Assalamualaikum wbt semua! :)
Alhamdulillah, terasa bagai hidup semula selepas dimatikan beberapa ketika. Tempoh bertenang tanpa kerja yang utama menyebabkan aku ada banyak masa lapang, yang dihabiskan dengan buat perkara tidak berfaedah akhirnya sudah berakhir. Bermula beberapa minggu lepas, jadual dah padat semula dan aktiviti penuh untuk sepanjang hari. Rasa macam zaman belajar dulu :D
Betul, kita cuma menghargai masa lapang apabila kita sibuk dan menghargai masa sibuk apabila kita lapang. Berbanding lapang dan banyak masa, aku lebih memilih untuk jadi sibuk dan penuhkan dengan agenda to do list yang penuh. Supaya aku sentiasa rasa, aku bergerak ke hadapan dan mendapat sesuatu yang baru dalam hidup. Kerana air yang bergerak, tidak menakung kekotoran sebagaimana perbezaan air sungai dan air tasik.
Kita boleh lihat, air tasik secara azalinya menakung di suatu tempat sahaja. Air itu tidak bergerak, tidak menapak, mungkin berubah sedikit sahaja bergantung kepada cuaca dan peristiwa di sekelilingnya. Dan ikan di dalam air yang tidak bergerak, amat berbeza dengan ikan di dalam air sungai yang mengalir deras. Isinya padat, kurang lemak, sedap, dan menggiurkan untuk dikunyah. Pernah rasa ikan patin yang diternak di kolam? Pernah rasa pula ikan patin yang bebas berenang di sungai?
Sungguh berbeza!
Suasana menjadikan ikan itu berbeza. Sama seperti manusia.
Apabila dibiasakan dalam keadaan selesa, tenang, santai, maka kita menjadi kurang produktif dan kurang memanfaatkan kemampuan. Potensi besar, tetapi belakang parang jika tidak diasah manakan tajam. Mustahil kita boleh menjadi manusia yang hebat dan berjiwa besar, jika kita tidak diuji dan melalui proses yang yang menyakitkan dan perit. Manusia biasa akan menyerah kalah dan gagal, Tetapi tidak bagi manusia yang melihat potensi dirinya yang besar. Mereka akan melawan, akan bertahan, dan berusaha sehingga mencapai kemenangan.
Sekarang, aku hidup dalam keadaan selesa. Mendapat gaji, tinggal di rumah makcik yang selesa, makan minum dijaga, boleh kata semuanya selesa dan lengkap. Jujurnya, aku tak suka.
Selagi aku belum capai impian aku, aku akan cuba elak berada dalam keadaan selesa.
Kalau dulu, sebelum aku capai impian untuk membawa mak ayah aku ke Mekah, bilik tidur aku tidak lebih dari sebuah cadar dan selimut. Selama 3 tahun aku tidur di lantai, beralaskan selimut sahaja. Suasaan yang kurang selesa, menyebabkan aku sentiasa semangat dan ingat tujuan yang aku nak capai. Membuatkan aku sentiasa terbakar untuk lakukan apa yang aku nak dan mahu. Bila aku dah nak, aku tak akan mengalah. Sehingga betul betul tiada jalan keluar, yang aku rasa, dengan izin Allah, tidak akan berlaku. Kerana Dia sentiasa memberikan jalan untuk kita semua usaha dan berjaya.
Keselesaan membunuh jiwa pemuda. Apabila kita selesa dengan tahap hidup kita, apabila kita selesa dengan apa yang kita ada, aapbila kita selesa dengan kejayaan kita, apabila kita selesa dengan pencapaian kita, maka sebenarnya jiwa kita berada dalam keadaan paling lemah dan mudah ditawan.
Aku cuba, untuk lari dari keselesaan. Orang kata, aku berjimat cermat. Mungkin betul juga sebab aku tak suka bazir duit untuk membeli perkara yang tidak perlu. Aku pakai baju yang sama selama 5 tahun. Selagi masih elok dan boleh dipakai. Minyak rambut dah 2 tahun. Selipar sudah 4 tahun. Semuanya adalah logik, rasional, dan masih baik untuk digunakan. Pakai je lah kan? :D
Lari dari keselesaan bukan bermaksud tidak bersyukur dengan apa yang ada. Aku bersyukur dengan apa yang aku miliki hingga hari ini, aku gembira dan menjalani kehidupan dengan positif, dan aku nikmati setiap saat aku bersama kawan. Cuma, aku tanamkan dalam otak aku, jangan berasa selesa dengan apa yang aku ada. Sentiasa mahu lebih, sentiasa berusaha lebih, sentiasa menjadi lebih baik.
Cabar diri, tolak diri, paksa diri. Ini cara aku berkembang dan bergerak. Manjakan diri apabila mendapat kejayaan. Selagi belum dapat, bertahan dengan apa yang ada dan cuba lagi sampai berjaya.
Okay. Sebenarnya nak beritahu, lepas ni aku dah tak menulis di sini. Aku berpindah ke shazmie.com. Baru je siap setup semua tadi. Aku nak serius berblogging dan berkongsi lepas ni. Nak banyakkn berfikir dan menulis, supaya menjadi saham pahala untuk akhirat kelak. Senakal dan sejahat mana aku, aku nak masuk syurga. Kita semua nak. Jadi, kena usaha. Tak boleh senang lenang. Keluarkan diri dari zon selesa. Cabar diri dan usaha untuk menjadi manusia lebih baik. Beranikan diri menghadapi cabaran.
Jumpa kat sana nanti. Ni post terakhir di lama ni. Aku akan ingat dan kenang sampai bila bila. Terima kasih kerana menjadi peneman perjalanan kehidupan aku selama ini. :)
Terima kasih yang sudi baca. Nanti follow blog terbaru aku ya. :D
Abang tiri. Cinta. :) |