Facebook Twitter Google RSS

Monday, February 11, 2013

Tips Cemerlang di Yarmouk

Basmalah...

Dalam ruang yang ringkas ini, insyaAllah akan dikongsikan kepada rakan-rakan sekalian beberapa tips untuk berjaya di universiti. Adapun segala cadangan ini diberikan oleh teman-teman saya untuk dikongsi, agar semua mendapat kejayaan di dunia mahupun di akhirat. Moga Allah memberkati perjalanan kehidupan semua teman-teman yang sudi mencurahkan ilmu kepada saya yang lemah ini.

Baiklah.

Dalam setiap institusi pengajian tinggi, akan wujud cabaran dan mehnah yang berlainan dalam kita mencari ilmu. Bak pepatah, lain padang lain belalang. Maka, sebagai seorang pelajar yang mahu berjaya dalam apa jua situasi dan juga keadaan, kita perlu berasimilasi, adaptasi, dan cuba mengenalpasti setiap aspek yang memungkinkan kita untuk memperoleh kejayaan. Saya yakin, strategi untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya dalam bidang Perbankan di Universiti Islam Malaysia akan berlainan dengan strategi untuk berjaya di sini walaupun bahan atau perbincangan pembelajarannya hampir sama. Faktor yang menyebabkan perkara itu berlaku terlalu banyak sama ada dari segi bahasa, budaya pembelajaran, kefahaman doktor, dan aspek teknikal lain.

Sebab itu, kita perlu cepat menyesuaikan diri dengan kehendak silibus pelajaran di sini dan mengetahui apakah cara bekerja yang diperlukan supaya kita boleh berjaya, sama seperti orang lain. Cara belajar semasa SPM tidak semestinya boleh digunapakai untuk kecemerlangan di sini kerana terdapat pelbagai faktor yang bakal merencatkan impian manis kita untuk mengulang kejayaan SPM. Dan, lebih penting, jangan sesekali menyamakan tahap pembelajaran di sini sama dengan sekolah menengah. Inilah pemikiran pemusnah kepada kejayaan manis anda!

Oleh hal yang demikian, saya tergerak untuk menulis berkenaan tajuk ini selepas ditanya oleh ramai teman seperjuangan. Saya bukan yang terbaik pastinya untuk mencanangkan kepada antum cara pembelajaran ataupun teknik untuk berjaya kerana saya sendiri masih dilambung ombak untuk mencicipi manisnya kejayaan. Ramai lagi teman saya di luar sana yang hebat, namun mereka rela menyumbang di balik tabir sahaja kerana gusar keriakan akan menerpa. Moga Allah memelihara mereka.

Walaubagaimanapun, saya berharap, perkongsian ini dapat mencetuskan gelombang kegemilangan dalam diri insan lain dan memudahkan untuk diri saya juga mengecapi kejayaan yang sama. Saya kira, ini saham akhirat yang amat bernilai insyaAllah.

Untuk itu, saya akan membahagikan teknik ataupun tips belajar itu kepada 2 bahagian, iaitu ketika mana kita di kuliah dan ketika mana kita di berada dalam rumah.
__________________________________

Di kuliah

Seperti mana yang antum semua tahu, bahasa perantaraan di sini adalah bahasa Arab, sama ada fusha atau ammiyah (pasar). Kebanyakan doktor akan bercakap dengan menggunakan bahasa yang bercampur-campur, dan ada juga doktor yang sepenuhnya bercakap dalam bahasa Arab fusha ataupun ammiyah.

Ini adalah benteng pertama yang harus dihadapi pelajar-pelajar di sini. Fikirkan, antum pergi kelas, dengar doktor membebel tanpa antum faham walau sepatah, kemudian balik rumah dan berasa sudah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang baik, walhal kefahaman yang doktor cuba sampaikan itu antum tak dapat walau sedikit. Apa yang antum buat sebenarnya? Baik duduk rumah tak perlu pergi kelas kan? Eh

Lagi benci bila ada senior macam hebat gila. Duduk dalam kelas sampai tertidur, tiba-tiba boleh faham apa yang doktor sebutkan dan dalam peperiksaan dia yang pertama kali keluar dari dewan dan dia yang paling tinggi markah. Bengang kan?

