami bersembang basa basi dan berusaha lebih mengenali. Walaupun sudah berkawan hampir setahun, tetapi apa sebenarnya yang aku sudah tahu hakikat dirinya? Atau sekadar menjadi peneman ketika ketawa dan penadah air mata dalam berduka? Dan siapa pula yang mahu mengurai simpulan jiwanya? Atau membiarkan begitu sahaja sehingga membengkak dan parah bernanah ditelan keterlanjuran masa?

Aku ingin menjadi manusia yang boleh membantu manusia lain, walaupun aku sendiri memerlukan bantuan. Maka, menyahut seruan itu, selama lebih 1 jam peluang itu aku berjaya manfaat untuk bertaaruf dan lebih mengenali pemilik nama S*****.

Aku mengamati wajahnya, dan cuba mendalami jiwanya, menyelam sehingga ke dasar, mencari khazanah kisah lama yang pedih menikam rasa. Perlahan-lahan, kepingan kisah itu berjaya dilontarkan dari lubuk hatinya, dan menerobos menari dalam pengamatan hatiku. Sedih, tangisan tercarik jua. Air mata yang berjuntaian tidak aku hiraukan. Aku menyelam dalam lautan hati. Kisahnya benar-benar menyentuh hati nurani.

Bayangkan, dia seorang yang sangat tabah. Sanggup menerima apa jua cabaran yang mendatang tanpa sedikit pun lelah. Walaupun terdapat kekurangan, itu tidak sesekali dijadikan alasan untuk dia meminta bantuan. Bahkan, kadang-kala kami yang akan meminta bantuan darinya!

Malahan, dia amat yakin dengan setiap keputusan yang dibuat. Risiko pula sedia untuk diterima bila-bila masa sahaja.

Kental, jiwa dan hatinya. Cuma, bagaimana dia berjaya mendapat kecekalan seperti itu? Teringat kata-kata dalam sebuah cerita, setiap perbuatan di dunia ini ada tarikan dan tolakan tersendiri. Apabila kita buat A, pasti ada kesan kepada B. Jika buat B, kesannya beralih kepada A. Positif mahupun negatif. Dia adalah hasil dari sebuah proses yang memeritkan.

Dia mendapatnya dengan jalan yang sukar. Aku sendiri tak boleh bayang jika itu yang berlaku kepada diriku. Dia pelajar berasrama yang disegani di Malaysia. Namun, jaraknya agak jauh dari rumah kediamannya. Jarang sekali ibu bapanya dapat menghadirkan diri dalam majlis yang dianjurkan pihak sekolah. Malahan, kedatangan mereka ke sekolah boleh dibilang dengan jari sahaja sepanjang 2 tahun. Mungkin ini menjadi permulaan kepada pembinaan dirinya.

Dan ini antara episod yang menyayatkan hatiku. Kisahnya begini. Semasa diadakan majlis solat hajat, hampir kebanyakan ibu bapa hadir untuk mendoakan kejayaan anak mereka. Dia sudah jangka ketidakhadiran ibu bapanya, atas faktor jarak dan masa. Namun, dia tetap memasang harapan. Aku pun pasti begitu juga jika dalam keadaannya. Usai solat, ibu bapa rakannya bersalaman, berpelukan, bermesra riang dengan anak mereka. Dan dia hanya menunggu sentuhan lembut ibu bapa menyapa tangannya, yang akhirnya dia sedari sebagai satu angan-angan sahaja. Akhirnya, dia lari keluar dari majlis itu, enggan melihat kemesraan yang dia sendiri idamkan.

Kisah itu memberi lubang yang besar. Sangat besar dalam hati seorang anak yang dambakan kasih dan sayang dari keluarga. Tatkala fatrah yang dahagakan ombak cinta ini, dia dibiarkan terkontang di tanah gersang. Parah, dan bisa menjadi parut mendalam yang berkekalan.

Ceritanya lagi, dia pernah merasai kepedihan yang lebih pilu. Bayangkan, ketika hari menerima keputusan untuk satu peperiksaan besar yang bakal menentukan kehidupannya selepas ini, dia mengambilnya berseorangan, tanpa 2 jiwa yang membesarkan dan melahirkannya. Katanya lagi, dia seperti orang lain, mengharap ibunya datang untuk melihat dia yang berjaya berdiri di atas pentas, dan memegang kertas keputusan yang dicapai dengan usaha keras.

