Facebook Twitter Google RSS

Saturday, November 8, 2014

Tentang Kelab Ikram Jordan

Disclaimer: Ini bukan satu artikel rasmi dari pihak yang berkaitan dengan penubuhan KIJ melainkan hanyalah sebuah pandangan dari sisi penulis. Tidak boleh dijadikan bahan rujukan atau bukti untuk apa-apa tujuan.

__________________________


Dan pada malam itu, aku duduk termangu dalam bilik, terasa resah yang semakin kuat menggugah sosok tubuh. Kerap termangu, sekejap duduk membisu, kemudian berdiri tak tahu ke mana hala tuju. Apa sahaja yang dibuat terasa tidak kena. Hanya kerana sebuah khabar yang diterima.

"Akhi, tolong buat baju KIJ boleh?"

Allah...

Selepas beberapa peristiwa, aku berusaha mengelak diri aku aku daripada mengingatinya. Jika boleh, aku nak tolak ke tepi semua memori yang pernah mencuri kebahagiaan aku.  Benar, kritikan dan komentar, adalah lumrah dalam kehidupan. Aku mengambilnya sebagai sesuatu yang membantu aku untuk terus maju ke hadapan. Tapi, jauh dalam hati, secara moralnya, aku tak mahu. Aku tak mahu melukakan lagi mana-mana hati manusia, kerana kesilapan yang aku lakukan.

Betul, kita menang, atau aku menang. Aku dah terangkan dengan baik, dan aku menang. Dia berpuas hati. Tapi shazmie, hakikatnya hati seorang manusia telah terluka, ketika mana kau bergembira meraikannya.. Jadi, apa sebenarnya yang aku telah dapat? Mungkin hanya sekadar kepuasan sementara yang tak patut diingati. Memalukan. Melukakan hati manusia adalah perbuatan yang memalukan. Tiada justifikasi untuk apa yang kau lakukan.

Apbila pimpinan KIJ suruh aku buat, sebolehnya aku nak tolak. Aku nak tutup semua cerita yang membuat aku tidak selesa. Tidak mahu memori yang lama datang bertandang, atau lagi teruk, berulang. Semua itu boleh membuat aku jatuh, kesakitan penuh radang.

Maka malam itu, mendesahlah aku dalam gelisah. Bernyawa tetapi bagai hilang dari dunia. Dilema di antara berkhidmat atau menjaga hati sendiri dari terus terluka.

Dan aku memaksa diri untuk tidur, dengan segumpal bebelan dalam benak, yang berteriak meminta penjelasan.

Pada paginya, aku bangun dan duduk berteleku, memohon petunjuk dari Tuhan Yang Maha Tahu. Jika menolak dari tanggungjawab ini baik untuk aku, maka aku akan tolaknya. Dan jika terima tanggungjawab ini baik untuk aku, permudahkan aku melaksanakan semua yang aku perlu lakukan.

Aku tak mahu mengulangi apa yang pernah aku lakukan. Mohon dijauhkan dari segala keburukan, dan bencana yang tiada dalam kiraan.

Entah mengapa, pagi itu pagi yang terasa syahdu. Dengan lagu Redha dari i-Voice, aku menemukan diri aku dalam apungan yang tinggi, penuh dengan awan dan udara nyaman. Melihat sejenak dalam awan, aku menemukan jiwaku yang rawan. Aku sebenarnya sedang bersembunyi, melarikan diri dari realiti dan harapan manusia yang menggunung tinggi. Ketakutan, itu yang menghantui. Zahirnya aku seperti besi, tetapi dalamnya hanya sekeping hati nipis, yang sunyi. Kerap lari apabila bertandang realiti, tetapi masih berpura pura gagah menjadi nakhoda aspirasi.

Aku menarik hatiku untuk bertemu dengan rasa yang baru. Cukup sudah menjadi begitu, yang akhirnya dirimu jua yang kelak menjadi bisu dan bertukar kelu. Jenguklah sejenak ke luar jendela, dan lihat dunia yang terbentang luas, seluas pandangan mata. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan mu, tetapi Tuhanmu tetap di sisimu selagi kau percaya begitu.

Soalannya wahai hati, adakah kau percaya begitu?