Untuk membaiki perkara ini, ana berikan beberapa cadangan.

1. Antum kena teruskan berjuhud untuk datang ke kelas walaupun tak faham apa yang doktor sampaikan. Teruskan datang, duduk, dan tumpukan apa yang doktor tengah cakapkan walaupun tak faham apa-apa. Pasakkan kesabaran apabila ada orang Arab gelak kerana kita tak faham. Apa yang penting, dalam fatrah ini antum kena banyak bersabar. Apa rasionalnya ya?

Haa...Sebenarnya, bila kita sudah biasa mendengar sesuatu perkara, maka akan lebih mudah untuk kita mengaitkan dan faham dalam kotak pemikiran kita. Semakin banyak yang kita dengar, maka semakin biasalah telinga kita dalam menangkap apa yang doktor maksudkan. Kita boleh faham bahasa melayu kerana kita sudah mendengarnya dari kecil berulang-ulang kali. Sangatlah pelik, jika kita mahu memahami bahasa arab tetapi kita tidak mahu mendengarnya setiap masa. Sama ada antum mahu atau tak, antum perlu pastikan kehadiran antum ke kelas dan dengar apa yang doktor sebutkan. Kalau tertidur tu, biasalah. Ana penidur tegar dalam kelas. Tapi, kalaupun tidur dalam kelas, telinga kita tetap menangkap butir perbicaraan dari doktor. Kan bagus tu?

Lama-kelamaan, kalimah yang sangat aneh yang pernah kita dengar beransur-ansur menjadi mesra dan mudah untuk difahami. Serentak dengan itu, kita semakin faham apa yang doktor sampaikan dan proses pembelajaran menjadi semakin hensem. oh

Amaran, jangan disebabkan tidak faham antum tak datang kelas. Ini merupakan kesilapan yang membarah dalam kalangan kita mutakhir ini. Bukan sekadar antum semakin jahil, malahan keberadaan antum di bumi penuh barakah tidak memberi sebarang erti. Sila benci ghiab dalam hati antum ya.

2. Semasa dalam kelas, antum wajib catat apa yang antum dengar doktor ungkapkan walaupun antum sendiri tak tahu antum tulis apa benda. Sekejap tulis point pasal teori utilirianisme, tiba-tiba masuk sistem fiskal dan monetari. Kan pening tu?

Tenang je. Ana pernah tengok buku nota senior yang mantap, kadang-kadang banyak juga berlaku macam tu. Penyelesaiannya, kita kena anggap semuanya sebagai latihan. Kesilapan, kelemahan, dan kebodohan tidak akan pergi meninggalkan kita jika kita tidak berani untuk berhadapan dengannya. Akur dengan ketidakmampuan diri, dan berusaha baiki dari semasa ke semasa. Dengan kita menulis itu, sebenarnya membina kemahiran untuk mencatat dan melajukan lagi proses untuk kita faham dalam kelas. Tulis perkataan yang tidak difahami, dan cari maksudnya apabila pulang ke rumah. Dengan ini, proses mengingat akan menjadi lebih mudah kerana kita telah meletakkan asas dalam tulisan dan diikat dengan pencarian
.
Setiap yang doktor tulis di depan, antum perlu salin kesemuanya tanpa tertinggal. Jangan anggap apa yang doktor sebut itu sudah ada dalam buku, maka tak perlu disalin. Ini juga pemikiran yang salah.

Kadang-kadang, ada doktor yang akan memberikan takrifan berdasarkan pengetahuan dia. Dan, takrifan ini tidak akan dapat dijumpai dalam buku lain atau di alam maya. Dan takrifan ini yang akan dia mahu kita tulis dalam peperiksaan. Tapi, sebab tak tulis, dan malas ambil tahu, akhirnya kita kehilangan markah apabila memberi takrifan yang lain.

