Facebook Twitter Google RSS

Wednesday, January 29, 2014

Jom kenali ekonomi!


Sebelum kita berkenalan dengan lebih mendalam dengan terma ekonomi dan apa yang berkaitan dengannya, apa kata kita lihat beberapa situasi dahulu.

Hari ini, kita pergi ke restoran Doiah dengan  niat untuk membeli satu set syawarma. Kita keluarkan sedinar setengah, dan bayar untuk memenuhi kehendak kita. Alhamdulillah, sedap makan syawarma sambil minum syai bi na’na’.

Bukan?

Hari ini juga, kerajaan putuskan untuk menaikkan kadar cukai dalam negara kita. Banyak rungutan dan komentar dikeluarkan, mengkritik atau memuji tindakan ini. Kita di Jordan tidak terkecuali. Ada yang keluarkan pendapat berdasarkan pengetahuan fiqhnya, atau berdasarkan pengetahuan usuluddinnya, dan ada juga yang sekadar berbasa-basi tanpa ketahui hujung pangkal perbincangan.

Ataupun situasi kita di dalam rumah. Ahli ada 3 orang, dengan bayaran untuk makan minum sebanyak 20 jod seorang. Dengan 60 Jod ini, kita merancang bagaimana untuk membeli, apa yang patut dan tidak patut, dan juga tabungan untuk kecemasan. Kita akan merancang dengan penuh teliti, dan memastikan bajet itu cukup untuk 30 hari.

Rakan-rakan, adakah anda sedar ini semua adalah ekonomi?

Ya, kita sebenarnya telah diperangkap oleh satu jaring yang amat besar tanpa disedari. Jaring itu memenuhi dan mengikuti setiap langkah, mengekori dalam kelam, dan menghendap kehidupan kita dalam diam. Hembusan ekonomi itu terasa di tengkuk kita, malahan ada manusia yang tumpas ataupun dimamah kesan kejatuhan ekonomi sebelum sempat mengenali wajah sebenar ekonomi itu.

Wah, seramnya!

Contoh lagi, apabila kita memilih untuk membeli ayam di Sameh Mall berbanding di balad, kita sebenarnya sedang terlibat dalam aktiviti ekonomi. Ataupun kita memilih untuk pergi ke jamiah berbanding tidur dalam hirom, itu juga dalam ilmu ekonomi!

Takrifan:

Istilah ekonomi mempunyai terlalu banyak pengertian dan kefahaman bergantung pada cara individu itu memahaminya. Sebagai contoh, tokoh ekonomi Barat yang terkenal bernama Adam Smith dalam lewat karyanya, The Wealth of Nations telah memberikan takrifan ekonomi dari sudut kefahamannya tentang ‘wealth’ ataupun barang/perkhidmatan. Beliau mengatakan ekonomi adalah sains tentang barang/perkhidmatan. (The science of wealth)

Kemudian takrifan itu diperdalam lagi dengan penghasilan barang, pengedaran barang, pertukaran barang, dan penggunaan barang yang mana semua ini bergantung pula kepada 4 faktor pengeluaran yang utama, iaitu tenaga kerja, modal, tanah, dan organisasi.

Saya fikir, lebih mudah andainya saya huraikan takrifan ekonomi itu dari garapan pelbagai sumber namun masih mengekalkan keautentikan maknanya. 

Maka, untuk ditakrifkan dengan mudah tanpa pening kepala tanpa graf tanpa penggunaan istilah jargon lagi teknikal lagi membosankan, saya memahami ekonomi itu sebagai:

“Satu ilmu sains sosial yang memerhatikan hubungan manusia dengan pilihan dalam keadaan yang terhad, lalu berusaha memenuhi kemahuan dan keperluan mereka.”

InsyaAllah, saya akan cuba jelaskan dengan mudah tanpa banyak songeh dan terangkan sekadar dalam fahaman saya.

Sains sosial

Dalam dunia ini, kita tahu bahawa air akan menggelegak apabila mencapai 212 Fahreinheit. Ini adalah ilmu sains semula jadi dan ia memang tetap sebagaimana tarikan graviti bumi itu juga tetap sama di mana sahaja kita berada. Sama juga dengan ilmu perubatan dan ilmu matematik.

Namun, jika seorang Menteri menaikkan kadar cukai perniagaan dalam negara kita, apakah anda tahu apa yang bakal berlaku?

Adakah kutipan cukai akan meningkat secara drastik? Adakah peniaga akan larikan perniagaan mereka ke luar negara untuk mengelakkan cukai? Atau mungkin juga mereka akan beralih ke medan perniagaan yang tidak dikenakan cukai, iaitu internet?  

Tiada sesiapa yang dapat memberi jawapan yang tepat kerana perkara ini adalah sains sosial yang dipengaruhi oleh terlalu banyak unsur dan penyebab-penyebab. Sebab itu, ekonomi adalah sains sosial yang tidak tetap kesannya antara satu situasi ke situasi lain.   

Boleh jadi, apabila cukai dinaikkan hasil percukaian akan berkurangan dan boleh jadi juga hasilnya akan meningkat. Kita tidak tahu.

Disebabkan itulah, munculnya pelbagai mazhab ekonomi dan tokoh-tokoh yang berusaha untuk memahami kesan sesuatu arahan atau tindakan terhadap ekonomi secara keseluruhan. Mereka mengeluarkan pelbagai jenis teori, hukum, dan pendapat untuk menjelaskan hubungan di antara tindakan manusia dan kesan yang berlaku.

