Facebook Twitter Google RSS

Tuesday, July 31, 2012

Sepintas Lalu Ramadhan

Puasa lagi aku tahun ni. Alhamdulillah...:)

Dulu, selalu kena paksa dengan ibu bapa untuk berpuasa. Dulu, sentiasa perlukan ganjaran supaya dapat kental dan istiqamah untuk berpuasa penuh bulan Ramadhan, paling kurang RM 30. Pernah buat macam-macam semasa bulan puasa, sama ada berseorangan atau bersama abang atau kawan-kawan. Erti puasa tidak pernah difahami, apatah lagi falsafah agung dan mesej besar dalam puasa itu dapat dicerna hati. Entah dikira puasa atau tak, hanya Allah Maha Mengetahui.

Kisah ketika zaman tidak matang, adalah secebis kain kehidupan yang semua pernah lalui.

Kita dulu sentiasa melakukan sesuatu kerana ada ganjaran, atau cabaran, ataupun mungkin kerana diancam sebatan. Tiada pendirian tetap kerana kepercayaan, melainkan sekadar mengikut bagai buih disapu ayunan ombak lautan. Kadang-kadang buat macam ni, kadang-kadang macam tu, walaupun situasi dan keadaannya sama sahaja. Tiada pendirian. Kan?

Sedih, kalau berterusan sampai ke umur uban putih diri ini masih tidak fasih kepercayaan dan panduan hidup. Seolah-olah tiada manual yang pernah Pencipta berikan, seakan-akan Dia bertndak kejam dengan membiarkan kita ditelan kebodohan yang berpanjangan. Terus tersesat, hidup berkecamuk, dan bagai mayat hidup yang menunggu masa dibaham syaitan. Lagi kejam, andainya Dia sudah menyediakan segalanya untuk kita, namun kita yang membutakan mata dan membekukan hati untuk menerima panduan, penunjuk ke arah keselamatan dan kesejahteraan seluruh kehidupan. Cuma, kita sahaja yang tak tahu, atau mungkin juga tidak mahu ambil tahu. Plilihan kita untuk bertindak.

Jadilah seorang pencari kebenaran, dan hidup dengan penuh kepercayaan. Kita bukanlah robot usang tidak bernyawa, yang hanya tahu melakukan kerja rutin sepanjang masa.

Walau apapun, di sinilah aku, tersadai di Irbid,Jordan untuk meraikan Ramadhan kali pertama aku di luar negara, dengan semangat yang penuh bergelora untuk melumatkan bacaan al-Quran  dan mengisi kembali jiwa dengan basahan cahayaNya. Pengalaman julung kalinya untuk diri aku yang selama ni terperap duduk bertapa di Kuantan sambil menghirup udara Pantai batu Hitam. Akhirnya, dapat kelainan!

Pertama kali juga bersemangat macam ni untuk menyambutnya. Selepas dibasuh dengan persediaan bulan Rejab, aku rasa lebih fit dan bersedia untuk memecut dalam bulan Ramadhan. Nak fokus beribadat, dan mendekatkan diri kepadaNya. Dengan bantuan ceramah dan kuliah Ustaz Nouman, Sheikh Ibrahim Jawarneh, Doktor Uqlah, dan Tariq Ramadhan, aku mendapat banyak input baru berkenaan erti sebuah Ramadhan. Kefahaman bahawa ianya bukan sahaja menahan lapar dan dahaga atau nafsu buas semata-semata, malahan menjangkui sehingga pendapat Imam Ghazali bahawasanya puasa berkenaan cinta dan ego!
Wah, sungguh teruja!

Sedikit gambaran Ramadhan di sini.

1.Kebanyakan rumah akan memasang lampu dan bintang-bintang berkelipan di perkarangan rumah mereka. Suasana meriah dengan lampu mereka.

2.Solat terawih di Masjid Universiti diimamkan oleh Sheikh Ma'mun sangat menggamit rasa. Walaupun agak lama kerana beliau akan membaca satu juzuk dengan berlagu, namun sentuhan suaranya cukup membuatkan aku syahdu. Ada juga Masjid Abdullah Tal, Masjid Faiha', dan Masjid Imam Hassan al-Banna.

