Facebook Twitter Google RSS

Saturday, May 9, 2015

RandomRant


Subhanallah, hanya berbaki kurang dari 60 hari sebelum balik ke Malaysia dan bergelar graduan ekonomi islam. Tidak keterlaluan jika dikatakan, masa yang berlalu bagai sedutan nafas yang ditarik perlahan, masuk ke rongga dada dan tanpa ketahuan ia keluar membawa karbon dioksida keluar. Ia berjalan sepanjang masa, tanpa kita sedar waima bisa dikawal. Dan hasil dari perjalanan masa itu, menatijahkan hasil yang kadangkala baik dan kadangkala biasa biasa aja.

Semester akhir ini, pentas untuk manusia mengeluarkan usaha dan kudrat yang ada agar mencapai matlamat yang ditetapkan semasa awal semester dahulu. Selalu juga, aku menjeling ke kertas matlamat yang ditulis semasa tahun 1 dahulu. Sedih ada, kelakar ada, dan gembira pun ada. Sedih, apabila melihat ada matlamat yang tidak tercapai. Kelakar, kerana mengenang kembali betapa seronoknya menggarit impian dan matlamat semasa suci bersama teman yang sudi menemani. Terasa kecomelan dan kemanjaan itu sentiasa menemani walau sudah membesar tua bangka. Dan semestinya gembira, kerana ada impian yang berjaya dicapai. Malahan lebih dari anggapan yang ditetapkan.

Perkara yang sentiasa membuat aku gembira, mencapai impian dan matlamat.

Pegangan dari dahulu, letakkan impian di hujung bintang yang paling jauh. Seakan-akannya terlalu jauh untuk digapai, dan sukar untuk dikecapi. Maka kita lakarkan rancangan dan langkah tersusun untuk mencapainya. Tapak demi tapak, langkah demi langkah, Biarpun kecil dan kenit, tetapi ia membesar bersama berlalunya zaman dan teguhnya kesabaran. Adik aku yang dulu aku rasa masih mampu didakap dan dipeluk, kini membesar mengalahkan sepemeluk kayu jati!

Apa yang tidak dapat dikecapi sekarang, aku akan usaha untuk dapatkannya sebelum mati. Pernah ada ikhwah tegur, kadang kala perancangan hidup kita menengelami perancangan mati. Walhal muslim itu, sewajarnya meletakkan mati sebagai batu penanda aras untuk impian. 

Andai kita mati hari ini, apa yang kita tinggalkan untuk ummah tercinta?
Apa pula yang kita beri untuk keluarga di kampung sana?
Dan bagaimana dengan insan yang kita cinta dan sayang, apa yang telah kita lakukan?

Mari letakkan wawasan, agar mati kita kelak meninggalkan lautan pengalaman dan mencorakkan dunia yang lebih mendekati arahan Tuhan. Supaya hidup bukan semata mata 'kita', tetapi ada juga mereka dan insan lain yang berhak untuk kita santuni dengan dengan kemampuan yang ada.

Cikgu.

Sebut tentang mati, aku masih sedih dengan kehilangan guru catur yang amat aku sayang dan cinta, cikgu Norinah. 

Dahulu, ketika aku tidak punya apa-apa melainkan hanya jiwa yang terseksa dan akal yang meronta, cikgu datang memberi semangat dan harapan, bahawa semua insan ada kapasiti untuk berjaya. Ketika aku benar benar kosong dan tiada tujuan melainkan untuk terus bernafas, dia datang menatangkan secebis ilmu untuk aku guna mendirikan sebuah rumah keteguhan.

Dia yang ajar dan meniup semangat untuk mula main catur. Dan dari permainan catur, barulah aku dapat semangat untuk meneruskan hidup sebagai insan yang bermasa depan. Tidak keterlaluan, tanpa catur aku tiada kehidupan, dan catur dikenalkan secara tulen dan elit oleh cikgu.

