Facebook Twitter Google RSS

Friday, June 8, 2012

Tanda Tanya.?

"Sebelum ini, saya ada berkata kepada beberapa teman di Irbid (kebanyakannya berusia 19 tahun) yang berlatar belakang pelbagai organisasi/jemaah (at least empat kumpulan) yang berbeza. Saya pesan; "tidak sepatutnya kalian menyertai mana-mana kumpulan hanya setelah dua tiga kali berusrah dengan mereka, atau hanya selepas beberapa kali diajak (dibelanja) minum/makan bersama mereka. Tanya kepada mereka beberapa soalan,

"Apa perjuangan yang mahu dibawa dan apa beza mereka dengan kumpulan lain?", "Kenapa anda mesti menyertai mereka dan relevansi perjuangan mereka menurut zaman sekarang?",
"Apa sumbangan yang boleh diberikan dan apa hak anda ketika bersama mereka?",
dan beberapa soalan lagi.

Juga pesan saya, usah bermudah-mudah terperangkap dengan istilah-istilah seperti tarbiyyah, tadhiyyah, haraki, mehnah, Ikhwani dan bla bla bla, kerana bukan semua jujur dengan slogan-slogan muluk sebegitu. Berorganisasilah dengan keyakinan dan menghormati kepelbagaian, bukannya usrah yang penuh doktrin yang tiada asalan. Kepada aktivis-aktivis organisasi pula, terangkan sejujur-jujurnya, jangan memangsakan pelajar lepasan SPM."

Salam afala ta'qiluun!

Masa mula-mula baca status ni, aku agak tergamam dan kerap kali aku meneguk air liur sendiri. Terfikir, apa yang ditulis sememangnya pernah berlaku dan akan tetap berlaku. Hatta kepada diriku sendiri. Ia merupakan putaran yang normal dalam dunia dakwah dan tarbiyah, untuk mencari pengganti dan penerus gerak kerja ini yang tidak akan terhenti.

Nampaknya, penulis status ini ingin sekali mengetuk minda para pelajar, atau bakal aktivis agama, untuk benar-benar memahami tujuan penglibatan mereka dalam sebuah jemaah, supaya tidak dimomokkan dengan omongan indah para aktivis dakwah.

Ya, pertikaian yang timbul ini aku kira memang perlu dijawab oleh semua yang ingin berjuang untuk Islam. Kerana setiap kapal akan bermudik ke hulu yang berbeza, walaupun dipalu mereka akan sampai ke pelabuhan yang satu. Sikap mereka apabila digoncang angin perubahan juga berbeza, bergantung kepada kepala yang menjadi juru nakhoda. Dan ahli dalam kapal perlu jelas, matlamat dan arah pelayaran kapal agar tidak berlaku perbalahan apabila kegawatan menjengah. Malahan struktur kapal juga perlu difahami, supaya tidak ditelan kebodohan apabila perlu dibaiki.

Apabila kita sudah memilih satu wadah atau kapal untuk meneruskan legasi perjuangan, apakah rasional kita dalam pemilihan itu? Atau kita sebenarnya tidak memilih, tetapi terpaksa menyertai disebabkan terhutang budi? Atau mungkin kerana sekadar warisan dari ibu bapa, sehingga kita pun mahu ikut secara mengkhinzir buta?  Pernah buat perhitungan matlamat antara kapal-kapal? Pernah mempersoalkan kewajaran tindakan pimpinan?

Dan terlalu banyak persoalan yang perlu ditimbulkan, demi menjaga perjuangan agar tidak terbabas dalam perjalanan. Sebagaimana yang sering dilaungkan golongan pemikir di sini, kita perlu sentiasa bertanya apa, kenapa, bagaimana, dan siapa. Tidak perlu terlalu selesa dengan kalimah Islam sebagai penyelesaian, kalau kita sendiri kelu lidah ingin berhujah untuk menunjukkan Islam itu indah. Berikanlah pendapat kita dengan kritis, dan luaskan pembacaan buku-buku dan kitab.