Ada senior yang memberi nasihat, jangan buka buku dalam kelas kecuali buku nota. Maksudnya, jangan sibukkan diri untuk membaca buku qoror atau buku lain dan fokus pada apa yang disebut oleh doktor. Ana kadang-kadang tengok, ada pelajar yang sibuk membelek buku ketika mana doktor sedang mencurahkan ilmunya kepada kita. Tindakan yang sepatutnya adalah, sentiasa bersedia dengan pen dan catat apa kita faham dan dengar dari doktor.

Kecualilah doktor suruh kita rujuk buku sambil belajar ataupun memang kita tak faham walaupun sepatah kata dalam kelas. Pengalaman sem yang lepas, ada seorang doktor yang bahasa ammiyah pekat melamapu sehinggakan kami hanya mampu melopong dalam kelas. Lalu kami ambil keputusan untuk fokus baca buku dalam kelas, sambil dengar dia syarah. Keadaan yang terpaksa.

3. Duduk di sebelah teman Arab.

Pelajar Melayu suka duduk sebelah kawan melayu dia dalam kelas. Dalam beberapa situasi, mungkin akan memberikan faedah. Tapi, bagi saya, sebolehnya duduklah sebelah teman berbangsa lain. Kawan kita tu dah la tak faham pelajaran dalam kelas, dan kita pun dua kali lima tapi tak nak rapat atau taaruf dengan pelajar arab. Rugi yang sangat besar. Kebiasaannya, saya akan bandingkan nota yang saya buat dengan kawan arab. Apa yang kurang, boleh ditambah. Apa yang kurang faham, dia akan terangkan. Biasanya syabab Arab punya nota sangat teruk kecuali beberapa golongan yang betul-betul belajar. Tapi, nota banat Arab kemas dan tersusun serta banyak point. Bina hubungan yang baik dengan akhawat dalam kelas, dan minta akhawat tu untuk pinjam nota banat arab tu. Belajar belajar juga, budaya Arab tetap kena ambil kira.

Bila duduk sebelah Arab, dapat la bersembang dalam bahasa Arab. Mantapkan kemahiran bercakap, dan bina jalinan persabahatan merentas benua. Kalau dekat rumah berborak dalam bahasa Melayu, dalam masjid pun sembang dalam bahasa Melayu, memang sampai bila-bilalah tak pandai bercakap bahasa Arab. Lepas tu terkejut pula bila ada senior yang cakap dalam bahasa Arab dengan lancar. Dengan latihan dan disiplin, insyaAllah kita boleh menjadi seperti mereka.

4. Musyarakah

Dalam kelas, kalau boleh suakan persoalan khususnya berkaitan dengan topik pembelajaran. Tunjukkan bahawasanya kita berani untuk menyertai perbincangan dalam kelas dan menyatakan pendapat kita. Antara taktik yang saya akan buat adalah, bersedia pada malam sebelumnya dengan soalan yang berkaitan dengan topik pelajaran. Lepas tu, berlatih untuk bercakap dan sebut dengan betul supaya kawan-kawan Arab terkejut dengan kejelasan soalan yang kita lontarkan. Biarpun soalan senang, teruskan je. Doktor suka kalau kita bertanya.

Kalau tak mampu nak tanya dalam kelas, pergilah ke pejabat doktor dan tanya dia. Srurh dia terang panjang lebar sampai dia sendiri muak untuk terangkan lagi. Apa yang silapnya, ada sesetengah mahasiswa tidak pernah pergi ke pejabat doktor yang mengajar untuk bertanya. Mereka merasakan sudah cukup dengan apa yang doktor beri dalam kelas. Ada juga yang lebih teruk, mereka tak pernah kenal pun nama doktor yang mengajar!

Kita belajar dengan manusia, bukan dengan robot. Mereka ada hak individu yang perlu kita diberikan dan tunaikan. Bukan datang ambil ilmu, dan kemudian pulang seolah-olah kehadiran doktor itu sekadar menjadi penuang ilmu dalam otak. Tidak wahai teman.

Tunjukkan kasih sayang kita terhadap seorang yang memberi ilmu, berikan mereka perhatian yang diperlukan, panggil mereka dengan nama mereka, dan cintai mereka. Biarkan mereka merasai betapa hangatnya cinta yang mengalir dalam pembuluh darah dengan kelakuan kita. InsyaAllah, kita selangkah mendapat kefahaman yang dimahukan dalam kehidupan.

