Facebook Twitter Google RSS

Friday, January 24, 2014

Mencari “The Burning Why”


Dalam misi pencarian dan pengembaraan yang panjang, seorang pengembara memerlukan satu misi yang jelas. Mungkin dia mahu menakluk seluruh dunia, atau mahu mengenal kepelbagaian budaya, atau mahu menjadi manusia yang lebih luas akal dan pengalaman, yang akhirnya melahirkan tatacara pemikiran yang matang lagi luas.

Andainya seorang pengembara itu tidak ada matlamat yang jelas, maka dia tidak akan memulakan pengembaraannya. Akan ada sahaja alasan yang terbit dan timbul demi menjustifikasikan tindakannya yang tidak pergi mengembara. Dia akan kata, “Aku tidak boleh mengembara kerana tidak mempunyai peralatan.”. Atau “Aku tidak pernah keluar dan tidak tahu cara membaca peta”. Dan begitulah, alasan yang tidak akan habis apabila matlamat untuk mengembara sendiri tidak jelas.

Itu cerita seorang pengembara.

Kita juga pun begitu sebenarnya.

Kita mahu menjadi peguam, tetapi sebab untuk menjadi seorang peguam kerana ayah juga peguam. Atau mahu menjadi doktor, kerana ibuku mahu begitu. Atau menjadi seorang pegawai bank, dengan tanggapan dapat menjadi seorang yang kaya.

Soalannya, apakah cukup kuat ‘WHY’ kita itu? Apakah ‘WHY’ itu membakar hati kita di saat kita hampir berputus asa? Apakah ‘WHY’ itu menjadikan kita lebih bersemangat untuk mencapai tujuan itu?

Kenapa kita belajar?

Kenapa kita nak menjadi seseorang?

Kenapa kita nak berniaga?

Kenapa kita nak pergi melancong?

Tanyalah diri kita, kenapa kita hendak melakukan apa yang kita impikan selama ini. Dan adakah sebab itu benar-benar membakar diri kita untuk berusaha.

Jika ‘WHY’ itu sejuk membeku, nescaya kita akan mencari ‘WHAT’ dan ‘HOW’.

“Eh, kenapa tak start lagi business hari tu?”
“Ko tahu lah. Modal tak de. Pengalaman pun cetek”

Sekali lagi, masalah pada ‘WHY’. Modal tidak pernah menjadi masalah utama dalam sesuatu perniagaan. Kita boleh belajar, bagaimana cara untuk raise capital dengan cara yang betul. Kita juga boleh belajar dari mentor atau senior dalam perniagaan untuk tahu pengalaman mereka. Tetapi, jika ‘WHY’ kita tidak benar-benar membakar semangat kita, nescaya kita akan tersungkur sebelum mulakan apa-apa.

Sebab itu, saya menggelarnya sebagai ‘The Burning WHY’. Untuk memulakan apa-apa sahaja, kita perlukan nawaitu dan sebab yang sangat jelas sejelas mentari yang menyinarkan cahayanya. Dan niat serta sebab itu perlu sangat-sangat membakar emosi kita, membakar fizikal kita, dan menyebabkan kita mampu bangkit apabila ditimpa apa-apa masalah yang mendatang.

Apabila kita sudah mendapat ‘WHY’ yang benar-benar membakar jiwa kita, nescaya persoalan bagaimana dan apa akan menjadi lebih mudah dan ringkas. Kita sudah nekad, maka apa-apa sahaja persoalan akan ditangani sepantas dan sebaik mungkin dalam upaya kita.

Aku melihat sekelilingku, berbicara dengan teman, mereka menyimpan hasrat dan impian yang hanya langit mampu menampungnya. Namun, apabila ditanya kenapa tidak bermula lagi, jawapan mereka menjelaskan kepada aku bahawa masih belum kuat ‘WHY’ itu.

“Aku nak tolong mak ayah aku besar nanti.”
“Oh. Kenapa tak tolong sekarang?”
“Esh ko ni. Kita tengah belajar. Nak tolong apa.”
“Hantar 5% duit biasiswa utk diaorg. Tak boleh?“

Ini sekadar contoh. Banyak lagi sebenarnya perbualan atau pemikiran yang boleh kita lihat sekeliling kita.
Apabila niat kita itu benar-benar membakar dan menggerakkan, kita akan cari semua jalan yang boleh digunakan untuk mencapai matlamat itu. Tidak ada lagi masa untuk memberi alasan, tidak ada lagi kata-kata yang merendahkan jiwa atau semangat kita atau orang lain. Malahan, kita akan berusaha sedaya upaya, dengan kadar upaya yang termampu, dan akan belajar untuk mencipta jalan penyelesaian kepada segala permasalahan.

Itu pentingnya ‘The Burning WHY’.

Apa Burning WHY aku?

