Facebook Twitter Google RSS

Monday, June 9, 2014

Ya Rabb, kuatkanlah!

Sejenak merenung semua perancangan dan perbuatan yang aku dah lakarkan dalam kehidupan, aku terasa hilang dan lemah. Seolah-olahnya takdir Tuhan itu sentiasa membentengi sirna usaha yang aku lakukan. Jiwa terasa galau, hati semakin payau, dan jasad ini seumpama meniti satu lautan yang dipenuhi ranjau. Cabaran demi cabaran menjengah, lantas mengoyakkan jiwa dan semangat aku yang kian melemah, membuatkan aku ingin terdampar jauh dari segala mehnah...

Tuhan tidak pernah tersilap dalam percaturan. Hanya manusia yang selalu buruk sangka dengan hikmah di sebalik kejadian. Apakah manusia bilang dia mampu mengetahui semua perkara? Apakah manusia sangka dia mampu merencana setiap perkara? Mengapa manusia yang hanya mampu mentadbir, mendabik dada seakan-akan dia pemilik takdir?

Sungguh, aku jarang berasa sempit seperti malam ini. Dan bahasa pun jarang digunakan dengan sepenuh sastera dan mantera sepertinya aku jagoan dalam arena dewan pustaka. Cuma hatiku terasa sangat hiba dan sendu dengan apa yang telah berlaku. Hati bagai diracik halus untuk santapan para perakus, yang hanya mahu melihat aku berkecai dimamah omokan keras dan jahat itu.

Ada kawan yang aku percayai sedari dulu, hanya mampu merembeskan titisan masam atas perbatasan luka yang aku hadapi. Atau mungkin dirinya tidak sedar, betapa kata-katanya merobek kewarasan akal aku untuk terus menanggapi yang positif dan baik-baik sahaja. Dia kawan yang aku anggap baik, ikhwah fillah yang aku cintai kerana Allah, namun butir bicaranya busuk penuh dengan aksara yang melemahkan dan menjatuhkan aku.

Soalannya, kepada siapa aku mampu harapkan untuk memimpin tangan ketika aku hampir jatuh? Tangan mana yang sanggup memikul beban yang aku hadapi saban hari? Hati mana yang bisa dilapangkan untuk berkongsi apa yang aku deritai? Dan apakah diri aku pula mampu mempercayai sekeping hati yang sudah acapkali mendustai aku atas alasan ingin menguatkan diriku?

Aku hanya insan yang cacamarba dalam mentadbir urusan hidupnya. Segala keputusan dan tindakanku tidak mungkin bisa memuaskan jiwa semua manusia. Jangan diharapkan diri ini, andai apa yang kau mahukan adalah kesempurnaan sejati. Jika seluas itu harapanmu, ketahuilah aku insan yang akan membuatkan kamu terduduk menangis penuh sesalan. Aku tidak sempurna, banyak khilafnya, bertimbun dosanya, lemah jiwanya, dan terlalu banyak kebejatannya.

Dan kini, aku membasa basi melihat mesej yang diterima. Pedih. Amat pedih. Khususnya apabila kau memhantarkan tulisan, "Dari kami yang sudah tidak mempercayai dirimu..."

Semudah itu kau mencederakan emosiku. Sepantas itu kau menikam segala kemanisan yang aku bayangkan. Aku memandang mesej itu berulang kali, dan jasadku terasa mati. Aku manusia paling teruk di dunia. Shazmie, apakah kau tahu betapa hinanya dirimu?

Teman yang aku tidak kenali, penutup bicaramu meningkah kalbuku. Aku membalasnya dengan senyuman yang paling indah yang boleh aku tawarkan. Walaupun hanya bersembunyi di sebalik alam maya, aku yakin kau melihat senyuman ikhlas yang lemparkan. Malangnya, itu tidak bisa menakung air mata yang sekian lama terbejat dari dua anak mata kecilku.

Hatiku benar-benar dirasuk keras oleh sentimental malam sebegini. Banyak kali aku terfikir, tegarkah aku untuk melalui jalan yang pedih ini? Jalan yang orang lihat aku adalah kapitalis, kepala penyangak wang manusia, si gampang yang bertopengkan agama, si bangsat yang tidak pedulikan jiwa manusia, dan semua sindiran kerasa yang masih melantun di cuping telinga halusku. Sehingga kini, sudah agak banyak tohmahan dan kata nista aku terima dengan hati terbuka. Soalannya, sampai bila aku mampu bertahan dari tidak melawan? Apakah sehingga aku hilang kewarasan barulah mereka pertimbangkan untuk tidak lagi melempar cercaan?

Hidup itu sulit, dan hanya yang tabah bisa menanggung segala kesulitan. Apakah manusia beriman itu berfikir bahawasanya dia akan masuk ke syurga tanpa diuji atau disakiti? Jika begitu, alangkah mudahnya jalan untuk ke syurga yang dijanjikan. Cukup menjadi beriman, dan beribadat, dan terus ke syurga. Benarkah mudah sebegitu?

Aku tidak tahu. Aku hanya mahu berhenti seketika ini, dan memfokuskan akalku untuk membina semangat yang dihujam bengis oleh para perakus bertopengkan insan. Berikan peluang dan ruang untuk aku kenal, siapakah yang petualang dan siapa yang benar-benar pejuang dalam perang. Bisa jadi selama ini aku tersilap telahan. Mungkin rakan yang disanjung rupanya binatang buas dalam pekung, atau musuh yang dibenci adalah teman sejati yang sentiasa di sisi. Aku perlu membuka mata, melihat dengan dalam. Bertanya kepada hati, percaya kepada diri, dan memilih dengan saksama tanpa ada sangka atau apa-apa pemberat yang membuntuti.

Terima kasih kepada yang menyokong selama ini. Para pengkritik tegar, para penulis komentar yang padu, para penyangak emosi, para jiwa yang membenci, para penyebar fitnah, para pembawa kisah, para penjaja daging ikhwah, para penasihat yang sering gundah, dan kepada semua teman yang tidak bisa ku catitkan sehingga penghujung noktah.

Aku doakan kesejahteraan dan ketenteraman semua hidupan. Aku akan lawan segala tuduhan tidak berasas yang dilontarkan, dan nantikan serangan balas dari laman maya dan laman nyata. Diamku tidak bererti aku membisu, bisingku tidak bererti aku keliru, dan amarahku tidak bererti aku terpilu. Aku hanya mahu bertindak pada batas kewajaran yang ditetapkan, dan melampiaskannya pada jalan yang penuh pedoman. Untuk apa yang kau lakukan wahai pembenci, jangan menyangka aku tidak memahami atau tidak ambil peduli. Cuma aku kini mahu berulah pada nilai yang lebih megah dan indah. Amarah tidak terkawal datangnya dari nafsu lawwamah yang dihina dan dikeji. Jangan bimbang, aku akan usaha untuk meletakkan amarahku pada tempat yang tenang dan suci, agar manusia kelak kenal diriku bisa mengekang emosi.

Terima kasih. Bersiap untuk menulis surat jawapan yang padu, dan mengatur pertemuan supaya segala keserabutan terungkai. Kau jangan lari, mari berhadapan dengan singa yang kau perlekehkan. Berbudi melayu ketika dikeji, lambang jiwa perkasa yang pekerti. Amukan tidak akan sesekali dilampiaskan, kerana pahlawan agung mengenal erti kekuatan. Jangan takut jangan bimbang, abang ini penuh kemaafan walau bertubi diserang. Mari dekat kita berbincang, agar yang kotor dijernihkan dan mengecil segala jurang.

:)


About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!