Sedarlah, janji muluk untuk membina semula khalifah adalah dangkal kalau kita masih berputar di bawah persoalan hukum tangan dalam solat dan hukuman hudud dalam negara yang tidak terlaksana, sedangkan kondisi menuntut kita untuk berusaha menegakkan sebuah negara yang memberi kesejahteraan kepada rakyat jelata. Apa erti bergaduh ranting feqah sehingga ulama dikafirkan tatkala umat Islam tenat didera di Palestin, Syria, Kashmir, Bosnia, dan Pattani bahkan di Malaysia sendiri yang menyaksikan duit kita dijarah rakus. Apa erti melaungkan hudud tatkala yang bakal dipotong sirip hanyalah ikan kecil yang mencuri, manakala buaya lahap atas daratan terlepas kerana jawatan dan kuasanya. Ini adalah korupsi dalam pemerintahan!

Ya, kita perlu tanya sesiapa sahaja yang cuba mengajak kita melakukan kebaikan!

Tapi, berhenti sekejap. Betul ke tindakan untuk persoalkan semua perkara?

Perlu ke semua orang yang nak ajak kita buat baik kita tanya? Perlu ke orang yang nak tengok kita semakin baik kita persoalkan? Perlu ke apabila kita hendak mengajak orang yang jarang datang masjid untuk solat jemaah, maka tindakan kita patut dipersoalkan? Sampai tahap apa pertanyaan dan persoalan kita?

Tenanglah wahai sahabat dan rakan seperjuangan sekalian.

Aku bersetuju dengan status ini, tapi, ada satu perkara yang lebih penting untuk dilihat sebenarnya. Aku yakin, sebelum seseorang itu menyibukkan diri untuk mengetahui perihal landasan perjuangan pilihannya, dia terlebih dahulu perlu menyelidik kesiapsiagaan dirinya sendiri untuk berjuang. Apakah sudah memahami Islam sebagai jalan hidup? Apakah sudah mampu menjaga diri dengan ibadat-ibadat asas? Bagaimana dengan akhlak sebagai seorang muslim? Atau semua sekali belum selesai, tapi sudah berdegar-degar bercakap perihal jemaah ISMA, IRAM, HALUAN, GAMIS, atau seangkatan dengannya?

Dan aku ada tanya abang-abang di sini, bagaimana nak tangani persoalan-persoalan yang mungkin muncul dari benak pemikiran mereka yang baca status itu nanti. Boleh bikin gawat kami buk nak jawab.

Abang Mawardi akhirnya melunaskan bicara yang tuntas dan pantas lalu mencantas keraguan yang mula nak bertunas.

Katanya,

"Kita berusaha untuk mengajak orang yang jarang melakukan kebaikan, untuk selalu melakukan kebaikan. Kita berusaha menyedarkan manusia yang suka bersendirian, untuk menyertai dan mengambil berat permasalahan masyarakat di persekitaran. Kita mahu manusia kembali mengamalkan Islam sebagai jalan kehidupan. Kita dengan ikhlas ingin manusia berubah kerana Allah. Adakah itu yang manusia ingin persoalkan?" 

Lebih kurang beginilah katanya dengan sedikit tokok tambah.hehe

Aku menarik nafas lega. Banyak input yang aku dapat dari kata-kata sang murabbi. cewah.

Baiklah. Kita akan tengok beberapa situasi.

Contoh, kita melihat seseorang (Si A) itu jarang ke masjid untuk solat jemaah. Maka, atas kesedaran menginginkan kebaikan untuk dirinya, kita pun bergerak untuk mendekatkan dirinya dan cuba mendekatkan dirinya ke masjid. Merasai ketenangan berada dalam masjid dan solat secara berjemaah yang dijanjikan dengan 27 kali ganda pahala. Bukan itu sahaja, malahan dia dapat bertaaruf dengan lebih ramai manusia soleh dan baik di masjid. Dengan itu, dia dapat meningkatkan kualiti kehidupan bermasyarakatnya di samping menjadi seorang insan yang lebih baik secara holistik. Ini apa yang berlaku secara idealnya.