Entah. Aku mahu percaya begitu, tetapi sangkaanku menyelimuti dengan keraguan yang jitu.

Sehinggalah, tiba-tiba terdetik dalam hati. Aku sehingga kini, sudah banyak berkhilaf dengan jemaah. Mungkin sudah terlalu banyak. Ketika sepatutnya aku menjadi batu utama mereka dalam meniti jalan yang payah, tapi aku melarikan diri dan berundur beribu langkah. Ketika aku sepatutnya mencurahkan tenaga membina manusia, tetapi aku melencong lalu pergi membina niaga, dengan alasan lancang yang sengaja dicipta.

Apakah aku tidak memahami firman Allah, dari surah al-Ahzab ayat 23-24 yang membawa maksud,

 “Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka diantara mereka ada yang gugur . Dan diantara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah (janjinya)”. Maka allah memberi balasan pahala kepada golongan siddiqin yang bersikap benar, dan Allah memberikan azab kepada orang yang munafik jika ia kehendaki atau mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang..”

Dalam kalangan daie, ada yang benar-benar mengotakan dan melaksanakan apa yang mereka fahami dan apa yang mereka pelajari. Golongan ini akan diberi ganjaran pahala dari Allah atas kejujuran mereka dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

Namun, ada satu lagi golongan. Yang mengetahui tanggungjawab dakwah atas pundaknya, namun bersikap samba lewa dan culas dari berkhidmat. Hanya menunggu ikhwah lain mengisi kerja yang ada dan mengelak dari bekerja.

Aku takut. Aku berada dalam golongan mana? Ketika mentadabburnya dalam liqo lepas, aku semakin buntu. Banyak persoalan timbul.

Soalan yang lagi wajar adalah, apa yang telah aku lakukan untuk jemaah yang telah membina dan memberi tunjuk ajar kepadaku sehingga mnejadi seorang manusia? Aku bukan murobbi yang yang orang damba, bukan daie yang mesra dengan mutarabbinya, bukan jundi yang setia dengan arahan ketuanya, jauh sekali mutarabbi yang melaksanakan wajibat sepenuh jiwa.

Maka sebenarnya, apa yang telah aku suakan untuk jemaah tercinta? Apakah ada sumbangan yang boleh dikira? Atau aku hanya menumpang persis parasit durjana? Astaghfirullah…

Dalam fatrah ini, ketika KIJ dalam penjaharan maya dan dunia, ada suara-suara sinikal, keras, marah, benci, yang bersahutan dari pagi ke malam mempertikaikan KIJ. Aku bukan lah jundi yang layak untuk mempertahan KIJ dari tohmahan masyarakat yang tidak suka, tetapi hati aku meronta kuat untuk membantu mereka. Aku sedih, hatiku pedih, dan jasadku merintih, mengapa begitu semborono manusia memperleceh. Aku jauh dari taksub, dan jauh dari ghuluw cinta jemaah, tetapi aku tahu, betapa semua murobbiku adalah manusia yang bersusah payah untuk melalui jalan dakwah!

Ya Allah...

Aku saksikan kesetiaan mereka dalam melaksanakan ibadah dan meyebarkan dakwah untuk ummah. Aku saksikan air mata mereka yang tumpah ketika berdoa pada malam hari, memohon Allah yang Esa bantu perjuangan hambaNya dan bebaskan umat dari kejahilan yang membaluti. Aku mendengar rintihan mereka, tatkala mengaku kedaifan untuk membantu manusia menjadi tunduk kepada Tuhannya. Aku lihat kesungguhan mereka apabila membaca doa rabithah, keasyikan mereka dengan kehangatan ukhuwah dan kemesraan yang terukir tanpa madah. Aku juga saksikan duit yang mereka leburkan untuk jemaah, untuk ahli yang susah, dan untuk membina ikhwah yang cintakan dakwah!

Wallahi aku saksikan.

Aku menangis. Air mata yang berlinang tidak aku seka, membiarkan ia mengalir membersihkan kolam jiwa yang sekian lama kubiarkan kontang menderita. Akhuna berlima, yang aku tak mahu sebut nama, merekalah yang bersusah payah membina dakwah dari bawah dengan penuh hemah dan hikmah. Dari kumpulan kecil berlima, menjadi gagasan besar manusia yang mereka tidak pernah sangka akan dapat bina. Benarlah, kita mengatur, Tuhan juga mengatur, dan aturan Dia itu lah sebaik-baik aturan. Betapa lemahnya kita, manusia!