Tetapi, kenyataannya yang diterima sekeras batuan jalanan. Dia masih lagi berseorangan. Mengambil kenangan manisnya berseorangan di sana. Dan tersenyum gembira bersama rakan-rakan, namun jiwa merintih kasih yang tidak kesampaian. Yang akhirnya membuatkan dia keras. Kaku. Beku. Perasaannya untuk kasih sayang, mungkin boleh dicapai dengan jalan kejayaan dan kecemerlangan, dengan menidakkan kasih yang jitu dari seorang ibu.

Dia menyimpan segala perasaannya selama ini. Tidak pernah diberitahu langsung kepada keluarganya. Dibiarkan keperitan itu terkurung dan dikurung. Dia enggan melihatnya, tetapi aku yakin, kepedihan itu beransur membesar dalam dirinya, sehingga pada akhirnya akan mengambil alih hatinya. Yang aku tak sanggup melihatnya berlaku.

Aku pun pernah melalui perasaan yang sama. Merasakan tidak perlu berkongsi dengan keluarga apa yang kita rasa. Merasakan aku boleh berdiri di kaki sendiri. Yakin dengan segala keputusan, tanpa perlu bertanya kepada pendapat ibu bapa. Aku pasti, ibu bapa hanya mengharapkan kejayaan dan kecemerlangan dari aku.  Tidak perlu beritahu apa yang aku rasa, biar aku pendam dan simpan. Kalau aku beritahu pun, apakah mereka akan faham kehendak anak muda ini? Apakah mereka tahu apa yang aku mahu?

Aku yang dulu. Yang gersang dengan kasih sayang. Jauh dari cinta. Sukar berkongsi rasa. Keras kepala. Hati kering.

Sekarang, aku sudah semakin jauh dengan sifat yang jahil itu. Aku semakin mengenal erti kehidupan, walaupun banyak kecacatan. Aku semakin mengerti mengapa Allah menjadikan lelaki juga mempunyai kantung air mata, sebagaimana Dia menjadikan aku mempunyai sekeping hati. Kerana kasih dan sayang.

Kasih dan sayang. Nilai yang pernah aku buang. Yang membuatkan aku persis mesin.

ya Allah, nikmat sungguh kasih sayang ini!

Ibu bapa mahu kita sebaiknya mengkhabarkan apa yang kita mahu buat. Bukanlah dengan tujuan untuk menghalang, tetapi kerana mereka terlalu kapan mengetahui perihal anak yang satu. Mereka percaya kita boleh membuat keputusan yang baik, sebab itu mereka kadang-kala membiarkan kita dengan keputusan. Tetapi, sebagai ibu bapa,mereka mempunyai hak untuk mengetahui, dan kita wajib untuk beritahu, kerana kita mengerti nilai sebuah ketaatan!

Betapa nilai ini semakin terhakis. Aku melihat dengan mata sendiri, rakan seperjuangan yang sangat yakin dengan keputusan dibuat dirinya. Aku tidak pernah mempersoalkan ketepatan itu. Tetapi, berilah ibu bapa hak mereka untuk mengetahui. Agar mereka tenang melihat anak yang sudah matang, meletakkan setiap perkara pada tempat yang hak.

Kerana kita anak yang taat. Dan penuh kasih sayang.


---------------------------------------------------------

Ahh...point dah berterabur. Fikiran dah melayang bagaimana nak beradaptasi dengan suasana panas yang sangat mencengkam di Jordan. Sememangnya musim soifi atau panas memberi pengajaran berguna kepada aku.

Abah, selamat hari bapa. Angah sentiasa sayang dan cinta abah. Abah contoh bapa mithali bagi angah.hehe

Hari ni 17/6/2012. Dah 19 tahun. Fikir kembali sumbangan kepada agama, bangsa, dan negara, membuatkan aku tertunduk nak menangis. Apa sebenarnya aku buat? -Muhasabah-

Kelas dah nak bermula. Doakan aku berjaya dunia dan akhirat.

Recap semula point,

1. Eratkan hubungan dengan keluarga. Carilah kebahagiaan yang sebenar bersama mereka.
2. Meluahkan perasaan SANGAT perlu. Membuatkan kita lebih basah dan ruhi dengan kasih sayang.
3. Apabila kita melihat seseorang yang dingin, selidiklah kisah hidupnya. Kita akan bertemu sebuah pengajaran yang sangat BEST.

So, let us understand other people before we seek to be understand.

May the world always cherish with lots of love.

Ok. Tu je bahasa Inggeris yang aku masih ingat. haha

Assalamualaikum.

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!