Kita akan berkenalan dengan mazhab yang pelbagai ini dalam tulisan akan datang dengan izin Allah.
Jadi, jelas, ekonomi adalah ilmu sains sosial berlawanan dengan sains fizikal/alam. Ini kefahaman yang pertama sekali.

Contoh lain untuk memahami sains sosial adalah sejarah umat Islam sendiri. Kebangkitan umat Islam yang pernah menguasai sebahagian besar dunia sama ada dari sudut pengaruh politik, atau ketenteraan, atau kekuatan ekonomi, dan juga keilmuan adalah satu sains yang perlu kita semua tekuni supaya kita dapat aplikasikan formula itu dalam kebangkitan umat islam sekarang.

 Bagaimana hendak capai, dengan apa nak capai, dan apa fokus dalam setiap marhalah. Ini adalah resipi untuk mencapai kegemilangan umat Islam bi iznillah.

Pilihan yang terhad
Dalam bahasa Inggeris, kami kenalinya sebagai ‘scarcity’, ataupun satu keadaan yang kekurangan.
Konsep ini telah dijelaskan dengan baik oleh Tim Harford dalam karyanya The Undercover Economist bab pertama, di mana beliau merungkaikan asbab yang membawa kepada harga kopi yang mahal, sebagai contoh di Starbucks. Harga yang melambung dan mahal ini bukanlah disebabkan oleh kualiti atau kelebihan pada biji kopi itu, tetapi disebabkan kopi itu terhad dan ditambah lagi dengan faktor kedai Starbucks yang terletak dalam radius penempatan yang tinggi kemahuannya. Scarcity akan menjadikan kemahuan terbatas, dan para peniaga menggunakan peluang ini untuk mengaut keuntungan dengan prinsip di mana ada kemahuan, di situlah mereka akan bekalkan.

Contoh lain pula, apabila dalam tangan kita ada satu dinar, kita akan membuat pilihan sama ada untuk membeli syawarma atau makan kabsah dalam restoran Universiti Yarmouk.
Kita terpaksa membuat pilihan. Sama ada kabsah atau syawarma. Tidak boleh memilih dua-dua sekali kerana keterbatasan duit kita ketika itu.

Dalam ekonomi, kita percaya bahawa kemahuan manusia itu tidak terbatas. Jika dia mampu dan boleh, pastinya dia mahu semua perkara sekali. Nafsu itu sentiasa menyuruh kita mendapat lebih dan banyak, walaupun kita sedar bahawa kita tidak mampu memenuhi semua keperluan.

Sebab itu, kita akan melihat bagaimana setiap manusia membuat pilihan yang berbeza apabila berhadapan dengan situasi yang terhad ini bergantung pada sejarah, pengalaman, cita rasa, harga, dan pelbagai lagi faktor yang boleh menyebabkan perubahan pada keputusan individu.

Dalam contoh tadi, kita dapat melihat duit itu terhad dan menyekat kemahuan kita. Sebenarnya, hampir semua sumber kita juga terhad.

Minyak contohnya, bila-bila masa sahaja akan habis dikorek. Masa, hanya ada 24 jam sehari dan tidak mungkin boleh disimpan untuk digunakan pada minggu depan. Begitu juga biasiswa, makanan, pengangkutan, dan tenaga kita.

Konsep keterbatasan ini terpakai untuk semua keadaan dan situasi. Sebab itu, ekonomi berusaha mencari cara terbaik untuk kita memilih barang/perkhidmatan yang bersesuaian dengan keterbatasan yang sedang dihadapi.

Faham insya-Allah? J

Kesimpulan

Sebagaimana yang telah diterangkan, ekonomi adalah ilmu sains sosial yang amat luas. Terkandung dalamnya ilmu tentang kewangan, insurans, pilihan, duit, makroekonomi dan mikroekonomi, perniagaan, percukaian, dan semua yang berkaitan dengan pilihan manusia serta tindakannya.

Kita juga faham konsep scarcity atau keterbatasan sumber yang berlaku yang bertentangan dengan kemahuan yang tidak berkesudahan. Persoalannya, bagaimana cara kita menyeimbangkan di antara sumber terbatas dengan kemahuan tidak terbatas? Insya-Allah bakal dijelaskan dalam tulisan yang mendatang.
Sebelum itu, suka untuk saya beritahu bahawa takrifan dan kefahaman yang tertulis ini dari kefahaman penulis dengan merujuk beberapa kitab ekonomi. 

Namun, dalam ekonomi itu sendiri terdapat pelbagai aliran, di mana yang paling utama adalah kapitalis dan sosialis. Islam pula tidak dikira sebagai satu aliran ekonomi yang berpisah dari bahagiannya yang lain, kerana Islam itu sememangnya merangkumi semua aspek kehidupan dan kita memahami Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh.

Dalam tulisan mendatang, saya boleh jelaskan apakah aspek perbezaan cara hidup Islam dengan aliran ekonomi yang wujud dari sudut kefahaman, tujuan, dan cara Islam berhadapan dengan permasalahan muamalat seharian secara makro serta mikro.


Apa yang penting, kita faham asas ilmu ekonomi dan perlahan-lahan, kita akan masuk ke dalam topik yang lebih berat dan mencabar. Nantikan!

Tambah pendapatan dulu!

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!