Facebook Twitter Google RSS

Sunday, August 30, 2015

Memetik Bintang

KONSISTEN. Tiada kaitan


Zaman belajar, satu tempoh masa yang sangat saya cintai dalam kehidupan. Selepas 4 tahun meninggalkan alam sekolah menengah yang penuh warna itu, baru sekarang saya dapat rasai, betapa itulah waktu yang terpahat paling dalam di lautan memori. Apabila kenangan berlabuh sahaja di muara fikiran, alma mater ini yang pertama sekali menerpa dan membuat saya melambung jauh ke laman fantasi tidak bertepi.

Manakan tidak, di SHAKS lah, saya temui diri yang sedang hidup dan mendayung dalam bahtera kehidupan sekarang ini. Personaliti, akhlak, jiwa, sikap, pemikiran, dan semangat, semuanya dibentuk semasa saya di sana. Siapa dapat nafikan ketegasan Ustaz Mustapa yang sentiasa gigih mendisiplinkan kami? Atau kesabaran ustaz Sham yang saban hari mengetuk katil besi dengan hanger untuk mengejut subuh? Atau kelantangan ustazah Rosniah memekik mengajar Arab? Atau peristiwa buku terbang oleh Puan Chua? Atau kegigihan cikgu Bushra mengajar ‘programming’ robot? Atau kebakuan cikgu Zainurah dengan tatabahasanya? Dan cikgu Faizatoen, yang setia dengan slogan “Life must goes on”.

Semua ini, adalah satu resipi mujarab pada zaman saya, untuk mendidik dan mengasuh kami yang dahagakan sentuhan pendidik. Hasil penat lelah dan tenaga yang mereka curahkan, kami menjadi manusia sebagaimana kami pada hari ini. Ada yang berjaya dalam pelajaran, ada yang berjaya dalam kehidupan, ada yang setia dengan panji kebenaran, dan ada yang sentiasa berusaha menuju jalan mencari Tuhan. Tidak akan kami sampai ke destinasi yang kami impikan, jika tidak ditunjukkan pedomannya oleh para guru. Terima kasih cikgu, saya maknakan dengan sepenuh hati saya.

Saya perkenalkan diri dulu ya, sebab nanti adik-adik tidak kenal. Jika Tak kenal, tak cinta .J
Nama saya Shazmie bin Mohammad Nadziri. Pelajar di SMK Sultanah Hajjah Kalsom dari tahun 2006-2008 dan PMR 9A. Berpindah ke SMK Abdul Rahman Talib pada tahun 2009. Pelajar aliran bahasa Arab dan agak aktif dengan aktviti sekolah. Terlibat sebagai anggota unit beruniform Kadet Polis, dan pernah menyertai Skuad Elit Kuantan untuk mewakili daerah ke peringkat negeri. Kelab catur, dan bermain sehingga peringkat kebangsaan. Juga berminat dengan pengucapan awam, robotik, perkhemahan, roket, dan larian jarak jauh. Lanjutkan pelajaran ke Jordan dalam bidang Perbankan Islam, dan sekarang bekerja sebagai internal auditor di sebuah syarikat swasta.

Tidak banyak yang saya pernah sumbangkan kepada sekolah dalam ingatan saya. Yang sekolah pernah sumbangkan kepada saya, lebih dari mencukupi dan tidak terkira. Betul kata kata hikmah seorang tokoh, jangan tanya apa yang negara pernah berikan kepada kita, tetapi tanya lah diri kita, apa yang kita pernah sumbangkan kepada negara.

Masih segar dalam ingatan, semasa tingkatan dua, saya diberi peluang untuk mewakili sekolah dalam sajak peringkat daerah. Hanya Tuhan tahu, betapa saya tidak pernah bersajak seumur hidup ini. Nak pegang mikrofon pun terketar, apatah lagi untuk menghafal bait bait indah dan bermadah di khalayak ramai. Berketar lutut!

Tapi, itulah cantiknya susunan dan ketentuan Allah. Dalam kegalauan dan kerisauan diri sendiri terhadap apa yang bakal berlaku, Dia dah merencanakan apa yang terbaik untuk diri hambaNya. Rupa-rupanya, itu menjadi permulaan untuk saya mencambahkan potensi interpersonal yang ada. Memang saya agak gementar pada awalnya, tetapi saya berjaya buat dengan baik dan mendapat tempat ketiga. Selepas dari itu, saya terus bergiat aktif dengan seni pengucapan awam dan berjaya melatih diri menjadi lebih baik. Awalnya pahit seperti hempedu, namun akhirnya manis bagai madu. Benar sekali pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kan?