Aku percaya, setiap manusia mempunyai darjah semangat dan nyalaan api perjuangan yang berbeza. Semua itu dipengaruhi oleh cara kehidupan mereka selama ini, buku yang telah dibaca, tahap intelektual, dan biah persahabatan yang dimiliki. Perbezaan yang pelbagai ini, akan menyebabkan setiap orang mempunyai burning why yang berbeza.

Untuk aku, insya-Allah ada dan sentiasa diingati dalam hati. Apabila aku berada dalam keadaaan kemalasan atau putus asa, aku hanya perlu duduk sejenak dan ingat kembali tujuan aku melakukan semua ini. Secara automatis, otak aku akan kembali hangat dengan curahan idea dan rembesan hormon yang mendorong aku terus berusaha. Dan terus gear-gear yang berada dalam kefuturan akan bergerak dalam kelajuan yang sewajarnya.

Cuma mungkin aku boleh kongsikan tips untuk mencipta ‘The Burning Why’ kita sendiri.

1.      1. Sebab yang spesifik, unik, dan tepat.

Untuk mencapai impian dan tujuan, kita perlu pastikan sebab atau WHY kita itu spesifik. Kalau boleh kaitkan dengan kejadian yang berlaku dalam kehidupan. Contoh, aku nak menjadi seorang doktor agar aku dapat menyembuhkan yang tersayang kelak. Atau ingin menjadi seorang peguam untuk membela nasib rakyat yang ditindas saban hari.

Janganlah sekadar mahu menjadi doktor kerana ingin kemewahan atau ingin perhatian dari masyarakat. Percayalah, kita akan terjatuh tersembam sebelum sempat memulakan perjalanan pun.

2.     2. Sebab itu berkait dengan peristiwa menyentuh emosi.

Ini antara point penting, kerana sebab yang dapat memberi sentuhan emosi akan melekat dalam otak kita dan sukar ditanggalkan. Seakan-akan sebab itu telah digam dalam otak kita sehingga tidak bisa dicabut malahan akan terus melekat sehinggalah kita mencapainya.

Contohnya, kita pernah melihat kemiskinan yang terlalu melarat dalam kampung kita. Sehinggakan ada yang pernah meninggal di depan mata kita disebabkan kemiskinan itu. Situasi yang mencengkam itu benar-benar menggores hati kecil kita. Melihat keadaan itu, kita berazam untuk mengubah semua perkara ini dan memastikan semua penduduk kampung itu terbela.

3.     3. Sebab yang lahir dari diri sendiri.

Ini point yang paling penting. Kita mungkin boleh belajar dari orang lain sebab mereka berjaya. Kita mungkin boleh cari dan gali maklumat berkaitan punca kejayaan sesetengah manusia.

Namun, akhirnya hanya kita mampu menetapkan ‘Burning Why’ untuk diri kita. Tidak mungkin sebab kejayaan orang lain boleh seratus peratus boleh menjadi sebab kejayaan kita juga. Lain orang lain formulanya. Ada manusia yang ingin berjaya agar Melayu gah di dunia, ada yang ingin berjaya agar nama keluarganya megah dalam kalangan saudara mara, ada juga manusia yang ingin berjaya agar dia boleh mengahwini gadis yang dia kepinginkan.

Ya, macam yang saya dah sebut, sebab untuk setiap orang lain berbeza. Persoalannya, adakah diri kita sudah ada ‘The Burning Why’ tersendiri?

Atau masih lagi mempersoalkan usaha orang lain dan diri sendiri masih penakut dan berlari dari realiti?

Atau hanya pandai mengomel ketika orang lain bekerja, konon kita paling tahu serba serbi?

Alhamdulillah, Allah kurniakan aku jalan kehidupan yang bersimpang siur. Aku mengenali kepelbagaian manusia, tahu kepelbagaian tabiat manusia, yang menjadikan diri aku ini lebih tunduk resmi padi dan mampu mengubah apa yang tidak elok. Aku bersyukur, aku masih boleh berubah walaupun ego adalah ciptaan yang tersangat bongkak.

Pesanan kepada kawan atau teman atau ikhwah atau lawan; carilah sebab yang membakar diri kita untuk mencapai matlamat kita. Hidup dengan berani, hadapi cabaran, toleransi dengan perbezaan, dan sentiasa menjadi manusia yang merendah diri dengan ilmu yang ada. Nabi Musa terasa dia paling pandai, Allah hantar Nabi Khidir untuk hancurkan ego itu.

Kita pula, adakah wajar untuk berlagak dan ego melampau walhal terlalu ramai manusia yang memerhatikan sahaja kebodohan tidak bertempat kita itu?


Ya Allah, ampunkan dosa aku yang lampau dan yang aku tidak ketahui. Moga kita semua sentiasa dalam ketaqwaan dan kecintaan kepada Allah Yang Esa.

About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

0 comments:

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!