Dan ini hanya dapat dicapai apabila penyampaian dari insan yang ingin melihat diri insan lain berubah difahami tanpa sikap prejudis dan prasangka jemaah yang tidak tentu hala.

Andaikan, Si A itu bertanya macam-macam kepada orang yang ingin berdakwah kepadanya. Kau dari jemaah mana? Kau nak apa? Kenapa belanja aku? Kenapa nak dekat dengan aku? Apa matlamat jemaah kau?

Sedangkan dirinya masih diselubung kejahilan untuk beribadah. Untuk ke masjid masih liat, hendak bermasyarakat pun malas, malahan kata-kata yang disembur penuh cacian dan makian. Apa guna untuk dirinya bertanya perihal jemaah, sedangkan pembinaan diri masih belum selesai? Belum menaiki tangga, tapi sudah bertanya perihal angkasa!

Kalaulah kepada golongan ini yang pemilik status ini mahu sampaikan, aku yang pertama akan menentang setiap ideanya. Dia tersilap fokus memanah, sehinggakan haiwan dalam kandang yang cedera parah, yang liar bertempiaran deras.

Tatkala kita mahu melihat masyarakat "diracuni" dengan Islam sepenuhnya, tiba-tiba ada segelintir yang ingin melihat diri sebagai pemikir kritikal lantang mempersoalkan usaha yang dilakukan. Di tahap mereka, persoalan yang dilontarkan itu perlu. Tetapi, bagaimana dengan masyarakat awam yang masih terbejat dengan hedonisme dan kebodohan beragama?

Kita sama sekali tidak mahu manusia melihat kita sebagai entiti jemaah, tapi melihat kita di luar batasan persatuan yang sempit, dan memandang kami sebagai Muslim yang ingin melihat manusia lain menjadi Muslim lebih baik. Pandang kami sebagai manusia yang ingin manusia lain kembali kepada Allah sebagai satu-satunya jalan berharap.

Walaupun situasi manusia yang jelek dengan persatuan itu sentiasa ada, tetapi tidak perlulah kita turut serta membantu gerombolan mereka berkembang.

Silakan bertanya persoalan yang terbuku di jiwa, andai itu dapat membantu anda jelas dengan matlamat dan tujuan perjuangan. Silakan bertanya, apabila perkara asas yang menjadi teras Muslim itu anda sudah dapat amalkan. Silakan bertanya, tanpa perasaan prejudis dan pandang serong jemaah. Silakan juga untuk bertanya, apabila anda yakin anda sudah bersedia menggalas bebanan perjuangan yang berat nanti.

Atau kita hanya mampu menjadi seorang yang bertanya, tanpa ada amal dan kerja yang mampu diterjemahkan ke alam nyata.

Atau kita hanya mampu bertanya, tanpa ada sedikit manusia pun terkesan dengan pertanyaan itu.

Atau kita hanya mampu bertanya, tetapi tidak mampu menyumbang tenaga untuk berusaha.

Kalau begitu, ke mana hala pertanyaan kita itu?

InsyaAllah, kita sama-sama memahami tujuan untuk bertanya bukanlah untuk menunjukkan kita pandai, tetapi untuk mendapatkan kepastian dan kepercayaan.

Kita menerima keterbukaan dalam pemikiran, tetapi kita percaya setiap manusia ada tahap yang berbeza untuk menerima. Kita menyampaikan pemikiran kita, juga berdasarkan kesesuaian pemikiran manusia yang lain.

Fitrah manusia bijak, bertanya berdasarkan kemampuan mereka untuk aplikasikannya.

Binasanya ramai manusia sebelum ini kerana mereka banyak mempersoalkan perkara yang tidak wajar dalam kehidupan mereka.

Assalamualaikum

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!