Sebab itu, memori aku berlabuh erat pada muara kehidupan bersama cikgu. Dan ada juga bebrapa orang guru lain yang sentiasa membantu aku dalam bermain catur, yang aku kenang sehingga hayat dikandung badan. Segala ilmu yang diberikan, aku akan manfaatkan sebaik mungkin. InsyaAllah, moga ilmu yang diberikan dapat memberi pahala yang berterusan kepada cikgu. Allahummaghfirlaha warhamha waafihi wa3fuanha.

Belajar

Dah dua bulan berlalu, dengan mengambil 7 subjek ijibari qisim dan ijbari jamiah, yang agak menggerunkan jika diceritakan. Boleh dikatakan subjek dan isi pelajaran yang amat berat, ssehingga terpaksa berhempas pulas untuk faham dan hafal. Ingatkan dah tahun 4, boleh bersennag lenang sedikit. Tapi hakikatnya, semakin mengecil ruang untuk bersuka ria atau bergembira. Bukan apa, aku selalu fikir tanggungjawab terhadap amanah ilmu yang aku bawa.

Mungkin ilmu yang ada tidak seberapa, sekadar pengetahuan asas dalam mualamat, asas ekonomi, asas kontrak silam, dan asas dalam perbankan. Tetapi, terasa amat menyesakkan dada apabila melihat kejahilan yang berlegar dalam masyarakat disebabkan kedangkalan dalam memahami asas ini. Umar al-Khattab pernah berkata, orang yang tidak mempunyai ilmu dalam berniaga dan kefahaman dalam bermuamalat, jangan berjual beli dalam pasar kami. 

Disebabkan melihat kelompongan yang besar, aku berusaha setakat termampu untuk memahami dan menguasai apa yang bisa akal aku kunyah dan hadam. Balik malaysia, sekurang-kurangya boleh islah apa yang boleh aku sumbangkan dan jadi orang yang amanah dengan ilmu yang ada.

Paling aku benci, semua skim cepat kaya dan program duduk diam dapat duit. Kesannya kepada masyarakat amat menggerunkan dan menakutkan. Aku dah melihat terlalu banyak perpecahan, persengketaan, peperangan sanak saudara, dan keruntuhan sistem kekeluargaan disebabkan program sebegini. Antara impian aku juga, menjadi antara yang terkehadapan untuk membanteras semua unsur skim cepat kaya dalam minda orang islam, khususnya ahli keluarga terdekat. Orang lain agak mudah untuk aku terangkan dan dakwah, tetapi apabila ahli keluarga sendiri, aku jadi buntu otak aku beku dan lidah terus kaku. Susah benar. Moga Allah permudahkan.

Sakit

Selepas hampir setahun tak demam dan muntah, akhirnya minggu ni jatuh sakit juga. Hurm... Mulalah mesej mak ayah nak balik. Kata mak, mungkin sebab salah makan atau keracunan makanan. Masa nak tidur untuk mabit, semua okay je. Tapi masa bangun, rasa perut lain macam. Muntah dari pagi sampai petang. Kosong perut. Dan akhirnya, terpaksalah masak sup sayur kosong. Sedap tapi absolutely tasteless! Baru lah terasa nikmat kesihatan yang selama ini memang kita take for granted.

Sup sayur ringkas. Lobak, kubis bunga, kubis ungu, tomato, sedikit cuka makan, sedikit lada hitam, dan minyak zaitun. Terpaksa telan untuk elak perut masuk angin.



And as time flies, i learnt something very important from the person around my life. That is, media social is full of lies.

Media Sosial

Banyak kali aku kongsi kepada teman, media sosial bukan medan untuk mengenal manusia. Ia cuma sekadar satu identiti palsu, satu topeng, satu jubah yang melindungi karektor sebenar diri manusia.

Dalam media sosial ditulis bagai dia manusia paling bahagia, walhal jiwanya paling berduka dengan segala macam sengketa dan ujian dunia. Ada yang bagai paling faqeh agama dan faham semua benda, walhal ke kelas culas dan ponteng usah dikira. Ilmu yang dikongsi entah diambil dari sumber mana. Ada yang berpurdah, solehah tulisannya, tapi selfie sampai ke sudah dan kemudian tayangkan kepada semua rakan. kalau privatekan, aku tak ada masalah.