Ringkasnya, inilah beberapa tips apabila berada di kuliah. Saya yakin, ramai lagi senior di luar sana yang layak untuk memberi pandangan dan pendapat yang lebih mantap. Sama-samalah kita berkongsi supaya kejayaan itu dapat dirasai oleh semua manusia.

Sekarang, kita beralih pula semasa kita di rumah ataupun kamar tidur. Secara logiknya, kebanyakan masa kita diluangkan semasa kita berada di luar universiti. Maka, sewajibnya pembinaan kecemerlangan atau kejayaan itu dimulakan semasa kita bangun tidur lagi dan berterusan sehinggalah ke waktu tidur yang seterusnya. Ada sesetengah yang berfikir, belajar itu hanya semasa di universiti. Balik rumah untuk berehat dan menikmati hiburan. Tidak hairanlah jika ada pelajar yang mendalami ilmu agama boleh menghabiskan 5 movie dalam sehari dan bermain game sehari suntuk. Kerana kefahaman dan tujuan menuntut ilmu itu sendiri telah terpesong dari jalannya yang suci. Saya tidak ingin mengulas lebih panjang bab ini.

_____________________________________________

Di rumah

Sejujurnya, saya seorang yang sangat lemah dalam berbahasa Arab. Pengetahuan saya tentang bahasa Arab sebelum sampai ke Jordan ini boleh dikatakan sama sahaja seperti pelajar yang hendak mengambil PMR. Kosa kata tidak meluas, masih gagal membezakan huruf-huruf (ini sangat kritikal), nahu sorof berterabur, dan pelbagai lagi masalah lain. Dan ini mendatangkan kesukaran yang sangat tinggi untuk saya memahami bahasa Arab, dan seterusnya mendalami ilmu agama yang saya cintai.

Maka, saya perlukan teknik yang pastinya berbeza dengan orang lain yang sudah mantap asas mereka. Sejak itu, saya banyak memaksa dan menekan diri dengan pemberat yang sesuai mengikut marhalah peningkatan diri. Dan saya akan terangkan serba sedikit apa yang saya buat.

1. Dengar perbualan/ceramah/kartun bahasa Arab

Macam yang dah pernah disebutkan sebelum ini, kita tidak menguasai sesuatu kerana kita tidak melazimkan otak kita atau lebih tepat organ-organ kita dengan bahasa Arab. Sebab itu, hampir setiap masa, saya akan memasang audio dalam bahasa Arab supaya otak dan telinga terbiasa dengan perkataan bahasa Arab sama ada dari segi bentuknya, atau perubahannya, dan penggunaanya dalam pelbagai keadaan. Kalau malas dengar ceramah, saya akan pasang al-Quran. Kadang-kadang tengok filem dalam bahasa Arab.

Dulu, memang tak faham walau sedikit. Macam dengar bahasa India. Sangat pelik. Tapi, semakin lama kita akan semakin terbiasa dengan bahasa ini. Kita akan mendapat uslub untuk bercakap, boleh praktikkan wazan-wazan yang pernah dipelajari, pertukaran dan pertambahan untuk mengubah makna kalimah, dan memudahkan untuk faham apa yang diungkapkan oleh kawan-kawan Arab.

Pendek cerita, latihan ini perlukan disiplin dan ketahanan. Betapa ramai pelajar di luar negara yang masih berseronok dengan lagu-lagu melayu dan filem-filem dalam bahasa Melayu. Saya bukan pembenci bahasa ini, tetapi waqi' atau situasi di sini menuntut kita memperkemaskan bahasa Arab dalam memahami ilmu agama ini dari sumbernya yang paling asli dan tepat. Kat rumah tak berusaha untuk faham, kemudian apabila mendapat keputusan yang rendah dalam peperiksaan mula mengatakan doktor susah untuk difahami dan subjek itu susah. Walhal, diri sendiri tidak bergeak untuk berusaha memahami dan mendengar bahasa Arab.

