Facebook Twitter Google RSS

Monday, September 3, 2012

Perbankan Islam

Nak catat sikit-sikit apa yang sedang dipelajari di Irbid ni. Ini dari subjek Masorif Islami( Perbankan Islam), bersama Dukturah Nisreen.

Asas-Asas Yang Diperlukan oleh Perbankan secara Islam

1. Dari aspek ideologi/falsafah

Hal ini membawa makna segala asas ideologi wajib berasaskan syariah islamiah. Disebabkan ini, maka ideologi atau identiti perbankan Islam bertentangan seratus peratus dengan falsafah yang dibawa oleh perbankan berkonsep konvensional.

Asas utama yang dipegang oleh perbankan Islam adalah konsep penjagaan (istikhlaf). Semua penjaga (mustakhlif) bertanggungjawab untuk mengembangkan dan memastikan produk yang dihasilkan oleh perbankan Islam menepati konsep halal dan haram, yang pastinya berkait rapat dengan konsep penjagaan harta di bawah pengawasan panel syariah.

Faedah/riba diharamkan sama sekali dalam semua urusan akadnya, dan digantikan dengan konsep yang menepati keadilan sejagat iaitu konsep pembahagian keuntungan.

Perbankan Islam mengiktiraf manusia sebagai pemilik harta. Namun, mereka terikat dengan peraturan Ilahi, iaitu syariah dalam pengendalian harta dengan cara yang diredhai Allah. Ini dapat memastikan hidup seorang Muslim itu diselaputi Islam dalam semua aspek dan cabang kehidupan, dan memastikan konsep keadilan sosial dapat diterjemahkan mengikut corak ketentuan Ilahi.

Surah Hud ayat 61: "Dialah yang menjadikan kamu dari bumi, dan menghendaki kamu untuk memakmurkannya."

Merujuk kepada ayat ini, Allah telah mencipta kita semua dari tanah yang terdapat di bumi, dan menyerahkan kepada manusia untuk memakmurkannya yang mencakupi dari aspek politik, harta, dan kesenangan hidup dunia dan akhirat. Maka, perbankan Islam tertakluk sepenuhnya kepada cara pandangan ini, dengan kefahaman bahawa harta adalah milik manusia yang dipinjamkan oleh Allah untuk dimakmurkan mengikut kehendak syariah yang memfokuskan kepada pembahagian kekayaan yang adil dalam masyarakat.


2. Asas kerjasama dan pengecualian dari urusniaga yang berkait dengan faedah

Ini adalah perbezaan yang ketara di antara perbankan Islam dan perbankan konvensional. Semua perbankan yang tidak mematuhi asas syariah secara pasti akan terlibat dengan  urusniaga yang berkait dengan riba. Hal ini kerana proses kewangan yang terlibat dengan riba dapat menjana keuntungan kepada bank dengan pantas tanpa memikirkan kesan yang ditanggung oleh para peminjam dari bank.

Maka, bank Islam amat menitik beratkan persoalan ini dan menolak 100% segala unsur riba dalam transaksi kewangannya. Lebih menarik, perbankan Islam melihat konsep mudharabah dalam pelaburan sebagai satu konsep yang lebih menyakinkan dalam menjana keuntungan, yang menepati kehendak syariah Ilahi.

Perbankan islam akan menggunakan formula dan konsep-konsep kewangan yang berdiri atas konsep perkongsian keuntungan, dan ini dapat memberi satu keyakinan kepada para pelabur untuk mendapat keuntungan yang positif bergantung kepada jumlah modal yang telah dikongsikan kepada bank islam.

Dalam konsep mudharabah, bank akan menjadi pengusaha dan pelanggan adalah pemilik modal. Maka, bank akan bekerja dan melabur duit itu dalam perniagaan yang berlandaskan syara' dan seterusnya menjana keuntungan. Perkongsian jumlah keuntungan bergantung kepada perjanjian yang telah dibuat pada awal akad.

Bank Islam tidak bergantung kepada peruntukan harta dari pemodal semata-mata dalam mencari keuntungan, bahkan dengan meletakkan kepercayaan dalam sistem operasi yang licin dan kebolehan pengurusan yang tinggi yang seterusnya membawa pengaliran modal dalam sektor yang diyakini untuk membuahkan keuntungan yang dijangkakan. Dan ini pastinya perbezaan ketara dengan perbankan konvensional yang menyelewengkan peruntukan harta pemodal kesan daripada dasar transaksi berasaskan ribanya.

Tambahan lagi, semua pelanggan yang meletakkan duit di dalam bank islam akan dianggap sebagai ahli perkongsian, bukan pemberi pinjam duit semata-mata. Disebabkan ini, maka untung rugi dalam perniagaan akan dapat dirasai oleh semua pihak tanpa berkecuali.


3. Asas penjagaan harta dan mengembangkannya.

Sesungguhnya menjaga harta termasuk dalam maqasid syariah yang berlima, selain daripada menjaga agama, nyawa, nasab keturunan, dan juga akal manusia. Jelas, menjaga harta mendapat satu kedudukan yang istimewa dalam agama Islam dan diberikan prioriti yang tinggi sesuai dengan kepentingannya dalam kehidupan manusia.