Kita tidak akan tahu, apakah potensi sebenar diri kita sehinggalah kita mencubanya. Keupayaan diri ini masih banyak yang perlu kita teroka. Kembangkan, tajamkan, licinkan, dan luaskan sehingga kita benar benar menjadi Allah yang bersyukur dengan nikmat yang Dia telah beri. Sifat mengecilkan dan merendahkan kemampuan diri sehingga umat Islam dilihat lemah, adalah bertentangan dengan keagungan agama Islam dan prinsip bahawa umat Islam adalah umat yang memimpin. Ubah diri kita, dengan perbetulkan cara kita berfikir. Kerana perubahan wajib bersifat dari dalam ke luar, supaya hasilnya berkekalan dan menjadi darah daging. Apatah lagi adik adik yang masih berada di alam persekolahan. Terlalu banyak kesempatan yang wajib dimanfaatkan, supaya diri adik pada masa depan, tidak menyesal dengan keputusan diri adik pada masa sekarang. Manfaatkan setiap masa, gunakan semua peluang, rebut semua kesempatan, tanya cikgu jika ada ruang yang boleh disumbangkan, dan berkejar kejar dalam mengerjakan amal kebaikan.

Banyak perkara yang saya tidak sangka dalam hidup, sudah berjaya saya capai pada waktu ini. Dulu, berimpian untuk dapat keputusan ‘straight’ A PMR dan SPM, dan Alhamdulillah dipermudahkan. Kemudian saya mahu membawa kedua ibu bapa ke Mekah dan Jordan dengan usaha dan duit sendiri, juga dipermudahkan. Dan baru baru ini, saya juga capai satu lagi impian untuk memegang segulung ijazah dalam Ekonomi dan Perbankan Islam, yang mana dengan izin Allah dapat saya genggam.
Rahsia untuk berjaya dan mencapai impian, bagi saya ada dua. Yang pertama, tetapkan apa motivasi yang mendorong kita. Yang kedua, letakkan impian yang besar dan tinggi, yang mungkin untuk kita capai, tetapi sukar dan jauh dari diri kita sekarang.

Motivasi utama saya untuk berjaya dalam apa jua yang saya lakukan adalah ibu bapa. Tiada yang lain yang lebih saya utamakan dalam hidup ini, melainkan untuk melihat kedua ibu bapa saya bahagia dan gembira. Saya tahu dan saya lihat, pengorbanan mak ayah saya untuk mendidik serta menjaga saya sehingga dewasa. Tuhan sahaja tahu, betapa saya tersentuh dengan apa yang pernah mereka lakukan. Tak tertulis dalam lembaran kertas, tak terucap dengan simpulan kata, tak terlakar dengan bayangan minda.
Saya kerap menangis, apabila saya mengenangkan kesusahan ibu bapa saya untuk menjaga saya. Itu yang menjadi azimat dan perangsang utama untuk saya lakukan sesuatu. Saya tidak sanggup, untuk membiarkan diri saya gagal dalam apa jua yang saya lakukan. Kesedaran yang tinggi, bahawa saya bertanggungjawab untuk keluarga dan adik beradik saya, menjadikan saya perlu sentiasa tabah. Jika saya jatuh, bagaimana dengan adik adik yang lain.

Di Jordan, rakan rakan tajaan JPA acap kali mengajak saya melancong ke UK dan Europe. Tapi saya menolak dengan lembut dan menjawab, mahu menyimpan duit. Ada yang menyokong, ada juga yang mengatakan saya sebagai kedekut. Hakikatnya, hati saya rasa pedih untuk pergi. Ya, saya akan gembira dan teruja andai dapat berjalan ke serata dunia. Tetapi, jauh di sudut hati yang kecil itu, persoalan akan berkumandang.

“Kau seronok berjalan. Ibu bapa di kampong macam mana?”
“Kau dapat macam macam. Apakah ibu bapa kau dapat menikmati yang sama?”