3.Tiada moreh disediakan oleh masjid. Dan tiada zikir sepertimana di Malaysia. Imam terus bangun untuk solat dan kadang-kala diselitkan dengan kuiz dan tazkirah.

4.Warganya meningkatkan bacaan al-Quran dan melazimi menghabiskan 1 atau 2 juzuk.

5.Merokok dan berpeleseran berkurang dengan drastik. Memang bagus. Cuma jelas, perubahan kerana bulan Ramadhan, bukan kerana Allah. Lepas bulan ni kita akan tengok macam mana.

6.Ahli rumah sangat bagus. Setiap hari dapat bangun sahur dan bertahajjud. Masakan pun sedap-sedap. Lebih manis, budaya tazkirah dan bertadarus dapat diamalkan dengan baik. Moga biah solehah ini berkekalan.

Puasa di sini banyak melatih jiwa dan kesabaran. Dengan waktu malam yang sangat singkat, iaitu sekitar 3 jam untuk tidur, ditambah dengan cuaca panas di luar,42 celcius, sudah cukup untuk menumbangkan lelaki mantap macam aku.(haha)

Tapi, memang ni pun yang aku impikan. Kalau boleh, aku nak rasa suasana yang orang cakap sangat atau paling. Contoh dialog yang biasa aku dengar,
Ya Allah, soifi ni panas gila. Kau tidak akan dapat tahan punya. Balik Malaysia je laa...
Menyahut seruan kata-kata tu, aku pun pilih kelas aku pada musim soifi ni pada pukul 1 dan 2 petang, ketika mana mentari sedang riang menari di atas kepala dan membebaskan habanya pada kadar maksima. Sangat panas, dan tidak pernah gagal merimaskan badan aku. Untuk lebih mencabar, aku pakai baju seperti jaket, yang pastinya lebih panas dan mengecurkan berbanding biasa. Dan terbukti, aku bermandi peluh pada hari tu. Habis basah, dan aku bagaikan bermandian pantai. Pengalaman yang terbukti menarik untuk aku.

Namun, sesungguhnya neraka akhirat itu lebih panas dari cuaca membahang Jordan. Digambarkan hukuman yang paling ringan dalam neraka adalah diletakkan batu di kaki manusia dan menggelegak otaknya kerana menahan kepanasan. Mesti sangat panas kalau otak menggelegak.

Lah...kiranya kat dunia ni belum cukup panas la,kan? Maka, apakah patut aku merintih kerana suasana panas di sini? Adakah patut aku mengadu kesusahan sementara yang dialami? :)

Pengalaman ini adalah rezeki. Hidup ini adalah rezeki. Kefahaman ini adalah rezeki. Dan perjuangan ini juga adalah rezeki!

Aku wajib sujud syukur dengan semua nikmat yang Allah beri ni. Bukan semua manusia Allah pilih untuk belajar agama. Bukan semua yang belajar agama akan mendapat jiwa beragama. Bukan semua yang berjiwa  agama dapat merasai suasana beragama. Dan bukan semua yang duduk dalam suasana beragama dapat menyampaikan kefahaman agama. Allah Jua yang Memilih hambaNya....

_____________________________________________

Sekarang dah menghampiri peperiksaan akhir untuk semester musim panas ni. Pelajar Medic dah habis exam final. Cuma tinggal pelajar Yarmouk yang ada peperiksaan.

Tahun ni aku tak balik Malaysia. Mula-mula tabah lagi. Orang cakap apa pun aku tak ambil pusing. Tapi, bila ramai ikhwah dan kawan mengucapkan selamat jalan, aku dah rasa nak mengalir air mata. Sayu sebenarnya duduk di berjauhan ni. Terasa keseorangan. Sebab tu kena cari orang rumah cepat-cepat.
-Troll-

Ma, abah, along, adik-adik, doakan angah tabah kat sini. InsyaAllah, tahun depan angah akan limpahkan kasih sayang banyak-banyak kepada semua. Doakan angah sihat wal afiat.