Islam mengiktiraf setiap kehendak untuk memiliki, memberi, dan mengembangkan harta dengan jalan yang diredhai oleh Allah. Teringat kata-kata doktor, memang hak untuk memiliki harta adalah hak peribadi, namun masyarakat juga mempunyai saham dalam hak kita tanpa kita sedari. Sebagai contoh, kita mempunyai simpanan duit yang banyak. Namun, kita tidak menyebarkan/mencairkannya dalam masyarakat dengan pembelian atau pelaburan. Ini akan menyebabkan ekonomi masyarakat menjadi statik kerana tiada pengaliran kewangan dari kita lalu menyebabkan banyak barang tidak dapat dijual, kecairan wang yang rendah, dan lain-lain yang berpunca dari sikap kita yang tidak mahu menggerakkan harta yang dimiliki.

Sebagaimana yang tercatat dalam pelajaran lepas, proses putaran harta (tadawal al-mal) merupakan antara maqasid syariah penjagaan harta yang sangat penting. Islam telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mengharamkan faktor penyebab yang menyekat harta dari beredar dalam masyarakat. Antara contoh yang terkenal adalah pengumpulan harta (tanpa dibelanja/dilabur), monopoli harga barang/produk, dan juga riba.

Dan, cuba kita kaitkan suruhan untuk mengembangkan harta ini dengan zakat yang kita terpaksa keluarkan setiap tahun. Umum mengetahui, zakat antara kewajipan yang difardhukan kepada semua umat islam. Tapi, yang miskin mendapat pengecualian daripada membayarnya. Andainya, anda tidak menggerakkan langsung harta anda sepanjang hidup. Maksudnya, anda ada duit RM 100 dalam bank, dan anda biarkan dalam akaun simpanan tanpa ada sebarang pelaburan. Setiap tahun, anda perlu bayar zakat. Maka, duit anda akan berkurangan setiap tahun. Jika ini berterusan, duit anda itu akan habis juga dan akhirnya anda sudah tidak mampu untuk membayar zakat. (dengan andaian itu sahaja duit anda).

Untuk mengelakkan berlaku sedemikian, kita perlu menggolekkan harta kita agar ia berkembang pesat dan membuatkan kita mampu untuk membayar zakat dengan nilai yang lebih besar, dan secara langsung mengukuhkan lagi ekonomi negara kita. Zakat ini jelas antara instrumen yang boleh dimanfaatkan dalam usaha kita untuk mengukuhkan kuasa ekonomi. (soal pengurusan wang zakat adalah persoalan lain.)


4. Asas bermasyarakat

Bank-bank Islam mempunyai profail kemasyarakatan yang jelas yang boleh dilihat melalui kaedah-kaedah/teknik-teknik kewangan yang pelbagai dalam memberi khidmat kepada masyarakat. Khidmatnya sebagai sebuah badan sosial mencakupi kesepaduan sosial masyarakat merupakan suatu bentuk sumbangan yang tidak ternilai.

Dan tugas bank islam ini terpisah dan berbeza dengan bank-bank yang lain. Khususnya melalui pelaksanaan zakat yang merupakan satu kewajipan syara', pinjaman tanpa bunga, dan juga larangan untuk terlibat dalam aktiviti berbahaya kepada masyarakat agar dapat mencapai perpaduan sosial.

Kesemua sifat-sifat yang ada pada bank Islam merupakan satu bentuk kepercayaan yang berasal daripada akidah islamiah itu sendiri. Sebagai contoh, pembayaran zakat sememangnya sebahagian daripada keimanan yang kita tidak boleh ubah atau tolak. Kesannya sangat baik sehingga mampu mengurangkan perbezaan antara taraf masyarakat yang berbeza. Dan begitulah juga dengan pembahagian keuntungan yang merupakan satu sumber dari sumber keadilan sosial.

Dan begitulah kewujudan sifat yang menekankan maslahah sosial dalam setiap projek dan gerak kerja bank islam. Sebenarnya, semua bidang-bidang dan bahagian dalam muamalat Islam akan menekankan kepentingan serta sumbangan kepada masyarakat.




Inilah asas-asas kepada perbankan Islam. Nanti akan disambung lagi...






















About Shazmie


Seorang mahasiswa ekonomi Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. Ingin menjadi usahawan dan menunaikan tanggungjawab dakwah. Doakan beliau berjaya aha..
View all posts by Shazmie →

2 comments:

Nik Heidzir said...

terbaik Shazmie...
boleh jadi penterjemah negara nie

Shazmie said...

haha..ye lah abe nik.
nanti nak translate lagi. tengok atas kerajinan lah...:D

Pendidikan

Sk Padang Rumbia : 2000-2003
Sk Beserah : 2003-2004
Sk Air Putih : 2004-2006

Smk Sultanah Hajjah Kalsom : 2006-2009
Smk Abdul Rahman Talib : 2009-2010
Maahad Tahfiz Negeri Pahang : 2009- 2010

Universiti Yarmouk : 2011 sampai sekarang dalam bidang Perbankan Islam

Coretan

Seorang manusia yang meraikan perbezaan dan suka mencuba makanan baru. Suka mendengar kata-kata yang positif dan memberi semangat. Sentiasa berusaha walk the talk. Mahu menjadi jutawan sebelum 30. insyaAllah. :)

Dream.

The path is clear. And the road may be slippery, but it will never push you out of the lane. Fighting!