Selalu, itu yang saya fikirkan. Sehingga saya tidak tergamak, untuk melancong dan menunjukkan kegirangan saya melawat tempat yang cantik serata dunia di media sosial, sedangkan ibu ayah di kampung, melihat dari jendela tingkap pemandangan sama saban hari. Saya pasang tekad, saya akan melancong suatu hari nanti, dan akan bawa mereka bersama ke mana jua saya pergi. Bina kenangan bersama sama, sebagai satu keluarga.

Dan yang kedua, pasangkan impian yang tinggi. “Shoot for the stars, if you fall, you will fall on the moon.”
Letakkan impian yang tinggi, yang besar, yang bermakna untuk diri kita. Andainya kita gagal mencapainya sekali pun, kita akan dapat yang mungkin kurang sedikit dari apa yang kita hajatkan.
Sama juga jika berniaga. Letakkan sasaran keuntungan yang tinggi, contohnya RM 1 juta. Kita rencana, usaha, dan tawakkal bersungguh sungguh. InsyaAllah, andainya tidak dapat RM 1 juta pun, sekurang-kurangnya kita berjaya capai setengah juta. Bukankah indah sebegitu?

Semasa PMR, saya ada masalah dengan bahasa Arab dan sentiasa mendapat D dalam peperiksaan. Betapa susahnya untuk saya faham dan hafal perkataan Arab, dengan kejahilan yang nyata dalam tatabahasanya. Tapi, saya letak impian untuk mendapat 9 A pada waktu itu. Mahu tidak mahu, saya paksa diri bekerja keras untuk capai sasaran itu, dan ia tercapai.

Di Jordan juga begitu. Sistem pembelajaran kami dalam bahasa Arab sepenuhnya kecuali sesetengah subjek yang dipelajari dalam bahasa Inggeris. Awalnya, saya tidak boleh bertutur dalam bahasa Arab dan langsung tidak faham apa yang diperkatakan oleh para pensyarah. Namun, saya sudah tekad, untuk menamatkan pengajian dan genggam ijazah di sini. Dengan usaha keras dan fokus, pada tahun akhir, saya seronok bercakap dengan rakan rakan dalam bahasa Arab pasar dan berjaya menghadam pelajaran dengan baik.

Tidak pernah saya sangka, saya mampu untuk pergi sejauh ini. Selepas 4 tahun, saya akan menoleh ke belakang sekali sekala untuk melihat kehidupan yang saya pernah lalui. Ianya sungguh magis, penuh dengan debaran, tekanan, cabaran, dan tentangan yang hebat namun saya sudah harunginya dan selamat memetik bintang saya yang mahukan. Dan saya harap yang begitu juga untuk semua teman dan adik adik saya di SHAKS. Cari bintang yang ingin dicapai, dan rencanakan usaha yang bersesuaian.

Untuk waktu sekarang, saya sudah ada bintang baru. Untuk seorang Muslim, perancangan yang kita ada, wajib ada seolah-olahnya kita akan pergi meninggalkan dunia ini pada keesokan hari. Sentiasa bersedia untuk mati. Soalannya, sudah bersediakah kita?

Itulah sedikit sebanyak yang boleh saya kongsi. Harapan saya, agar adik adik akan sentiasa bersemangat untuk memajukan diri sendiri dan menjadi insan yang bertakwa. Insan yang bertakwa ini, sentiasa merasakan pengawasan Tuhan dalam tindak tanduk kehidupan mereka. Apabila kita dapat rasa itu, barulah kita akan rasa berdosa jika tidak membuat sesuatu yang terbaik, walhal kita sudah ada kebolehan dan prasarana yang mencukupi untuk melakukannya.

Hormati guru, cintai dan sayangi mereka. Saya dulu tak pandai, tapi saya hormat cikgu. Mungkin kejayaan sehingga hari ini, adalah berkat doa guru guru. Gunakan semua peluang yang ada. Bukan untuk menjadi orang yang tamak kejayaan, tetapi untuk menyahut seruan Tuhan, fastabiqul khairat. Berkejaran dalam amal kebaikan. Terima kasih semua cikgu yang pernah mendidik, secara formal dan tidak formal. Moga dilimpahi ganjaran kebaikan, diberikan hidayah dan kekuatan, dan tabah mengharungi semua cabaran mendidik anak bangsa.


Akhir kata, semoga sentiasa sukses. Jaga hak Tuhan, Tuhan akan pelihara diri kita.

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!