Oh, ya. InsyaAllah, 4/8 ni akan pergi menunaikan umrah buat kali pertama bersama Arham dan Yusri. Angah akan doakan keselamatan dan keamanan semua umat Islam amnya, dan ahli keluarga kita khasnya. Sesiapa yang ada nak minta tolong doakan secara spesifik, boleh la mesej. Doa di hadapan Kaabah insyaAllah makbul. Pakej kali ni berharga 270 JD selama 20 hari. Angah akan beraya kat sana, dan balik semula ke Irbid mungkin pada 23 Ogos. Doakan perjalanan pergi balik angah.

Angah sentiasa harap, adik-adik angah akan mendapat peluang dan kehidupan yang lebih baik dari angah. Tahun depan, angah akan ajar akak, tek, omel, dan puteri banyak perkara. Senang cerita, mungkin semua yang angah belajar kat Jordan ni. Ready la untuk kena bebel dan marah. haha

Dan harapan insan ini kepada semua mahasiswa Jordan, marilah kita menetapkan matlamat untuk sentiasa menjaga keselamatan akhawat di sini. Anggap macam adik perempuan kita, ataupun ibu kita, dan kita amat prihatin keselamatan mereka. Semoga hidup kita sentiasa dalam mawaddan dan mahabbah.

Kepada semua yang nak belajar agama, belajarlah dengan jiwa dan hati yang cintakan kehidupan beragama. Cakna saudara Muslim kita di negara lain, letakkan diri kita di tempat mereka, dan sentiasa muhasabah maksiat yang kita pernah lakukan. Sentiasa memperbaharui niat dan semangat, agar tidak menjadi fitnah kepada agama yang kita fahami.

Kepada pemimpin sekalian, jagalah dirimu dan kami semua. Dan sentiasa bersangka baik kepada pengikut sekitarmu. Bukan semua orang nak menjatuhkan dirimu, melainkan kerana kelemahan dirimu menuntut kami mencari pengganti yang lebih baik.

Akhir sekali, hari ni seorang murabbi balik Malaysia. Dialah yang menjaga dan memasak untuk kami di Irbid ni. Seorang yang baik, riang, ceria, tegas, dan berprinsip. Pemergian dirinya membuatkan rumah ini sedikit suram. Tahun depan, kami tidak kisah pun kalau abang nak pindah masuk ke sini terus. Asalkan semangat dan kekuatan abang dapat kami amalkan. Jangan kahwin eh.hehe

Post dengan mood ceria di petang 12 Ramadhan 1433,
berseorangan di Bayt Istighfar,
melayani hati yang berdendangan,
dengan lantunan bacaan al-Quran,
agar hati sentiasa kebasahan.

Selamat berpuasa wahai umat manusia.
Dan selamat menjamah santapan al-Quran.

Assalamualaikum

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

2 comments:

'Jadilah seorang pencari kebenaran, dan hidup dengan penuh kepercayaan. Kita bukanlah robot usang tidak bernyawa, yang hanya tahu melakukan kerja rutin sepanjang masa.'

To understand the meaning of life, to hijrah being a good person, a good caliph, a good servant... all of these take time because it is a process. Something to ponder, kita tak akan menjadi baik sekelip mata. Perubahan kita mungkin memerlukan masa, pengorbanan bahkan air mata sebab kita berubah bukan hanya untuk dunia kan?

Personal opinion. Wondering. Termenung. Memikirkan. Mengharap. Memohon.

Shazmie said...

yup. setiap perubahan memerlukan masa,pengorbanan,dan pelbagai lagi rencah supaya perubahan itu benar-benar melekat dalam diri kita.

dan proses yang dilalui untuk mencapai perubahan itu adalah tarbiyah.sebab itu,proses tarbiyah ini tidak akan berhenti dan akan berterusan selama-lamanya.

raby,aku yakin,perubahan itu tidak berkadar dengan masa.tidak bermakna menjadi baik selepas satu tempoh yang lama itu bagus,dan tidak bermakna menjadi baik dalam tempoh masa yang sekejap itu kurang bagus.

Semuanya adalah atas pilihan,dan usaha yang kita telah pun buat.

Dan sememangnya Allah jualah yang Maha Mengetahui yng terbaik utk hambaNya.

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!