2. Muamalat seharian

Bila pergi membeli sesuatu, atau jalan-jalan di jalanan, kalau boleh bersapalah dengan penduduk Arab di sini. Beramah mesra, mantapkan ikatan persahabatan, dan bina jaringan dengan mereka. Latih diri untuk menegur orang Arab.

Saya tak pandai bercakap dalam bahasa Arab dulu. Sekarang, dah boleh cakap perlahan-perlahan. Apa yang penting, kita kena mulakan dulu. Latih diri untuk mendapatkan uslub percakapan seperti mereka, dan buatkan mereka selesa untuk berdamping dengan kita.

Awal-awal, topik perbualan mungkin membosankan dan terhad kerana kita tidak menguasai terlalu banyak perkataan. Saya masih ingat, ada seorang pak cik bas yang bertanyakan saya tahun berapa semasa sedang berborak dengannya. Saya cakap saya tahun dua. Kemudian, dia tergelak dan berkata, " Aku sudah 5 tahun bekerja dengan pelajar Malaysia. Aku sudah hafal skrip perbualan sseorang pelajar tahun dari Malaysia. Mula-mula mereka akan bertanya nama, umur, anak berapa, dan kemudian senyap. haha". Aku gelak, dalam pada masa yang sama mengakui perkara itu kerana ini adalah jalan sebelum boleh berkomunikasi dengan lebih hebat.

Sememangnya banyak lagi tips berguna jika kita rajin bertanya dan mendapatkannya dari mereka yang telah melalui proses pembelajaran di sini. Apa yang saya kongsi ini, ibarat titisan air yang menitis dari lautan air yang meliputi bumi, terlalu sedikit dibandingkan dengan apa ilmu yang ada. Dan, saya tidak mengatakan ini cara yang terbaik. Cuma, ini cara yang beberapa orang senior telah lalui dan mereka mengajar kepada saya. Semoga kita mendapat faedah dan pertambahan dari jalan ini.

Apa-apapun, diri kita yang menentukan apa yang kita mahu kejar. Ada rakan-rakan saya yang tidak pernah belajar bahasa Arab, tetap mampu berjaya dalam pelajaran di sini. Sejujurnya, mereka di antara daya penolak untuk saya terus belajar dan menuntut ilmu dengan lebih keras di sini. Selain dari segan, saya sejujurnya kagum dengan semangat juang mereka. Kita datang ke Jordan dengan kekurangan itu bukan satu kesilapan, tetapi pulang ke Malaysia dengan tidak menguasai ilmu yang sepatutnya itulah kesilapan yang hakiki.

Cukup-cukuplah bermalasan dan berada dalam zon selesa. Bagaimana dikatakan negara mahu bangkit jika anak mudanya hanya tahu melampiaskan nafsu, bergelumang dalam hiburan, dan tidak mahu mengerah kudrat untuk menuntut ilmu? Ingin menuntut ilmu, tetapi jahilah bertepekan di hati tanpa ingin dicuci. Kita perlu ubah, bermula dengan diri sendiri.

Sebenarnya, masih ada satu lagi formula untuk memboostkan kejayaan kita di dunia dan akhirat. Inilah tonik yang paling berkesan sepanjang saya melihat pengaruhnya kepada teman-teman dan tokoh-tokoh yang ada. Mula-mula, saya fikir untuk merahsiakannya atas faktor keselamatan. Namun, atas kesedaran bahawasanya ini adalah amanah dan tanggungjawab yang sangat besar, maka saya bersedia untuk menyampaikkannya kepada antum semua.

Tanyalah, apa tonik untuk mencapai kejayaan sebenarnya?
-
-
-
-
-
-
-
-
Mudah sahaja.

Tarbiyah.

:)

Assalamualaikum wbt.

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

2 comments:

terima kasih banyak saudara. alhmdulillah sangat berguna buat junior-junior spt kami. insyaAllah taala,mudh-mudahn..ameen.

Shazmie said...

afwan. semoga bermanfaat dan selamat maju jaya!

Allah yusahhil umuurana.

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!