Ada seorang teman, yang tidak pernah lengang dari memegang telefonnya. Malah ketika sedang berborak bersama teman, dia tidak henti scrolling facebook dan berkongsi tentang kepentingan perhubungan dalam kehidupan. Walhal kami yang sedang berada di hadapannya tidak pula dia berborak. Betapa ironinya manusia!

Dalam FB, insta, twitter, berkongsi tentang persahabatan serta komunikasi. Menonjolkan diri sebagai motivator untuk membaiki relationship orang lain, dan menampilkan diri yang peramah serta ceria. Tapi bila jumpa in person, its absolutely different dan berbeza. Atau mungkin aku boleh konklusikan, ianya bukan suatu yang pelik jika pada zaman ini, seseorang mempunyai dua identiti berbeza dan dua kehidupan yang berbeza? ya, boleh jadi.

Aku banyak belajar baik dan buruk media sosial. Semuanya atas kita, bagaimana untuk memanfaatkannya untuk kebaikan kita. Bagi aku, cukup sekadar buka facebook untuk tahu apa yang betul betul penting untuk kita. Contoh macam aku, apa yang penting bagi aku adalah orang yang aku sayang (keluarga, teman karib), kemudian isu semasa yang terkini. Dan isu semasa ini, kita tidak perlu pun jadi macam pemberita yang kena baca semua dan tahu semua. Apatah lagi untuk berdebat dan jadi seolah olah jack of all trades master of none. Aku setuju bahawa debat dapat mendalamkan lagi kefahaman kita tentang sesuatu tajuk, menajamkan lagi kemampuan berfikir,dan menambah pengetahuan. Tapi, sebenarnya lah, tidak semua perkara kita perlu jadi keyboard warrior. Tak semua perkara kita perlu komen dantunjuk hero, tidak semua isu kita tahu secara mendalam, dan kita pun tidak tahu apa yang kita tahu itu adalah perkara yang benar dan betul atau sekadar satu lagi fakta dongeng yang kita terkutip dalam pengembaraan di belantara meida sosial yang luas.

Sebagai anak muda, kita ada terlalu banyak ilmu untuk digali dan dikaji. Jangan menutup mata dengan satu pendirian dan keegoan yang bersarang dalam jiwa. Bersikap tenang, dan nilai dari pelbagai sumber. Apatah lagi zaman sekarang ini, semua maklumat dibentang dihadapan kita tanpa dapat kita tapis mana maklumat yang benar benar tulen dan mana yang sekadar hearsay. Maka, agak banyak langkah dan prosedur sebelum kita boleh menjatuhkan sesuatu itu sebagai salah dan bertentangan dengan prinsip. Ini pada perkara yang zhonni sahaja, bukan yang qatie dan jelas.

Dan ada juga yang suka buat sesuatu yang viral dengan 'posting' yang tidak senonoh dan kadangkala 'bodoh'. Entah lah. Sampai satu masa nanti, apabila kitab amal dibentangkan di hadapan kita, kita akan menutup muka kerana malu yang amat terhadap apa yang kita sebarkan kepada manusia lain.

Tidak mengapa jika tidak popular di media sosial. Dan bagus jika popular, jika kita sebarkan perkara yang betul dan baik untuk masyarakat ikut. Yang penting, kita sentiasa cuba menjaga hubungan dengan Dia, yang sentiasa ada dan lebih dekat dengan daripada line internet umniah yang kadang kadang ada kadang kadang macam siput haha. jadilah terkenal dengan amal ketika berseorangan, terkenal dengan penduduk langit. Kita sama-sama cuba okay?

Dan akhirnya, doakan lah diri ni. Cuba untuk menjadi lebih baik dari semalam. Cuba untuk bermanfaat kepada semua. Dan istiqamah dalam menyayangi apa yang dicintai, mencintai apa yang dimiliki, dan menghargai semua yang disisi. Dan semua urusan dipermudah. Harapnya.

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!