Aku menangis apabila melihat KIJ. 

Bukan semata-mata kerana sedih tidak menjadi batu utama menguatkannya, tetapi kerana cemburu dengan mereka yang membinanya, merasai pahala yang berterusan memberati mizan amal mereka!

Ya Rab. 

Melihat sahaja KIJ, aku nampak usaha yang telah mereka tabur untuk menegakkan agama Islam. Aku perhati apa yang mereka semaikan, dan aku saksikan pohonan manusia yang kini berubah menjadi manusia malah berbangga dengan nikmat Islam dan iman yang mereka percaya..

Pagi itu, selepas terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidupku, aku merasakan aku perlu melakukan sesuatu untuk KIJ. Bukan kerana berhutang budi, jauh sekali dipaksa murabbi, tetapi kerana aku juga mahu merasai sedikit pahala apabila membantu mereka yang berdakwah di jalanNya.

Aku memujuk hati, ambillah tanggungjawab itu, dan bersedialah untuk melakukan dengan penuh itqan dan kesungguhan. Beranikan diri, dan sumbanglah untuk jemaah dengan apa yang aku ada. Aku tak mampu janji bulan dan bintang, tetapi insyaAllah aku mampu memberikan khidmat dan cinta yang aku rasa.

Aku tekad. Aku terus berhubung dengan semua rakan yang aku percaya, kerana masa sangat suntuk dan aku mahukannya dalam waktu yang terdekat. Baju perlu siap sebelum pelancaran KIJ di irbid insyaAllah!

Moga baju dipakai dengan izzah oleh pemakainya. Bukan semata-mata kerana jenama KIJ itu, tetapi kerana menjadi seorang manusia yang menyahut seruan Tuhannya untuk berdakwah dan memikul tanggungjawab untuk menegakkan agama.

Kali ini, ia untuk KIJ. Untung yang kecil dan risiko yang tinggi. Ada yang nasihat dan tidak bersetuju, kerana banyak ‘uncalculated risk’ yang terlibat dan modal yang besar dinisbahkan kepada untung yang bakal ku terima. Tetapi aku sudah tekad. Untuk KIJ, ia bukan soal untung semata-mata. Tetapi kerana kesedaran untuk menyumbang. Makin banyak kita memberi, makin banyak kita terima.

Untuk akhuna dan generasi muassis di Jordan, tahniah kerana usaha antum dan berkat Allah, kita berjaya mengatur langkah sehingga ke hari ini. Apabila terkenangkan apa yang antum pernah buat, ana tidak boleh menyeka air mata yang gugur mengalir. Memikirkan kembali masa yang antum laburkan untuk mendidik kami dalam keadaan antum sendiri tiada masa, buat ana rasa berdosa jika tidak menjadi manusia. Tatkala mengingati kembali masa kita menangis bersama dalam liqo dan qiam, ya Allah hati ana tersentap. Suara itu, doa itu, dan kesungguhan itu, semua memberi kami inspirasi untuk terus memberi dan memberi dan mendidik manusia mengenal ilahi.

Penubuhan KIJ hanyalah satu marhalah. Dakwah sudah sekian lama bertapak, dengan pelbagai wadah dan wajiah. Hanya kini kita jahar atas maslahah ahli dan ummah. Manusia boleh mencela dan berbalah, tetapi kita akan mengawal diri dan lidah agar hidup terus dalam rukun dan rahmah. Masuk tarbiyah bukan bermaksud menjadi malaikah, tetapi berubah menjadi rijal dakwah yang cinta ummah.

Adik adik yang baru bertapak di bumi Urdun, ketahuilah, untuk mencapai tahap ini, ia dimaharkan dengan bergelen air mata dan ribuan ringgit. Tetapi itu semua bukanlah yang diutama untuk dimegah, kerana akhirnya amal kita di medan dakwah lah yang menjadi bukti dan qudwah.

Tarbiyah, Khidmah, Negarawan.


J






About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!